Topic followed successfully
Go to BHkuIsrael sokong gencatan senjata AS–Iran, tidak libatkan Lebanon
Israel sokong gencatan senjata AS–Iran, tidak libatkan Lebanon
Israel sokong gencatan senjata AS–Iran, tidak libatkan Lebanon
TEL AVIV: Israel menyatakan sokongan terhadap keputusan Amerika Syarikat menggantung serangan ke atas Iran selama dua minggu, namun menegaskan bahawa gencatan senjata tersebut tidak merangkumi Lebanon.
Dalam satu kenyataan rasmi, pejabat Benjamin Netanyahu berkata Israel menyokong langkah Presiden Donald Trump untuk menangguhkan serangan, dengan syarat Iran membuka laluan perkapalan dan menghentikan semua serangan di rantau tersebut.
“Israel menyokong keputusan Presiden Trump untuk menggantung serangan terhadap Iran selama dua minggu, tertakluk kepada Iran membuka selat secara segera dan menghentikan semua serangan terhadap Amerika Syarikat, Israel dan negara di rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Israel memaklumkan bahawa Washington telah menyampaikan komitmennya kepada Tel Aviv untuk mencapai matlamat bersama dalam rundingan yang akan datang.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut menegaskan bahawa gencatan senjata itu “tidak termasuk Lebanon”, sekali gus bercanggah dengan pengumuman awal oleh Perdana Menteri Pakistan Encik Shehbaz Sharif yang sebelum ini menyatakan gencatan senjata meliputi semua kawasan termasuk negara tersebut.
Encik Sharif sebelum ini berkata Amerika Syarikat, Iran dan sekutu masing-masing telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata “di semua kawasan, termasuk Lebanon”, hasil usaha pengantaraan Pakistan.
Lebanon terheret ke dalam perang selepas kumpulan Hezbollah yang disokong Iran melancarkan serangan roket ke atas Israel. Serangan itu mencetuskan pencerobohan Israel serta serangan udara di seluruh Lebanon yang telah mengorbankan lebih 1,500 nyawa, menurut pihak berkuasa.
Israel sebelum ini menggesa Encik Trump untuk menyertai perang menentang Iran, musuh ketatnya, dan dalam serangan pertama pada Februari telah membunuh pemimpin tertinggi Iran yang lama berkuasa, Ayatollah Ali Khamenei.
Israel dilaporkan bersetuju untuk menyertai gencatan senjata dengan Iran selama dua minggu, seperti diumumkan Presiden Trump, kata Pegawai Kanan Rumah Putih kepada media Amerika Syarikat.
Menurut laporan, Tel Aviv akur dengan gencatan senjata itu selagi Teheran tidak melancarkan serangan susulan. Iran pula dilapor memberi isyarat bahawa tiada serangan lanjut daripada pihaknya akan berlaku.
Encik Trump membuat pengumuman mengejut mengenai gencatan senjata di platform Truth Social, hanya beberapa hari selepas mengugut akan melancarkan serangan udara ke atas kemudahan nuklear Iran.
Encik Trump berkata, gencatan senjata secara berperingkat selama 24 jam akan bermula tengah malam 7 April dengan memberi kedua-dua negara tempoh enam jam untuk menamatkan serta menyelesaikan misi terakhir sedang dijalankan.
Menurut pegawai Rumah Putih, perjanjian gencatan senjata dirunding Encik Trump melalui panggilan telefon dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.
Sementara itu, Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance; Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio dan Utusan Khas, Encik Steve Witkoff, akan mengadakan perbincangan secara langsung serta tidak langsung dengan pihak Iran.
Encik Vance mengesahkan Trump sentiasa menghubungi pihak lain melalui panggilan telefon untuk mencapai perjanjian. “Presiden mahu melihat Asia Barat menjadi aman dan makmur,” katanya.
Pada 7 April, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, menegaskan tiada perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Iran. Namun, Iran memberi jaminan jika Israel menghentikan serangan yang menyalahi undang-undang antarabangsa, Tehran tidak berhasrat untuk meneruskan tindak balas susulan selepas itu. - Agensi berita

