WASHINGTON: Israel sedang bersiap sedia untuk meluaskan serangannya terhadap militan Hamas ke selatan Gaza atas alasan perjanjian pembebasan tebusan telah diumumkan sebelum waktunya.
Ini berlaku ketika China membuka satu lagi ruang untuk meredakan konflik – menjadi tuan rumah mesyuarat melibatkan para pegawai dasar luar tertinggi dari Pihak Berkuasa Palestin dan empat negara majoriti Islam pada 20 dan 21 November.
Mereka termasuk menteri luar Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat, Arab Saudi, Jordan, Mesir dan Indonesia, serta setiausaha agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Semasa pertemuan itu, China akan mengadakan komunikasi dan penyelarasan yang mendalam dengan delegasi bersama menteri luar negara Arab dan Islam untuk menggalakkan pengurangan konflik semasa Palestin-Israel, melindungi orang awam serta menyelesaikan isu Palestin secara adil,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Encik Mao Ning, dalam satu kenyataan pada Ahad.
Israel dan Hamas belum mencapai perjanjian mengenai gencatan senjata sementara, kata Rumah Putih dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada Sabtu.
“Kami terus bekerja keras untuk memastikan perjanjian dicapai,” kata Cik Adrienne Watson, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, dalam satu kenyataan.
Tetapi, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani, berkata pada Ahad bahawa perjanjian untuk membebaskan tebusan yang ditahan Hamas kini bergantung pada isu praktikal “kecil” dan lebih kepada soal logistik.
Akhbar The Washington Post, yang memetik sumber melaporkan lebih awal pada Jumaat bahawa Israel, Amerika dan Hamas telah mencapai persetujuan sementara bagi membebaskan berpuluh-puluh wanita dan kanak-kanak yang dijadikan tebusan di Gaza sebagai pertukaran untuk menghentikan pertempuran selama lima hari.
Di bawah perjanjian itu, semua pihak akan membekukan operasi pertempuran sekurang-kurangnya lima hari manakala 50 atau lebih tebusan dibebaskan secara kumpulan setiap 24 jam, lapor akhbar itu.
Hamas telah menahan lebih 240 tebusan dan membunuh lebih 1,400 orang apabila mereka menyerang selatan Israel pada 7 Oktober.
Sejak itu Israel telah melancarkan pengeboman dan serangan darat yang menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza telah mengorbankan lebih 12,000 orang, kebanyakannya orang awam dan kanak-kanak.
Gencataan kemanusiaan itu juga bertujuan bagi membolehkan bantuan disalurkan ke Gaza, kata akhbar itu, sambil menambah perjanjian itu dilakar ketika rundingan berminggu-minggu di Qatar.
Dalam pada itu, penentangan Hamas ala gerila kekal sengit di kawasan utara termasuk di Bandar Gaza, kem pelarian Jabalia dan pantai yang luas.
Saksi melaporkan pertempuran sengit semalaman antara Hamas dengan tentera darat Israel yang cuba mara ke Jabalia, kem terbesar di kawasan itu yang menempatkan hampir 100,000 orang, yang kebanyakannya menolak rayuan Israel untuk berpindah ke selatan.
Serangan darat oleh Israel di selatan dijangka akan berlaku. Itu boleh memaksa ratusan ribu yang melarikan diri dari Kota Gaza untuk berpindah semula, bersama-sama dengan 400,000 penduduk Khan Younis.
Karyawan perubatan Palestin berkata 31 orang terbunuh, termasuk dua wartawan tempatan, dalam serangan udara Israel ke atas kem pelarian Bureij dan Nusseirat. – Reuters.