Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isteri pembangkang Russia dakwa suami mati diracun di penjara

Sep 18, 2025 | 4:12 PM
Balu kepada Alexei Navalny, Yulia Navalnaya, menyertai perarakan anggota pembangkang Russia di Berlin pada 1 Mac 2025. Isteri kepada pemimpin pembangkang Russia itu berkata pada 17 September 2025 bahawa analisis makmal terhadap sampel biologi yang diseludup keluar mendapati suaminya dibunuh melalui keracunan ketika dipenjara di Artik pada Februari 2024.
Navalny, pengkritik paling lantang terhadap Presiden Vladimir Putin selama bertahun-tahun, meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan ketika menjalani hukuman penjara 19 tahun atas pelbagai pertuduhan yang secara meluas dilihat sebagai tindakan balas terhadap penentangannya. Tokoh karismatik dan pejuang anti-rasuah itu pernah menghimpunkan ratusan ribu rakyat Russia dalam protes anti-Kremlin dengan mendedahkan dakwaan kekayaan haram yang diperoleh orang kanan Putin.
Balu kepada Alexei Navalny, Yulia Navalnaya, menyertai perarakan anggota pembangkang Russia di Berlin pada 1 Mac 2025. Isteri kepada pemimpin pembangkang Russia itu berkata pada 17 September 2025 bahawa analisis makmal terhadap sampel biologi yang diseludup keluar mendapati suaminya dibunuh melalui keracunan ketika dipenjara di Artik pada Februari 2024. Navalny, pengkritik paling lantang terhadap Presiden Vladimir Putin selama bertahun-tahun, meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan ketika menjalani hukuman penjara 19 tahun atas pelbagai pertuduhan yang secara meluas dilihat sebagai tindakan balas terhadap penentangannya. Tokoh karismatik dan pejuang anti-rasuah itu pernah menghimpunkan ratusan ribu rakyat Russia dalam protes anti-Kremlin dengan mendedahkan dakwaan kekayaan haram yang diperoleh orang kanan Putin. - Foto AFP

WARSAW: Isteri kepada pemimpin pembangkang Russia, Alexei Navalny, mendakwa pada 17 September bahawa analisis makmal terhadap sampel biologi yang diseludup keluar menunjukkan suaminya dibunuh melalui keracunan ketika dipenjara di Artik pada Februari 2024.

Encik Navalny, pengkritik paling lantang terhadap Presiden Vladimir Putin, meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan ketika menjalani hukuman penjara 19 tahun atas pelbagai pertuduhan yang secara meluas dilihat sebagai tindakan balas terhadap penentangannya.

Tokoh karismatik dan pejuang anti-rasuah itu pernah menghimpunkan ratusan ribu rakyat Russia dalam protes anti-Kremlin dengan mendedahkan dakwaan kekayaan haram yang diperoleh orang kanan Putin.

Dalam satu video di media sosial, Cik Yulia Navalnaya berkata sekutu suaminya berjaya mendapatkan sampel biologi sebelum jenazah Navalny dikebumikan di Moscow.
“Makmal di dua negara membuat kesimpulan bahawa Alexei dibunuh. Secara khusus: diracun,” katanya.

Beliau tidak mendedahkan butiran sampel mahupun keputusan analisis itu, tetapi menggesa makmal berkenaan mengeluarkan laporan mereka secara bebas serta menyatakan racun apa yang digunakan.

Cik Navalnaya turut menyiarkan beberapa foto yang tidak disahkan, kononnya menunjukkan sel penjara suaminya selepas tubuhnya dikeluarkan. Dalam gambar itu kelihatan genangan muntah di lantai. Beliau mendakwa keterangan pegawai penjara menyebut Encik Navalny mengalami sawan sebelum meninggal dunia.

Jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, enggan mengulas apabila ditanya mengenai dakwaan tersebut. Cik Maria Pevchikh, sekutu rapat Encik Navalny, yang turut berkongsi foto itu berkata: “Alexei terbaring di lantai, muntah dan menjerit kesakitan. Pengawal penjara, bukannya menyelamatkannya, malah meninggalkannya terkunci di dalam sel.”

Dalam videonya, Cik Navalnaya mengakui terdapat percanggahan dalam keterangan lima pegawai penjara yang diperoleh mereka mengenai punca kematian. Namun beliau menegaskan dakwaan itu tetap menguatkan syak wasangka.

“Vladimir Putin bersalah atas pembunuhan suami saya, Alexei Navalny,” kata Cik Navalnaya, mengulangi tuduhan yang sudah lama dipegang penyokongnya.

Encik Navalny sebelum ini pernah diracun dengan agen saraf jenis Novichok pada 2020 ketika berkempen di Siberia, sebelum diterbangkan ke Jerman untuk rawatan kecemasan.

Sekembalinya ke Russia pada Januari 2021, beliau segera dipenjara atas siri pertuduhan termasuk “ekstremisme”. Dari dalam penjara, beliau tetap mengkritik Encik Putin dan lantang menentang pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Pihak berkuasa Russia mendakwa Encik Navalny meninggal dunia selepas tiba-tiba jatuh sakit ketika berjalan di halaman penjara pada 16 Februari 2024. Namun pihak berkuasa mengambil masa beberapa hari sebelum menyerahkan mayatnya kepada keluarga, sekali gus mencetuskan syak wasangka lebih besar.

Selepas kematian Encik Navalny, pemerintah Russia terus memperhebat tindakan keras terhadap pembangkang. Cik Navalnaya sendiri dimasukkan ke dalam senarai hitam “pengganas dan ekstremis”. Beberapa peguam dan wartawan yang mengikuti kes-kes Encik Navalny turut dijatuhkan hukuman penjara.

Kebanyakan ahli keluarga dan sekutu utamanya kini hidup di luar negara. Sementara itu, pembangkang Russia yang berpecah-belah semakin hilang pengaruh, manakala tunjuk perasaan menentang Encik Putin di dalam negara hampir pupus sejak pencerobohan Ukraine pada Februari 2022.

Kremlin telah memperkenalkan undang-undang penapisan ketenteraan, memperhebat tindakan terhadap pengkritik dan pada dasarnya mengharamkan sebarang kecaman terhadap kerajaan atau perang.

Walaupun dakwaan baru Cik Navalnaya menambah tekanan antarabangsa terhadap Russia, pihak berkuasa Moscow tetap menafikan sebarang salah laku. Namun bagi para penyokong Encik Navalny, mesejnya jelas: tokoh pembangkang paling lantang Rusia itu dibungkam dengan racun. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg