Topik diikuti
Pergi ke BHku10 negara kecam Israel pintas flotila bantuan Gaza
10 negara kecam Israel pintas flotila bantuan Gaza
Tindakan disifatkan sebagai pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa
10 negara kecam Israel pintas flotila bantuan Gaza
JAKARTA: Indonesia bersama sembilan negara lain mengecam tindakan Israel memintas flotila bantuan kemanusiaan menuju ke Gaza, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Dalam kenyataan bersama, menteri luar dari Indonesia, Turkey, Bangladesh, Brazil, Colombia, Jordan, Libya, Maldives, Pakistan dan Sepanyol mengutuk tindakan Israel terhadap Global Sumud Flotilla, yang digambarkan sebagai misi bantuan awam secara aman bagi menarik perhatian dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin di Gaza.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaru Israel terhadap Global Sumud Flotilla, sebuah inisiatif kemanusiaan awam yang aman,” menurut kenyataan itu yang disiarkan melalui akaun rasmi Kementerian Luar Indonesia di platform X.
Menurut kenyataan sama, negara-negara terbabit turut melahirkan kebimbangan mendalam terhadap keselamatan aktivis kemanusiaan yang menyertai konvoi laut tersebut.
“Menteri-menteri luar menuntut pembebasan segera semua aktivis yang ditahan serta menghormati hak dan maruah mereka,” katanya.
Mereka turut menegaskan bahawa tindakan memintas kapal awam dan menahan aktivis secara sewenang-wenangnya di perairan antarabangsa merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.
“Serangan terhadap kapal bantuan kemanusiaan dan penahanan aktivis secara arbitrari adalah pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan itu lagi.
Flotila Global Sumud yang membawa bantuan untuk Gaza dipintas tentera Israel pada 18 Mei selepas belayar dari Turkey pada 14 Mei lalu.
Penganjur mendakwa beberapa buah kapal dihentikan berhampiran pesisir Cyprus ketika cuba menuju ke Gaza.
“Pasukan tentera Israel kini sedang memintas flotila kami dan anggota tentera sedang menaiki kapal pertama kami pada waktu siang,” kata Global Sumud Flotilla menerusi hantaran di media sosial.
“Kami menuntut laluan selamat untuk misi kemanusiaan kami yang aman dan sah.
“Pemerintah dunia perlu bertindak menghentikan tindakan haram seperti lanun ini yang bertujuan mengekalkan kepungan genosid Israel terhadap Gaza,” tambah kenyataan itu.
Video yang dikongsi penganjur menunjukkan aktivis merakam detik tentera Israel menghampiri dan menaiki kapal mereka.
“Tindakan membiasakan keganasan pendudukan adalah ancaman kepada kita semua,” menurut kenyataan Global Sumud Flotilla.
Menurut penganjur, kapal-kapal itu dipintas kira-kira 250 batu nautika dari pantai Gaza ketika berada di perairan antarabangsa.
Kementerian Luar Israel bagaimanapun mempertahankan tindakan itu dengan menyatakan bahawa negara itu “tidak akan membenarkan sebarang pelanggaran terhadap sekatan laut yang sah ke atas Gaza”.
Flotila terbaru itu merupakan usaha ketiga dalam tempoh setahun untuk memecahkan sekatan Israel terhadap Gaza sejak perang Israel-Hamas tercetus pada Oktober 2023.
Konvoi tersebut melibatkan lebih 50 kapal, yang berlepas dari bandar Marmaris di Turkey.
Sebelum ini, dua percubaan flotila serupa turut dipintas Israel.
Media Israel melaporkan pasukan komando tentera laut negara itu telah menaiki kapal pertama konvoi bantuan berhampiran Cyprus, manakala, sehingga petang 18 Mei, sekurang-kurangnya 16 kapal telah dipintas.
Laporan media Israel turut menyebut kira-kira 100 aktivis ditahan dan dipindahkan ke sebuah “penjara terapung” sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod untuk disoal siasat.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memuji operasi tentera laut itu ketika melawat pusat operasi tentera laut Israel di Kirya, Tel Aviv, bersama Menteri Pertahanan Israel dan ketua tentera negara itu.
“Anda melakukan tugas yang hebat dalam menggagalkan rancangan jahat untuk memecahkan pengasingan yang kami kenakan terhadap pengganas Hamas di Gaza,” kata Encik Netanyahu kepada komander tentera laut Israel melalui radio tentera laut.
Beliau turut mendakwa tentera Israel berjaya menghentikan kapal-kapal bantuan itu “dengan kurang kekecohan daripada yang dirancang penganjur”.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, mengecam tindakan Israel terhadap apa yang disebutnya sebagai “rombongan pembawa harapan”.
Kementerian Luar Turkey pula menyifatkan tindakan Israel itu sebagai “lanun di laut” dan berkata Ankara sedang mengambil langkah bagi memastikan rakyat Turkey dalam flotila tersebut pulang dengan selamat.
Antara individu terkenal yang pernah menyertai misi flotila sebelum ini termasuk aktivis iklim Sweden, Cik Greta Thunberg, dan cucu pemimpin Afrika Selatan, mendiang Encik Nelson Mandela, Encik Mandla Mandela.
Dalam perkembangan berkaitan, media Al Jazeera melaporkan tentera Israel turut menggunakan gangguan elektronik termasuk menyiarkan lagu melalui frekuensi radio bagi mengganggu komunikasi antara kapal flotila di Laut Mediterranean.
Pasukan guaman flotila itu turut menegaskan kapal-kapal tersebut berada di perairan antarabangsa ketika dipintas Israel.
“Flotila kami berada di perairan antarabangsa ketika operasi ketenteraan ini bermula terhadap misi kemanusiaan aman,” kata ketua bersama pasukan guaman flotila, Encik Bader al-Noaimi.
Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza sejak 2007, dengan alasan untuk menghalang senjata sampai kepada Hamas dan kumpulan bersenjata lain.
Namun pertubuhan hak asasi manusia dan organisasi kemanusiaan antarabangsa berulang kali mengkritik sekatan itu dan menyifatkannya sebagai hukuman kolektif terhadap lebih dua juta penduduk Gaza yang kini berdepan kekurangan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api. – Agensi berita.
