KAHIRAH/GAZA: Israel menyerang selatan dan tengah Jaluran Gaza pada 15 Julai untuk memberi lebih tekanan ke atas Hamas, berikutan serangan hujung minggunya yang menyasarkan kepimpinan kumpulan militan itu.
Serangan Israel itu membunuh berpuluh-puluh rakyat Palestin yang telah mencari perlindungan di kem sementara.
Dua hari selepas serangan Israel itu mengubah kawasan Mawasi yang sesak berhampiran pantai Mediterranean musnah hangus, tersadai kereta-kereta terbakar dan mayat rentung, mangsa yang terselamat berkata mereka tidak tahu ke mana lagi mereka harus pergi.
“Saat-saat ketika tanah yang diinjak bergegar, debu serta pasir naik ke langit dan saya melihat mayat yang terputus-putus – sesuatu yang tidak pernah saya lihat sepanjang hidup saya,” kata Encik Aya Mohammad, 30 tahun, seorang penjual di pasar di Mawasi, yang dihubungi dengan teks pesanan talian mudah alih.
“Ke mana lagi kami harus pergi, tanya semua orang dan tiada sesiapa yang mempunyai jawapannya.”
Mawasi yang terletak di pinggir barat Khan Younis, telah menjadi kawasan yang melindungi ratusan ribu penduduk Palestin yang melarikan diri ke kawasan tersebut selepas Israel mengisytiharkannya sebagai zon selamat.
Israel berkata serangannya di sana pada 13 Julai, menyasarkan komander tentera, Hamas Mohammed Deif, seorang arkitek serangan 7 Oktober ke atas bandar dan kampung Israel, yang mencetuskan perang Gaza.
Tentera Israel berkata ia menyerang kawasan lapang, dengan beberapa bangunan dan bangsal, sambil menambah ia adalah kawasan yang dikendalikan oleh Hamas dan bukannya khemah.
Pegawai Palestin berkata sekurang-kurangnya 90 orang terbunuh pada 13 Julai dan ratusan lagi cedera.
Wartawan Reuters di tempat kejadian merakam pembunuhan beramai-ramai, dengan penduduk membawa mangsa yang cedera dan mati di tengah-tengah api dan asap.
Lebih jauh ke selatan di Rafah, tumpuan utama kemaraan Israel sejak Mei, penduduk melaporkan pertempuran baru pada 15 Julai.
Tentera Israel di bahagian barat dan tengah bandar itu, meletupkan beberapa rumah, kata mereka.
Pegawai perubatan berkata, mereka menemui 10 mayat rakyat Palestin yang terkorban akibat tembakan Israel di kawasan timur bandar itu, sebahagian daripada mayat itu sudah mula membusuk. –Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg