KAHIRAH: Tentera Israel dilaporkan menggerakkan kereta-kereta kebalnya ke timur Jabalia di utara Jaluran Gaza pada awal 12 Mei.
Ini selepas melancarkan pengeboman udara dan serangan darat pada malam sebelumnya, membunuh 19 orang dan mencederakan berpuluh yang lain, kata pegawai kesihatan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka kematian dalam operasi ketenteraan Israel di Gaza kini telah melepasi 35,000.
Pengeboman telah memusnahkan wilayah pantai itu dan menyebabkan krisis kemanusiaan yang semakin mencengkam.
Jabalia ialah kem pelarian terbesar yang menempatkan lebih 100,000 orang.
Lewat 11 Mei, tentera Israel berkata pasukan yang beroperasi di Jabalia menghalang Hamas, yang mengawal Gaza, daripada membangunkan keupayaan ketenteraannya di sana.
“Kami mengenal pasti, dalam beberapa minggu lalu, percubaan Hamas memulihkan keupayaan ketenteraannya di Jabalia.
“Kami beroperasi di sana untuk menghapuskan percubaan itu,” kata Laksamana Muda Daniel Hagari, jurucakap tentera Israel, semasa taklimat kepada wartawan.
Beliau juga berkata tentera Israel yang beroperasi di daerah Zeitoun di Bandar Gaza telah membunuh kira-kira 30 militan Palestin.
“Pengeboman dari udara dan serangan darat berlarutan sejak semalam; mereka mengebom di mana-mana, termasuk berhampiran sekolah yang menempatkan orang yang kehilangan rumah,” kata Encik Saed, 45 tahun, seorang penduduk Jabalia.
“Perang bermula semula dan ini telah memaksa ramai keluarga berpindah,” tambahnya.
Tentera menghantar kereta kebal kembali ke Zeitoun, pinggir timur Bandar Gaza dan Sabra.
Para penduduk turut melaporkan pengeboman berat yang memusnahkan beberapa rumah.
Tentera mendakwa telah menguasai kebanyakan kawasan ini beberapa bulan lalu.
Kemudian pada 12 Mei, semboyan dibunyikan di bandar Ashkelon, Israel, akibat tembakan roket dari Gaza – tanda militan di sana masih boleh melancarkan serangan roket selepas lebih tujuh bulan berperang.
Saluran Al-Aqsa TV yang dikendali Hamas berkata dalam akaun Telegramnya bahawa roket itu dilancarkan dari Jabalia, walaupun serangan tentera aktif di sana.
Serangan Israel berskala penuh ke atas bandar Rafah di selatan Gaza “tidak boleh berlaku”, kata Ketua Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Volker Turk, pada 12 Mei.
“Arahan pemindahan terkini menjejaskan hampir sejuta penduduk di Rafah. Jadi ke mana mereka harus pergi sekarang? Tiada tempat selamat di Gaza!” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata beliau amat tertekan dengan keadaan yang semakin merosot dengan pantas di Gaza dan menambah bahawa arahan pemindahan terkini telah mencetuskan “perpindahan besar-besaran penduduk yang sudah sangat trauma”.
Sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam berkata anggota mereka menyerang tentera Israel di beberapa kawasan di dalam Gaza dengan roket antikereta kebal dan bom mortar, termasuk di Rafah.
Syarikat Telekomunikasi Palestin berkata perkhidmatan Internet di kawasan selatan Gaza terputus kerana “pencerobohan” yang berterusan, sambil menambah bahawa pekerja sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah itu.
Menteri Luar Mesir, Encik Sameh Shoukry, berkata Kahirah akan meneruskan pengantaraannya antara Israel dengan Hamas, dan menggesa kedua-dua pihak supaya menunjukkan fleksibiliti untuk mencapai perjanjian.
Peperangan itu dicetuskan oleh serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan 240 yang lain sebagai tebusan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg