Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel siap hantar pulang aktivis selepas kapal dipintas

Jun 10, 2025 | 1:22 PM
Para penumpang kapal layar, termasuk aktivis, Cik Greta Thunberg, yang membawa beras dan susu formula ke Gaza, mengangkat tangan ketika tentera Israel memasuki kapal itu selepas memintasnya di perairan antarabangsa.
Para penumpang kapal layar, termasuk aktivis, Cik Greta Thunberg, yang membawa beras dan susu formula ke Gaza, mengangkat tangan ketika tentera Israel memasuki kapal itu selepas memintasnya di perairan antarabangsa. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Penggiat kempen, Cik Greta Thunberg, dan beberapa aktivis pro-Palestin lain telah dibawa ke lapangan terbang Tel Aviv sebelum pengusiran mereka, kata Kementerian Luar Israel pada 10 Jun, selepas tentera laut Israel memintas kapal layar mereka daripada menuju ke Gaza.

Tentera Israel menaiki kapal itu ketika ia menghampiri Gaza pada awal 9 Jun dan cuba menembusi sekatan tentera laut yang telah dilaksanakan bertahun-tahun di wilayah pantai itu.

Mereka menahan 12 anak kapal termasuk jurukempen asal Sweden, Cik Thunberg.

Kapal layar berbendera British itu dibawa ke pelabuhan Ashdod di Israel dan kementerian luar nega itu berkata para aktivis itu telah dipindahkan semalaman ke lapangan terbang Ben Gurion.

“Beberapa penumpang ‘Kapal Layar Swafoto’ dijangka berlepas dalam beberapa jam akan datang.

“Mereka yang enggan menandatangani dokumen pengusiran dan meninggalkan Israel akan dibawa ke hadapan pihak berkuasa kehakiman, mengikut undang-undang Israel, untuk membenarkan pengusiran mereka,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Wakil konsular daripada negara asal para penumpang itu telah menemui mereka di lapangan terbang, tambahnya.

Para aktivis tersebut telah membawa muatan kecil bantuan kemanusiaan, termasuk beras dan susu formula bayi, dan berkata mereka mahu meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai krisis kemanusiaan di Gaza, yang telah musnah akibat perang berbulan-bulan.

Israel menganggap pelayaran itu sebagai satu aksi publisiti pro-Hamas.

“Sejumlah kecil bantuan yang ada di atas kapal layar dan tidak digunakan oleh ‘selebriti’ itu akan dipindahkan ke Gaza melalui saluran kemanusiaan sebenar,” kata Kementerian Luar Israel lagi.

Cik Thunberg menuduh Israel menculiknya di perairan antarabangsa.

“Saya menggesa semua rakan, keluarga dan rakan seperjuangan saya supaya memberi tekanan kepada pemerintah Sweden agar membebaskan saya dan yang lain secepat mungkin,” katanya dalam video yang dirakam menjelang tindakan tentera laut Israel itu.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menolak dakwaan Cik Thunberg sebagai diculik.

“Saya rasa Israel mempunyai masalah yang mencukupi tanpa menculik Greta Thunberg,” katanya.

Para anggota pelayaran anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC) itu terdiri daripada warga Brazil, Perancis, Jerman, Belanda, Sepanyol, Sweden dan Turkey.

Antaranya ialah Cik Rima Hassan, Anggota Parlimen Eropah dari Perancis, dan Encik Omar Faiad, wartawan Perancis dengan Al Jazeera.

Terdahulu pada 9 Jun, Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, telah menyeru pemulangan segera enam aktivis Perancis di dalam kapal itu dan menyeru Israel supaya memastikan “perlindungan” aktivis itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg