BAITULMAKDIS: Tentera Israel meneruskan serangan ke atas Bandar Gaza dan seluruh Jaluran Gaza pada 20 September walaupun perbuatan tersebut terus dikecam sebahagian negara di dunia.
Ini termasuk memusnahkan terowong bawah tanah serta memasang perangkap bom pada bangunan dalam serangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 60 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Serangan itu berlaku ketika 10 negara – termasuk Australia, Belgium, Britain dan Canada – dijadualkan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi pada 22 September, menjelang perhimpunan tahunan pemimpin dunia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bakal berlangsung minggu depan.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, berkata pengiktirafan kenegaraan Palestin di Perhimpunan Agung PBB akan mempercepat pelaksanaan huraian dua negara.
Timbalan Perdana Menteri Britain, Encik David Lammy berkata: “Sebarang langkah untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin adalah kerana kami ingin mengekalkan pilihan huraian dua negara.”
Tentera Israel memperhebat pemusnahan bangunan tinggi di Bandar Gaza minggu ini, selari dengan serangan darat menurut laporan AFP, Reuters dan Al Jazeera.
Pasukan tentera yang menduduki kawasan timur Bandar Gaza terus membedil Sheikh Radwan dan Tel Al-Hawa, kawasan tempat sebahagian besar penduduk cari perlindungan.
Ia merupakan kawasan strategik yang membolehkan pihak tentera mara ke bahagian tengah dan barat bandar berkenaan.
Tentera Israel menganggarkan telah memusnahkan sehingga 20 blok pangsapuri di Bandar Gaza sejak dua minggu lalu.
Menurut media Israel, pihak tentera Israel mendakwa lebih 500,000 penduduk telah meninggalkan Bandar Gaza sejak awal September.
Hamas, yang berkuasa di Gaza, membantah dakwaan ini.
Ia menyatakan hanya hampir 300,000 penduduk meninggalkan Bandar Gaza, manakala kira-kira 900,000 orang masih kekal di sana, termasuk warga Israel yang dijadikan tebusan.
Sayap tentera Hamas telah menyiarkan gambar tebusan Israel di platform Telegram, sebagai amaran bahawa nyawa mereka terancam akibat operasi ketenteraan Israel di Bandar Gaza.
Hamas turut menganggarkan bahawa sejak 11 Ogos, tentera Israel telah memusnahkan atau merosakkan lebih 1,800 bangunan kediaman di Bandar Gaza, serta memusnahkan lebih 13,000 khemah yang menempatkan keluarga yang terpaksa berpindah.
Dalam konflik yang telah berlarutan selama hampir dua tahun, serangan Israel telah mengorbankan lebih 65,000 rakyat Palestin, memusnahkan bangunan berulang kali dan memaksa sebahagian besar penduduk berpindah-randah.
Selain itu, langkah sekatan ke atas bantuan kemanusiaan Israel telah menimbulkan krisis kebuluran dalam kalangan penduduk.
Israel mendakwa krisis kebuluran di Gaza diperbesarkan dan sebahagian besar kesalahan terletak pada Hamas.
Sayap tentera Israel yang menyelaras bantuan ke Gaza, Cogat, mendakwa Hamas telah menembak pasukan PBB pada 20 September dan menghalang pembukaan laluan bantuan baru di selatan Jaluran Gaza.
Hamas secara tegas menafikan dakwaan itu dan sebaliknya berkata bahawa kumpulan jenayah – yang dilindungi kuasa tembakan serta sokongan udara Israel – telah menyerang trak bantuan, merompak dan mencuri bantuan kemanusiaan.
PBB belum memberi ulasan mengenai perkara itu.
“Kami telah berulang kali, siang dan malam, menyeru organisasi PBB untuk menjalankan kerja kemanusiaan dan bantuan,” kata seorang pegawai media kanan Hamas kepada Reuters.
Konflik terkini antara Israel dengan Palestin tercetus selepas Hamas mengadakan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan nyawa 1,200 orang.
Ia juga menculik 251 orang sebagai tebusan.
Sejumlah 48 tebusan masih berada di Gaza, dan kira-kira 20 individu dipercayai masih hidup.
Sehingga pertengahan September, lebih 68,000 warga Palestin, termasuk wanita, kanak-kanak dan wartawan, dianggarkan telah terbunuh akibat serangan Israel.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg