Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel tangguh lancar serangan darat ke atas Rafah

Apr 15, 2024 | 1:13 PM
Penduduk Palestin menghabiskan masa di pantai berdekatan dengan kem pelarian Rafah, selatan Jaluran Gaza,  pada 13 April sedang Israel menangguhkan rancangan untuk melancarkan serangan darat di Rafah.
Penduduk Palestin menghabiskan masa di pantai berdekatan dengan kem pelarian Rafah, selatan Jaluran Gaza, pada 13 April sedang Israel menangguhkan rancangan untuk melancarkan serangan darat di Rafah. - Foto EPA-EFE

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah memutuskan untuk menangguhkan serangan darat ke atas bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. Keputusan ini berikutan serangan balas oleh Iran yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Israel, lapor stesen penyiaran awam negara itu pada 14 April.

Menurut stesen penyiaran awam itu, penangguhan operasi darat diputuskan selepas berunding dengan rangkaian keselamatan Israel.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Encik Avigdor Smotrich membuat gesaan untuk menceroboh Rafah dan mengenakan kawalan ke atas seluruh Jaluran Gaza.

Penangguhan itu dibuat selepas Iran melancarkan kira-kira 300 peluru berpandu dan dron ke arah Israel pada lewat petang Sabtu, 13 April. Tel Aviv mendakwa sudah memintas sebahagian besar daripadanya.

Serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini itu adalah sebagai tindak balas kepada serangan peluru berpandu pada 1 April lalu yang menyasarkan bahagian konsulat kedutaan Iran di Damsyik, yang membunuh beberapa komander tentera Iran.

Walaupun bantahan antarabangsa semakin meningkat mengenai rancangan serangan ke atas Rafah itu, Encik Netanyahu pada minggu lalu berkata tarikh sudah ditetapkan untuk serangan ke atas Rafah.

Encik Netanyahu kini sedang ditekan bukan sahaja di negara sendiri malah rakan pakatan sayap kanannya yang didakwa berang sewaktu perbincangan mengenai gencatan senjata dan tidakan Israel yang terpaksa menarik keluar tenteranya dari selatan Gaza.

Ketika ini, kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza berlindung di bandar itu, yang masih belum berdepan serangan darat berskala besar Israel. Israel mendakwa Rafah antara kubu terakhir Hamas di Gaza.

Bagaimanapun, Encik Netanyahu tidak menyatakan bila pencerobohan akan berlaku tetapi pemimpin itu mengulangi kenyataan bahawa kemenangan ke atas Hamas memerlukan serangan ke Rafah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg