BAITULMAKDIS: Israel mengesahkan pada 21 Mei bahawa ia telah mengusir semua aktivis asing flotila menuju ke Gaza yang ditahannya susulan bantahan global terhadap layanan mereka dalam tahanan.

Lebih 430 aktivis darpada negara-negara di seantero dunia telah ditahan di Israel selepas mereka dipintas di laut pada 18 Mei ketika melakukan percubaan terbaru untuk memecahkan sekatan wilayah Palestin.

Menteri Keselamatan Negara haluan kanan Israel, Encik Itamar Ben Gvir, mencetuskan kecaman meluas dan tindak balas diplomatik pada 20 Mei dengan menyiarkan video yang menunjukkan aktivis yang ditahan dalam keadaan melutut dengan tangan terikat dan dahi di atas tanah.

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Encik Oren Marmorstein, berkata pada 21 Mei bahawa “semua aktivis asing dari armada flotila telah diusir daripada Israel.”

“Israel tidak akan membenarkan sebarang pelanggaran sekatan tentera laut yang sah di Gaza,” tambahnya.

Pusat perundangan yang mewakili aktivis tersebut berkata pada awal 21 Mei bahawa majoriti aktivis flotila dalam perjalanan untuk dihantar pulang” darpadai Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel.

Dalam satu kenyataan, pusat perundangan itu menambah bahawa aktivis tersebut telah ditahan di penjara Ktziot Israel, di Gurun Negev berhampiran Gaza.

Turkey telah mengumumkan bahawa ia akan menghantar pesawat ke Israel untuk “membawa warga negara dan peserta daripada negara ketiga ke Turkey melalui penerbangan sewa khas yang akan kami uruskan”.

Sumber Kementerian Luar Turkey berkata “tiga penerbangan” dengan kapasiti untuk “lebih daripada 400 penumpang” sedang dihantar ke Lapangan Terbang Ramon.

Jurucakap pusat perundangan selanjutnya berkata aktivis daripada Mesir telah dipindahkan ke Taba di sempadan Mesir dengan Israel, manakala aktivis daripada Jordan telah dipindahkan ke Aqaba.

Kira-kira 50 kapal di bawah Global Sumud Flotilla belayar daripada Turkey minggu lalu dalam percubaan terbaru aktivis untuk melanggar sekatan Israel ke atas Gaza, selepas pasukan Israel memintas konvoi sebelumnya bulan lalu.

Pengusiran itu berlaku selepas rakaman yang disiarkan oleh Ben Gvir, bertajuk “Selamat Datang ke Israel” dan menunjukkan menteri itu mengejek dan mengibarkan bendera Israel dalam kalangan aktivis yang ditahan, mencetuskan kecaman hebat oleh pemerintah di seluruh dunia, dari Italy ke Sepanyol dan Australia ke Canada.

Beliau juga dikritik di negaranya sendiri oleh Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu dan Menteri Luar Encik Gideon Saar, serta oleh duta Amerika Syarikat ke Israel Encik Mike Huckabee.

Dalam tindak balas diplomatik terbaru, Menteri Luar Italy Encik Antonio Tajani berkata beliau telah meminta Kesatuan Eropah (EU) untuk mengenakan sekatan terhadap Encik Ben Gvir “atas tindakan yang tidak boleh diterima yang dilakukannya terhadap aktivis flotila itu”.

United Kingdom mengumumkan bahawa ia telah memanggil diplomat paling kanan Israel di Britain susulan “video yang bersifat menghasut itu”.

Cik Francesca Albanese, seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lantang bersuara mengenai wilayah Palestin, menyeru Italy, negara kelahirannya, supaya mengambil tindakan.

“Kata-kata saja tidak mencukupi: biarkan Italy berhenti menentang penggantungan” Perjanjian Persatuan EU-Israel, tambahnya. - AFP