GAZA: Sekitar 300,000 pelajar Palestin akan menyambung semula kelas di Gaza di bawah kelolaan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA), di sebalik tindakan Israel terus menghalang ratusan juta dolar bantuan daripada memasuki wilayah itu.
Agensi itu telah “menyediakan rancangan untuk menyambung semula proses pendidikan untuk 300,000 pelajar Palestin dan jumlah ini mungkin meningkat,” kata Encik Adnan Abu Hasna, penasihat media UNRWA, dalam kenyataan menerusi X.
menurutnya, sekitar 10,000 pelajar akan menghadiri kelas secara peribadi di sekolah dan tempat perlindungan, manakala sebahagian besar menerusi pembelajaran jarak jauh.
Encik Abu Hasna berkata 8,000 guru akan menyertai program itu.
Proses pendidikan di Gaza telah digantung apabila perang meletus pada 7 Oktober 2023.
Akibat perang, kebanyakan sekolah dijadikan tempat perlindungan bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal, manakala banyak lagi yang musnah atau rosak.
Menurut data Kementerian Pendidikan Palestin setakat 16 September, Israel telah memusnahkan 172 sekolah pemerintah, mengebom atau merosakkan 118 yang lain, dan menyerang lebih 100 sekolah kelolaan UNRWA.
Kementerian itu berkata 17,711 pelajar telah terbunuh di Gaza sejak perang meletus dan 25,897 yang lain cedera.
Ia turut melaporkan kematian 763 pekerja sektor pendidikan dan 3,189 yang lain cedera.
Encik Abu Hasna berkata: “Kami turut mempunyai rancangan dalam sektor kesihatan untuk menghidupkan semula 22 klinik di Jaluran Gaza.
“Kami juga mempunyai berpuluh-puluh tempat pengagihan makanan dan beribu-ribu pekerja dengan pengalaman logistik yang hebat.”
Menurutnya, UNRWA telah membeli bekalan bernilai ratusan juta dolar yang masih tersekat di luar Gaza.
Beliau turut mengecam tindakan Israel menghalang usaha menyalurkan bantuan itu, dengan berkata:
“Banyak keperluan asas termasuk bahan perlindungan, selimut, pakaian musim sejuk dan ubat-ubatan tidak dibenarkan masuk ke Gaza oleh pihak Israel, memburukkan lagi keadaan kemanusiaan.”
Encik Abu Hasna memberi amaran bahawa 95 peratus penduduk Gaza kini bergantung kepada bantuan kemanusiaan selepas kehilangan sumber pendapatan akibat perang selama dua tahun.
“Beratus-ratus ribu orang yang kehilangan tempat tinggal terpaksa berlindung di tempat terbuka selepas kembali ke Bandar Gaza berikutan berkuat kuasanya gencatan senjata pada 10 Oktober,” tambahnya.
Perjanjian gencatan senjata Gaza dicapai antara Israel dengan Hamas pada minggu lalu hasil rancangan yang dibentangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg