KHAN YOUNIS (Gaza): Serangan udara sengit oleh tentera Israel ke atas selatan Jaluran Gaza pada 4 Disember telah meragut nyawa berpuluh-puluh rakyat Palestin dan mencederakan ramai yang lain.
Sasaran serangan udara juga termasuk kawasan yang telah pun tentera Israel arahkan penduduk untuk mencari perlindungan.
Tentera dan kereta kebal Israel juga melancarkan serangan darat dengan tujuan memusnahkan kumpulan militan Hamas di selatan Gaza, selepas mereka menguasai kawasan utara yang kini musnah.
Israel sebelum ini mengarahkan rakyat Palestin meninggalkan bandar utama selatan Gaza, Khan Younis.
Bagaimanapun, penduduk mengadu bahawa mereka tidak tahu ke mana hendak dituju kerana banyak kawasan kini menjadi sasaran serangan.
Letupan dilihat berlaku berhampiran dengan kawasan perumahan di Gaza, yang mengakibatkan banyak bangunan mengalami pemadaman sepenuhnya akibat kekurangan bekalan elektrik.
Sekutu terdekat Israel, Amerika Syarikat, sudah berulang kali menggesa orang awam diberi lebih perlindungan dan berkata serangan Israel di selatan tidak seharusnya berulang dengan ‘jumlah orang awam yang besar’ menjadi mangsa seperti di utara.
Di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Setiausaha Agungnya, Encik Antonio Guterres, merayu kepada Israel supaya mengelakkan tindakan selanjutnya yang akan memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah mencemaskan di Gaza.
Israel terus melancarkan serangan udara dan darat di Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober, yang menyebabkan 1,200 orang terbunuh dan lebih 240 orang ditahan sebagai tebusan.
Serangan balas Israel itu sejauh ini telah mengorbankan lebih 15,900 rakyat Palestin, kata kementerian kesihatan di Gaza.
“Bagi orang yang diarah berpindah, tidak ada tempat yang selamat untuk dituju dan sangat sukar untuk meneruskan kehidupan,” kata jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric.
Amerika juga menyatakan bahawa ia menjangkakan Israel mengelak daripada menyerang kawasan yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Israel sebagai zon hindari serangan di Gaza.
“Mereka juga telah menunjukkan bahawa terdapat kawasan di mana akan ada zon ‘hindari serangan’. Dan di zon itu, kami menjangkakan Israel tidak akan melakukan serangan,” kata Penasihat Keselamatan Negara, Encik Jake Sullivan, kepada pemberita di Rumah Putih.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pada 4 Disember bahawa tentera Israel telah memberitahu agensi kesihatan PBB itu supaya mengosongkan sebuah gudang bantuan di selatan Gaza sebelum serangan darat di kawasan itu menjadikannya tidak dapat beroperasi.
“Hari ini, WHO menerima pemberitahuan daripada Pasukan Pertahanan Israel bahawa kami harus mengeluarkan bekalan kami dari gudang perubatan di selatan Gaza dalam masa 24 jam kerana operasi darat akan menyebabkan ia tidak akan dapat digunakan,” tulis Encik Tedros di X (sebelum ini Twitter).
“Kami merayu kepada Israel supaya menarik balik perintah itu dan mengambil setiap langkah yang mungkin untuk melindungi orang awam dan prasarana awam, termasuk hospital dan kemudahan kemanusiaan,” tulisnya lagi. – Reuters.
“
“Bagi orang yang diarah berpindah, tidak ada tempat yang selamat untuk dituju dan sangat sukar untuk meneruskan kehidupan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg