KHAN YOUNIS (Gaza): Tentera Israel telah menyerbu bandar utama selatan Gaza dalam apa yang mereka sebut sebagai hari pertempuran paling sengit dalam lima minggu operasi darat terhadap militan Hamas.
Serangan Israel itu menyaksikan hospital di wilayah itu bergelut untuk menangani berpuluh-puluh rakyat Palestin yang maut dan cedera.
Dalam apa yang kelihatan sebagai serangan darat terbesar di Gaza sejak gencatan senjata dengan Hamas berakhir minggu lalu, Israel berkata tenteranya, yang disokong oleh pesawat pejuang, telah sampai ke bahagian tengah Khan Younis dan juga mengelilingi bandar itu.
“Kami berada dalam hari yang paling sengit sejak permulaan operasi darat,” kata komander Komando Selatan tentera Israel, Jeneral Yaron Finkelman, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata tentera Israel turut bertempur di Jabalia, sebuah kem pelarian dan sarang Hamas di utara Gaza.
Sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam, berkata anggotanya telah memusnahkan atau merosakkan 24 kenderaan tentera Israel dan penembak hendapnya telah membunuh atau mencederakan lapan tentera Israel dalam pertempuran yang berterusan di pelbagai kawasan di Khan Younis.
Sebuah laman web tentera Israel menyenaraikan dua tenteranya telah terbunuh pada 5 Disember dan menjadikan 83 tentera terkorban sejak operasi darat bermula.
Secara berasingan, pegawai kesihatan Gaza berkata sejumlah besar orang terbunuh dalam serangan Israel di Deir al-Balah, utara Khan Younis.
Dr Eyad Al-Jabri, ketua Hospital Shuhada Al-Aqsa di sana, memberitahu Reuters sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh.
Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Gaza, Encik Richard Peeperkorn, berkata kebimbangan terbesarnya ialah mengenai kelemahan infrastruktur kesihatan Gaza.
“Infrastruktur kesihatan di Gaza, sistem kesihatan, lumpuh. Keadaan semakin teruk. Terdapat pengeboman yang lebih intensif berlaku termasuk di kawasan selatan iaitu Khan Younis dan juga di Rafah,” katanya.
Selepas berhari-hari mengarahkan penduduk meninggalkan kawasan itu, tentera Israel mengedarkan risalah baru dengan arahan supaya mereka tinggal di dalam tempat perlindungan semasa serangan itu dijalankan.
“Selepas 60 hari perang bermula, pasukan kami kini mengepung kawasan Khan Younis,” kata Leftenan Jeneral Herzi Halevi, ketua Staf Am Israel, merujuk kepada pencerobohan Hamas 7 Oktober ke atas Israel yang mencetuskan konflik.
Israel melancarkan kempennya sebagai balasan atas serangan Hamas di selatan Israel, membunuh 1,200 orang dan menahan 240 orang sebagai tebusan.
Dalam masa yang sama, Tentera Israel, pada 5 Disember semalam, dilaporkan membunuh seorang lagi lelaki Palestin di Tebing Barat yang diduduki dengan puluhan lagi ditahan dalam serbuan tentera selama 48 jam.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, Encik Mohammed Youssef Manasra, 25 tahun, terbunuh apabila tentera Israel menyerbu kem pelarian Qalandia berhampiran timur Baitulmaqdis.
Menurut Tentera Israel dalam satu kenyataan, pihaknya menahan dua suspek yang dikehendaki di Qalandia selain menahan 21 warga Palestin sejak malam 4 Disember.
Pada 5 Disember, Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, mendakwa Hamas telah berulang kali merogol wanita dan mencederakan tubuh mereka semasa serangan 7 Oktober ke atas selatan Israel, memetik mangsa terselamat dan saksi serangan.
Dalam satu kenyataan di saluran Telegramnya, Hamas berkata ia mengecam “percubaan Encik Biden untuk membuat tuduhan palsu” anggotanya melakukan keganasan seksual dan merogol pada 7 Oktober. – Agensi berita.
“
“Infrastruktur kesihatan di Gaza, sistem kesihatan, lumpuh. Keadaan semakin teruk. Terdapat pengeboman yang lebih intensif berlaku termasuk di kawasan selatan iaitu Khan Younis dan juga di Rafah.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg