DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan dan kini hidup dalam buangan, Sheikh Hasina, dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT) negara itu pada Rabu dalam satu kes penghinaan mahkamah, menurut seorang pendakwa kanan.
Ini merupakan kali pertama Cik Hasina disabitkan hukuman dalam siri pertuduhan yang dihadapinya sejak melarikan diri ke India susulan protes besar-besaran yang diketuai oleh pelajar pada Ogos lalu, yang turut mengorbankan nyawa.
Sejak itu, beliau berdepan pelbagai pertuduhan termasuk jenayah kemanusiaan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Menurut Ketua Pendakwa Raya Muhammad Tajul Islam, seorang lagi yang turut dijatuhi hukuman dalam kes sama ialah Shakil Akand Bulbul, pemimpin sayap pelajar Liga Chhatra yang telah diharamkan, yang merupakan bekas sayap rasmi parti Liga Awami pimpinan Cik Hasina. Encik Bulbul dijatuhi hukuman penjara dua bulan.
“Tribunal tiga anggota yang diketuai oleh Hakim Golam Mortuza Mozumder menjatuhkan hukuman tersebut tanpa kehadiran kedua-dua tertuduh, dan memutuskan bahawa hukuman akan mula berkuat kuasa sekiranya mereka ditangkap atau menyerah diri,” kata Encik Tajul kepada media.
Pertuduhan penghinaan mahkamah itu berpunca daripada satu rakaman perbualan telefon yang bocor, di mana Cik Hasina didakwa berkata: “Terdapat 227 kes terhadap saya, jadi sekarang saya mempunyai lesen untuk membunuh 227 orang.”
Rakaman itu kemudian disahkan ketulenannya oleh laporan forensik agensi siasatan pemeritah, menurut dokumen mahkamah.
ribunal Jenayah Antarabangsa tersebut telah ditubuhkan pada tahun 2010 oleh pemerintah Hasina sendiri untuk membicarakan kes jenayah perang yang berlaku semasa perang kemerdekaan Bangladesh tahun 1971.
Namun kini, tribunal itu telah menjadi medan untuk mengadili pemimpin terdahulu, termasuk Cik Hasina, berikutan janji pemerintah sementara yang dipimpin oleh penerima Hadiah Nobel, Encik Muhammad Yunus, untuk memastikan akauntabiliti dan keadilan, terutamanya berkaitan pemberontakan pelajar pada Julai lalu yang membawa kepada kejatuhan rejim Hasina.
Setakat ini, tribunal tersebut telah mengeluarkan tiga waran tangkap terhadap Cik Hasina, termasuk atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan yang berkaitan dengan keganasan Julai.
Parti Liga Awami yang telah lama dipimpin oleh Cik Hasina, masih diharamkan di bawah pentadbiran sementara, dan beberapa bekas pemimpinnya sedang menghadapi perbicaraan.
Penyokong Cik Hasina menolak pertuduhan terhadapnya sebagai bermotifkan politik dan mendakwa ia satu usaha membungkam lawan politik. Namun pemerintah sementara menegaskan bahawa proses perbicaraan ini penting untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat dan mengukuhkan institusi demokrasi di Bangladesh.
“Perbicaraan ini bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk menegakkan prinsip keadilan dan kebertanggungjawaban,” kata seorang jurucakap kerajaan sementara. — Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg