Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel tahu rancangan serangan Hamas setahun lalu: Laporan

Dec 1, 2023 | 12:46 PM
MEMORIAL: Askar Israel melihat gambar mangsa festival muzik Nova di tapak festival berhampiran Kibbutz Reim, berhampiran sempadan Gaza di selatan Israel, pada 29 November. Lebih 360 orang yang menghadiri festival itu terbunuh semasa serangan  Hamas pada 7 Oktober.
MEMORIAL: Askar Israel melihat gambar mangsa festival muzik Nova di tapak festival berhampiran Kibbutz Reim, berhampiran sempadan Gaza di selatan Israel, pada 29 November. Lebih 360 orang yang menghadiri festival itu terbunuh semasa serangan Hamas pada 7 Oktober. - Foto EPA-EFE

NEW YORK: Para pegawai Israel dilaporkan mengetahui rancangan kumpulan Hamas hendak melakukan serangan 7 Oktober 2023 lebih setahun sebelum ia berlaku, menurut dokumen, e-mel dan wawancara.

Namun, pegawai tentera dan perisikan Israel menolak rancangan itu sebagai satu ‘aspirasi’ sahaja, memandangkan terlalu sukar untuk Hamas melaksanakannya, lapor The New York Times (NYT) pada Jumaat.

Dokumen 40 muka surat yang diberi nama kod ‘Tembok Jericho’ oleh pihak berkuasa Israel merangkumi perincian tentang serangan ke atas Israel yang membunuh kira-kira 1,200 orang itu.

Dokumen yang telah diterjemahkan dan dikaji oleh NYT itu tidak menetapkan tarikh serangan, tetapi menjelaskan serangan yang diatur untuk merobohkan benteng sekitar Jaluran Gaza, menguasai bandar-bandar Israel dan menyerbu pangkalan tentera utama, termasuk ibu pejabat divisyen.

Hamas mengikuti pelan tindakan itu dengan ketepatan mengejutkan. Dokumen tersebut menyatakan pada awal serangan itu, roket akan dilancar, dan dron serta mesingan automatik akan digunakan untuk menumbangkan kamera keselamatan di sepanjang sempadan untuk penembak memasuki Israel secara besar-besaran dengan paraglider, motosikal dan berjalan kaki. Itu semua berlaku pada 7 Oktober.

Rancangan itu juga termasuk butiran mengenai lokasi dan saiz pasukan tentera Israel, hab komunikasi dan maklumat sensitif lain – menimbulkan persoalan bagaimana Hamas mengumpulkan perisikannya dan apakah berlaku kebocoran dalam institusi keselamatan Israel.

Dokumen itu diedar secara meluas dalam kalangan pemimpin tentera dan perisikan Israel, tetapi pakar berpendapat saerangan berskala itu melampaui keupayaan Hamas.

Tidak jelas sama ada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, atau pemimpin politik tertinggi lain telah melihat dokumen tersebut.

Pada 2022, sejurus selepas dokumen tersebut diperoleh, pegawai tentera Israel bahagian Gaza, yang bertanggungjawab mempertahan sempadan dengan Gaza, yang diperintah Hamas, mengatakan pelan itu tidak jelas.

“Belum dapat ditentukan sama ada rancangan itu telah diterima sepenuhnya dan bagaimana ia akan dilaksanakan,” menurut penilaian ketenteraan yang dikaji NYT.

Pada Julai, tiga bulan sebelum serangan itu, seorang penganalisis veteran Unit 8200, iaitu agensi perisikan isyarat Israel, memberi amaran bahawa Hamas telah menjalankan latihan sepanjang hari yang kelihatan serupa dengan apa yang digariskan dalam pelan tindakan tersebut.

Namun, seorang kolonel di bahagian Gaza menepis kebimbangannya, menurut e-mel sulit yang diperolehi itu. “Saya menolak sepenuhnya bahawa senario itu adalah khayalan,” tulis analisis tersebut dalam pertukaran e-mel. Latihan Hamas, menurutnya, tepat dengan “isi kandungan Tembok Jericho”.

“Ia adalah rancangan yang direka untuk memulakan perang. Bukan sekadar serangan ke atas sebuah kampung,” ujarnya lagi.

Para pegawai secara peribadi mengakui bahawa sekiranya tentera mengambil amaran itu dengan serius dan mengarahkan bala tentera yang besar ke selatan, Israel boleh menumpulkan serangan Hamas atau mungkin menghalangnya.

Pegawai keselamatan Israel dilaporkan mengakui mereka gagal melindungi negara, dan pemerintah dijangka membentuk sebuah suruhanjaya untuk mengkaji peristiwa yang membawa kepada serangan tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg