WASHINGTON: Israel hampir menerima perjanjian gencatan senjata dengan Hamas, ketika bantuan kemanusiaan pertama oleh Amerika Syarikat digugurkan ke Gaza, menurut seorang pegawai kanan Amerika, pada 2 Mac.
Menurut pegawai itu, perjanjian itu bagaimanapun bermula pada bila-bila masa jika kumpulan Palestin itu menandatangani pembebasan tebusan berisiko yang ditawannya.
“Israel hampir menerimanya dan sekarang ini, keputusan terpulang kepada Hamas,” menurut pegawai itu ketika dihubungi media.
Perunding telah bersungguh-sungguh mengusahakan gencatan senjata sebelum Ramadan, dengan harapan konflik hampir lima bulan yang telah melanda Gaza yang diperintah Hamas itu akan berakhir.
Rundingan di Mesir itu dijadualkan disambung pada 3 Mac.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas pesawat kargo tentera Amerika mula menghantar bantuan kemanusiaan ke Jaluran Gaza yang terkepung.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran mengenai kebuluran di Gaza dan lebih 100 orang terkorban awal minggu ini ketika menunggu konvoi trak yang menghulurkan bantuan, dengan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai.
Sebanyak 38,000 pek makanan digugurkan ke Gaza menggunakan payung terjun pada 2 Mac dalam usaha memberikan bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang terjejas akibat konflik yang sedang berlaku.
Makanan itu terdiri daripada catuan tentera Amerika yang tidak mengandungi daging babi.
“Ia akan menjadi gencatan senjata selama enam minggu di Gaza bermula hari ini jika Hamas bersetuju membebaskan kategori tebusan berisiko seperti sakit, cedera, warga emas dan wanita,” kata pegawai pentadbiran itu.
Memberi bayangan keadaan kemanusiaan yang teruk, ketika keganasan berleluasa, kementerian kesihatan wilayah yang dikepung melaporkan lebih daripada sedozen kematian akibat kekurangan zat makanan kanak-kanak dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Israel masih belum mengesahkan bahawa ia telah menerima rancangan gencatan senjata itu.
Anggota kumpulan Hamas menawan kira-kira 250 tebusan pada serangan rentas sempadan 7 Oktober lalu, 130 daripadanya kekal di Gaza, termasuk 31 yang menurut Israel sudah meninggal dunia.
Tidak jelas berapa ramai baki tebusan yang dianggap berisiko.
Sementara itu, Amerika berharap sebarang gencatan senjata akan mewujudkan ruang untuk keamanan yang lebih berkekalan.
Terdahulu, Amerika yang menyediakan bantuan ketenteraan berbilion dolar kepada Israel, berkata ia mula menghantar bantuan ke Gaza yang dilanda peperangan.
Permulaan operasi bantuan Amerika berlaku sehari selepas Presiden Joe Biden mengumumkan langkah itu dan bercakap tentang “perlu melakukan lebih banyak” untuk mengurangkan krisis kemanusiaan yang teruk.
Tetapi bantuan makanan yang dijatuhkan dari udara itu tidak boleh menggantikan “keperluan asas untuk memindahkan bantuan melalui seberapa banyak lintasan darat yang mungkin”, kata pegawai Amerika itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg