Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel sahkan terima tiga lagi mayat tebusan di Gaza

Nov 3, 2025 | 12:33 PM
Israel, Palestine, Gaza, tebusan, hostage, Hamas
Sebuah alat jentera berat beroperasi di kawasan ‘garisan kuning’ yang menetapkan tentera Israel berundur di kawasan itu di bawah perjanjian gencatan senjata, ketika Hamas terus giat mencari mayat tebusan di Bandar Gaza pada 2 November. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Israel berkata pada 2 November bahawa ia telah menerima mayat tiga lagi tebusannya daripada Hamas sebagai sebahagian daripada pertukaran tebusan-tawanan yang sedang berlangsung di bawah perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat.

Walaupun terdapat sedikit kekecohan, gencatan senjata yang rapuh telah dilaksanakan di Gaza sejak 10 Oktober, di bawah perjanjian yang memberi tumpuan kepada kepulangan semua tebusan Israel, baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

“Israel telah menerima melalui Palang Merah keranda mayat tiga tebusan yang telah diserahkan kepada pasukan pertahanan Israel (IDF) dan Shin Bet di Jaluran Gaza,” kata pejabat perdana menteri, sambil menambah kesemua mayat tersebut akan dipindahkan ke pusat perubatan forensik untuk dikenal pasti.

Sayap bersenjata Hamas berkata ia telah menemui tiga mayat itu awal pada 2 Oktober di laluan salah satu terowong di selatan Gaza.

Hamas telah menahan 48 tebusan di Gaza, termasuk 20 yang disahkan masih hidup apabila gencatan senjata diumumkan.

Sejak permulaan gencatan senjata, Hamas telah membebaskan 20 tebusan yang masih hidup dan akan menyerahkan mayat 28 tebusan yang telah meninggal dunia.

Setakat ini ia telah memulangkan 17 mayat, termasuk 15 warga Israel, seorang warga Thailand dan seorang warga Nepal.

Israel menuduh Hamas berlengah-lengah dalam memulangkan mayat, manakala kumpulan Palestin itu menyatakan prosesnya berjalan perlahan kerana banyak mayat tertimbus di bawah runtuhan di Gaza.

Hamas telah berulang kali meminta pengantara dan Palang Merah untuk menyediakan peralatan dan kakitangan yang diperlukan untuk mendapatkan mayat-mayat tersebut.

Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, berkata dalam satu kenyataan bahawa penyerahan pada 2 November itu menunjukkan bahawa kumpulan itu “sedang berusaha sedaya upaya untuk memulangkan mayat secepat mungkin”.

Sebuah kumpulan yang mewakili keluarga tebusan menggesa pemerintah Israel supaya bertindak tegas bagi memastikan semua mayat dibawa pulang.

“Keluarga tebusan menuntut agar perdana menteri bertindak tegas untuk merealisasikan komitmen Hamas di bawah perjanjian tersebut dengan segera mengembalikan semua tebusan yang telah meninggal dunia ke tangan Israel,” kata Forum Tebusan dan Keluarga Hilang.

Pelaksanaan fasa kedua pelan gencatan senjata Presiden Amerika, Encik Donald Trump, masih belum dipersetujui kerana ia berkaitan dengan melucutkan senjata Hamas, mewujudkan pihak berkuasa peralihan dan mengerahkan pasukan pengaman antarabangsa di Gaza. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg