MUWASI (Jaluran Gaza): Kemusnahan akibat peperangan dan pengepungan oleh Israel, rakyat Palestin meraikan Aidiladha atau Hari Raya Korban dalam suasana kelam pada 5 Jun.
Ini kerana tiada daging segar telah memasuki Gaza sekitar tiga bulan angkara tindakan Israel menyekat penghantaran makanan dan bantuan lain ke wilayah yang kini hampir musnah sepenuhnya.
Tindakan Israel itu bertujuan menekan Hamas supaya membebaskan tebusan yang masih ditahannya dalam serangan 7 Oktober 2023, mencetuskan perang di Gaza.
Ketiadaan bekalan daging turut disebabkan hampir semua kambing biri-biri, lembu dan kambing tempatan di wilayah itu mati ekoran pengeboman dan serangan darat Israel selama 20 bulan.
Beberapa ekor ternakan yang masih ada, dijual di kandang sementara di kawasan perkhemahan di Muwasi, di selatan Gaza.
Masalahnya, tiada siapa yang mampu membelinya meskipun beberapa orang datang untuk melihat kambing biri-biri dan kambing, bersama seekor lembu dan unta yang dijual di situ.
“Saya tak mampu nak beli roti pun. Tiada daging, tiada sayur-sayuran. Harganya sangat luar biasa mahal,” kata Encik Abdel Rahman Madi.
Hari Raya Aidiladha adalah bagi memperingati ujian iman terhadap Nabi Ibrahim as yang sanggup mengorbankan anaknya sebagai penyerahan diri kepada Tuhan.
Perayaan itu membawa sedikit kegembiraan kepada para peniaga apabila orang ramai membeli makanan dan hadiah untuk keluarga masing-masing.
Tetapi harga untuk segala-galanya telah melonjak di tengah-tengah sekatan, yang hanya berkurang sedikit dua minggu lalu.
Namun, daging, buah-buahan dan sayur-sayuran tidak kelihatan sejak beberapa minggu lalu.
Di pasar jalanan di bandar Khan Younis yang berdekatan, beberapa gerai dilihat menjual mainan kambing biri-biri dan pakaian terpakai.
Tetapi kebanyakan orang berlalu pergi tanpa membeli apa-apa selepas melihat harga yang ditawarkan.
“Sebelum ini, suasana Aidilfitri disambut dengan gembira tetapi akibat sekatan sekarang, tiada tepung, tiada pakaian, tiada kegembiraan,” kata Cik Hala Abu Nqeira.
“Kami hanya pergi mencari tepung untuk anak-anak kami. Kami keluar setiap hari mencari tepung pada harga yang berpatutan, tetapi kami mendapatinya pada harga yang sukar dipercayai,” tambah beliau.
Kempen ketenteraan Israel terhadap Hamas telah hampir memusnahkan keupayaan Gaza untuk menghasilkan makanan untuk penduduknya sendiri.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata 96 peratus ternakan dan 99 peratus ayam mati akibat perang.
Lebih 95 peratus tanah pertanian di Gaza pula tidak boleh digunakan kerana terlalu rosak atau tidak boleh diakses di dalam zon tentera Israel.
Demikian menurut tinjauan tanah yang diterbitkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB.
Israel melarang semua makanan dan bekalan lain daripada memasuki Gaza selama lebih dua bulan.
Ia hanya melonggarkan sekatan dua minggu lalu untuk membolehkan trak bantuan masuk untuk diedarkan oleh PBB.
Trak telah membawa masuk beberapa bahan makanan, terutama tepung tetapi PBB berkata ia sukar mengagihkan bantuan yang masuk kerana rompakan atau sekatan tentera Israel.
Hampir keseluruhan penduduk lebih daripada dua juta orang telah diusir dari rumah mereka, dan kebanyakannya terpaksa berpindah beberapa kali untuk melarikan diri daripada serangan Israel. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg