Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Turkey bantu operasi cari mayat di Gaza, Trump beri amaran kepada Hamas

Netanyahu ulang pendirian Israel sedia lancar semula operasi ketenteraan jika diserang
Oct 17, 2025 | 10:24 AM
Deir el-Balah, Jaluran Gaza, tebusan palestin
Kenderaan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), termasuk trak berhawa dingin bersiap untuk berlepas ke lintasan Kissufim yang terletak di sebelah timur Deir el-Balah di tengah Jaluran Gaza, bagi menerima mayat rakyat Palestin yang sebelum ini ditahan oleh pihak Israel pada 15 Oktober. - Foto AFP

BANDAR GAZA: Turkey telah menghantar puluhan pakar bantuan bencana bagi membantu mencari mayat di bawah timbunan runtuhan bangunan di Gaza, pada saat Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi amaran keras kepada Hamas berhubung siri pembunuhan terbaru di wilayah itu menyasarkan ‘tali barut’ Israel semasa perang.

Encik Trump menyifatkan pembunuhan tersebut sebagai pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang diusahakannya.

Kumpulan Hamas sebelum ini telah menyerahkan 20 tebusan terakhir yang masih hidup kepada Israel.

Awal dari ini, Encik Trump menyeru semua pihak bersabar berhubung usaha mencari mayat, sambil menegaskan bahawa Hamas ‘sebenarnya sedang menggali’ bagi mencari jasad tebusan, namun beliau kemudian meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan kumpulan itu membunuh selepas pertempuran dihentikan.

“Jika Hamas terus membunuh orang di Gaza, yang bukan sebahagian daripada perjanjian, kami tiada pilihan selain masuk dan membunuh mereka,” kata Encik Trump di platform Truth Social, merujuk kepada kes tembakan terhadap penduduk awam Palestin.

Hamas dituduh menjatuhkan hukuman mati tanpa perbicaraan di Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa, manakala pertempuran turut dilaporkan antara pasukan keselamatan kumpulan itu dengan beberapa puak bersenjata Palestin yang didakwa mendapat sokongan Israel.

Menurut sumber rasmi di Ankara, pasukan bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkwy (Afad) telah dikerahkan ke Gaza bagi membantu mengenal pasti dan mengeluarkan mayat yang masih tertimbus.

Usaha itu dijalankan dengan kerjasama pasukan tempatan dan agensi antarabangsa.

“Ini adalah misi kemanusiaan, bukan politik,” kata jurucakap Afad.

“Kami datang untuk membantu mencari mangsa, sama ada Palestin mahupun Israel, agar mereka dapat dikebumikan dengan penuh maruah,” tambah beliau.

Susulan perkembangan itu, Hamas menegaskan komitmennya terhadap perjanjian gencatan senjata dengan Israel dan menafikan dakwaan melanggar syarat yang telah dipersetujui.

“Kami telah menyerahkan semua tebusan hidup dan mayat yang berjaya kami temui,” kata Hamas dalam kenyataan rasmi.

“Namun, terdapat mayat yang masih tertimbus di bawah bangunan yang musnah dan di dalam terowong yang runtuh akibat serangan udara,” tambah beliau.

Hamas turut memohon masa tambahan untuk melengkapkan proses pencarian, sambil menegaskan bahawa kerja-kerja itu sukar dilakukan dalam keadaan kemusnahan besar-besaran di Gaza.

Namun, keluarga tebusan yang terbunuh menzahirkan kemarahan terhadap kelewatan itu.

Kumpulan utama yang mewakili keluarga tebusan menggesa pemerintah Israel supaya menghentikan pelaksanaan fasa baru perjanjian selagi Hamas belum menyerahkan semua jasad mangsa.

“Selagi Hamas gagal menunaikan kewajipannya, Israel tidak seharusnya meneruskan perjanjian ini,” tegas kenyataan kumpulan itu.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa pemerintah beliau tidak akan bertolak ansur dalam usaha membawa pulang semua tebusan.

“Kami akan terus menekan Hamas sehingga setiap rakyat kami kembali ke tanah air,” katanya.

Encik Netanyahu turut mengulangi pendirian bahawa Israel bersedia melancarkan semula operasi ketenteraan jika diserang.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, turut memberi amaran bahawa serangan ketenteraan akan disambung sekiranya Hamas terus gagal mematuhi syarat-syarat perjanjian.

“Tentera Israel telah diarahkan bersiap sedia untuk tindakan ketenteraan penuh jika gencatan senjata gagal dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan pada 15 Oktober.

Encik Trump yang menjadi perantara utama perjanjian gencatan senjata itu telah melancarkan pelan 20 perkara bagi Gaza, yang bertujuan mewujudkan keamanan jangka panjang.

Pelan itu meliputi pelucutan senjata Hamas, pemberian pengampunan kepada pemimpinnya yang menyerahkan senjata, serta pembentukan pemerintah sementara pasca perang di Gaza.

Ia juga menyeru pembukaan semula lintasan Rafah di sempadan Mesir bagi membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan masuk.

“Kami telah sampai ke tahap penting. Sekarang semuanya bergantung pada sama ada Hamas benar-benar mahu keamanan atau tidak,” kata Encik Trump dalam sidang media di Washington.

Namun, Israel menyatakan lintasan Rafah hanya akan dibuka untuk pergerakan manusia, bukan bantuan kemanusiaan, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap pelaksanaan penuh perjanjian itu.

Sementara itu, keadaan di Gaza kekal kritikal.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa penyakit berjangkit kini “tidak terkawal” dengan hanya 13 daripada 36 hospital di wilayah itu masih beroperasi, kebanyakannya pula berfungsi pada kapasiti minimum.

“Kita berdepan peningkatan kes meningitis, cirit-birit dan jangkitan pernafasan,” kata Dr Hanan Balkhy, Pengarah Serantau WHO, di Kahirah.

“Kerja ini amat besar dan keperluan bantuan perubatan amat mendesak,” katanya.

Dalam masa yang sama, PBB melaporkan lebih separuh daripada 68,000 kematian di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak, manakala jutaan lagi kehilangan tempat tinggal akibat kemusnahan menyeluruh di kawasan bandar. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg