DHAKA: Pernah menjadi istana yang dikawal ketat, bekas kediaman rasmi Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan, Sheikh Hasina, dijadikan sebuah muzium peringatan pemerintahan kuku besinya.
Gambar penunjuk perasaan yang mengibarkan bendera ketika memanjat bumbung istana Dhaka selepas Cik Hasina melarikan diri dengan helikopter ke India, mencerminkan kemuncak bantahan yang menggulingkan pemerintahnya pada 5 Ogos 2024.
Setahun kemudian, dengan penduduk sekitar 170 juta orang yang masih dalam kegawatan politik, pihak berkuasa Bangladesh berharap istana Ganahaban menawarkan mesej bagi masa depan.
Contengan pada dinding istana mengutuk rejimnya masih tidak disentuh.
Mesejnya berbunyi, “Kebebasan” dan “Kami mahukan keadilan”.
Era pemerintahan Cik Hasina menyaksikan pencabulan hak asasi manusia yang meluas, termasuk penahanan besar-besaran dan pembunuhan di luar undang-undang terhadap lawan politiknya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga 1,400 orang dipercayai terbunuh antara Julai dengan Ogos 2024 dalam usahanya yang gagal untuk mencengkam kuasa,
Wanita berusia 77 tahun itu telah mengingkari perintah mahkamah untuk menghadiri perbicaraannya yang sedang berjalan atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan di Dhaka, satu tuduhan yang dinafikannya.
Sementara itu, pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Encik Muhammad Yunus, 85 tahun, yang mengetuai pemerintah sementara sehingga pilihan raya diadakan pada awal 2026, berkata penukaran status istana kepada muzium itu akan “mengekalkan kenangan tentang penyelewengannya dan kemarahan rakyat apabila mereka menyingkirkannya daripada kuasa”.
Aktivis hak asasi manusia yang juga jurugambar dokumentari, Encik Mosfiqur Rahman Johan, 27 tahun, adalah salah seorang daripada ribuan yang menyerbu istana mewah itu, apabila orang ramai menari di bilik tidurnya, menjamu selera dengan makanan dari dapur, dan berenang di tasik di istana Hasina itu.
“Ia akan menggambarkan dan melambangkan trauma, penderitaan masa lalu dan juga tentangan.
“Ganabhaban adalah simbol fasisme... simbol rejim autokratik,” tambahnya.
Kompleks itu dibina oleh bapa Cik Hasina, pemimpin pertama Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman, dan Cik Hasina menjadikannya kediaman rasminya selama 15 tahun sepanjang memerintah.
Kurator muzium yang sedang dalam pembinaan, Encik Tanzim Wahab, menyatakan bahan pameran akan termasuk artifak penunjuk perasaan yang terbunuh.
Kisah hidup mereka akan diceritakan melalui filem, gambar, animasi bersifat interaktif dan plak nama orang yang dibunuh oleh pasukan keselamatan akan turut dipaparkan.
“Tujuan muzium yang lebih mendalam adalah bagi meninjau kembali zaman salah pemerintahan dan penindasan yang panjang.
“Ini adalah salah satu aspek terpenting dalam projek ini,” kata Encik Wahab. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg