Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera darat Israel lancarkan serangan ofensif di seluruh Jaluran Gaza

Dec 4, 2023 | 12:48 PM
MENCARI PERLINDUNGAN: Para penduduk Palestin yang melarikan diri daripada Jaluran Gaza, menunggu peluang melintasi Rafah di sempadan Mesir, di tengah-tengah pertempuran antara tentera Israel dengan militan Hamas.
MENCARI PERLINDUNGAN: Para penduduk Palestin yang melarikan diri daripada Jaluran Gaza, menunggu peluang melintasi Rafah di sempadan Mesir, di tengah-tengah pertempuran antara tentera Israel dengan militan Hamas. - Foto AFP

KAHIRAH/GAZA: Israel memperluaskan serangan darat di Gaza dengan berkata ofensif ke atas Hamas di selatan akan membawa “kekuatan tidak kurang samanya” di bahagian utara.

Tentera Israel berkata pada 3 Disember bahawa pihaknya juga telah mengarahkan lebih banyak pemindahan di selatan yang sesak penduduknya sedang ia memperhebat serangan.

Namun, para penduduk Palestin berkata mereka kehabisan tempat untuk mencari perlindungan di wilayah terkepung yang bersempadan Israel dengan Mesir.

Ramai daripada 2.3 juta penduduk Gaza bersesak-sesak di selatan selepas Israel mengarahkan orang awam meninggalkan wilayah utara selepas perang tercetus ekoran serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober yang mengorbankan lebih 1,200 dan lebih 240 orang ditahan sebagai tebusan.

Selepas gelap, bedilan dan tembakan kedengaran di tengah bandar Deir al-Balah ketika suar menyala di langit. Di bandar Khan Younis kedua terbesar di Gaza, dron Israel berlegar di ruang udara.

Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Volker Türk, menggesa perang dihentikan, berkata penderitaan orang awam “terlalu berat untuk ditanggung.”

Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata lebih 15,000 orang telah terbunuh dan lebih 41,000 cedera sejak perang bermula pada 7 Oktober.

Kementerian tersebut tidak membezakan antara kematian orang awam dan pejuang, tetapi berkata 70 peratus yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Encik Ashraf al-Qidra, berkata bahawa ratusan orang telah terbunuh atau cedera sejak gencatan senjata selama seminggu berakhir pada Jumaat. Majoriti mangsa masih berada di bawah runtuhan bangunan yang musnah.

Ketakutan akan konflik yang lebih luas semakin menjadi-jadi. Sebuah kapal perang Amerika Syarikat dan beberapa kapal komersial bertindak balas terhadap isyarat kecemasan daripada kapal kontena di Laut Merah, kata Pentagon.

Pemberontak Houthi Yaman yang disokong Iran mendakwa serangan ke atas dua kapal yang mereka sifatkan sebagai dikaitkan dengan Israel tetapi tidak mengakui menyasarkan kapal perang Amerika itu.

Harapan untuk satu lagi gencatan senjata sementara di Gaza semakin pudar. Gencatan senjata itu memudahkan pembebasan berpuluh-puluh daripada kira-kira 240 tebusan Israel dan asing yang ditahan di Gaza sebagai pertukaran untuk rakyat Palestin yang dipenjarakan oleh Israel.

Tetapi Israel telah memanggil perundingnya pulang dan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, berkata perang akan berterusan sehingga “semua matlamatnya” tercapai. Salah satunya adalah untuk menyingkirkan Hamas daripada kuasa di Gaza.

Pegawai kanan Hamas, Encik Osama Hamdan, berkata menyambung semula rundingan dengan Israel mengenai pertukaran selanjutnya mesti terikat dengan gencatan senjata kekal.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, Encik John Kirby, berkata pihaknya masih bekerja keras untuk memulihkan gencatan senjata dan membebaskan lebih ramai tebusan.

“Walaupun gencatan senjata telah ditarik balik, dan tiada pertukaran tebusan berlaku, namun bantuan kemanusiaan terus dibenarkan masuk, termasuk bahan api, yang kritikal,” tambah Encik Kirby. – Reuters.​

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg