Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel umum sekatan keselamatan di Masjid Al-Aqsa sempena Ramadan

Feb 28, 2025 | 2:53 PM
Jemaah berjalan di sekitar Kubah Batu di kawasan Masjid Al-Aqsa, yang turut dikenali oleh penganut Yahudi sebagai Temple Mount, ketika persiapan menyambut bulan suci Ramadan di Kota Lama Baitulmakdis pada 25 Februari.
Jemaah berjalan di sekitar Kubah Batu di kawasan Masjid Al-Aqsa, yang turut dikenali oleh penganut Yahudi sebagai Temple Mount, ketika persiapan menyambut bulan suci Ramadan di Kota Lama Baitulmakdis pada 25 Februari. - REUTERS

BAITULMAKDIS: Israel mengumumkan akan melaksanakan sekatan keselamatan di kawasan Masjid Al-Aqsa sepanjang bulan suci Ramadan, yang bermula hujung minggu ini. Sekatan ini dijangka akan menghalang sebahagian pengunjung dari memasuki kawasan tersebut bagi menjaga keselamatan awam.

Masjid Al-Aqsa, yang terletak di Baitulmakdis Timur, adalah salah satu tapak paling suci dalam Islam dan merupakan simbol identiti Palestin. Setiap tahun, ratusan ribu rakyat Palestin datang ke Al-Aqsa untuk menunaikan solat di bulan Ramadan. Namun, kawasan ini terletak dalam wilayah yang diduduki oleh Israel sejak 1967, dan ketegangan sering tercetus berhubung kawalan dan akses ke tapak suci ini.

Menurut jurucakap pemerintah Israel, David Mencer, sekatan biasa akan dikuatkuasakan seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya. “Sekatan biasa untuk keselamatan awam akan dikuatkuasakan seperti setiap tahun,” katanya dalam taklimat dalam talian kepada wartawan pada 27 Februari.

Pada 2024, semasa konflik di Gaza, Israel mengenakan sekatan ketat terhadap pengunjung ke Al-Aqsa, khususnya rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki. Hanya lelaki berumur 55 tahun ke atas dan wanita berusia lebih 50 tahun dibenarkan memasuki kawasan masjid atas alasan keselamatan.

Pada masa yang sama, ribuan anggota polis Israel ditempatkan di seluruh kawasan Kota Lama Baitulmakdis bagi mengawal ketenteraman.

Encik Mencer juga memberi bayangan bahawa langkah berjaga-jaga yang sama akan diambil pada tahun 2025 untuk mengelakkan sebarang insiden keganasan.

“Apa yang tidak boleh kami benarkan – dan mana-mana negara juga tidak akan membenarkan – ialah individu yang cuba mencetuskan keganasan atau melakukan serangan ke atas orang lain,” jelas Encik Mencer, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai penempatan polis pada tahun 2025 ini.

Selain itu, pemerintah Israel juga mengulangi bahawa mereka tidak akan membenarkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan lebih lanjut, terutamanya di kawasan yang sangat sensitif ini.

Kawasan Masjid Al-Aqsa adalah tempat suci bagi umat Islam dan juga penting bagi penganut Yahudi, yang menganggap kawasan tersebut sebagai lokasi Kuil Kedua mereka yang dimusnahkan oleh Rome pada tahun 70 Masihi.

Berdasarkan peraturan semasa, orang Yahudi dibenarkan melawat kawasan tersebut tetapi mereka tidak dibenarkan berdoa di situ. Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai pelampau nasionalis Yahudi yang mencabar larangan ini, termasuk ahli politik sayap kanan, Itamar Ben-Gvir, yang secara terbuka berdoa di kawasan itu semasa berkhidmat sebagai menteri keselamatan negara pada 2023 dan 2024.

Israel berulang kali menegaskan bahawa ia akan mengekalkan status quo di kawasan tersebut, namun kebimbangan rakyat Palestin terhadap masa depannya telah menjadikannya titik panas bagi ketegangan dan keganasan. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg