MEXICO CITY: Piala Dunia 2026 yang bermula penuh gemilang di Stadium Azteca, Mexico City, kini turut dibayangi kontroversi berkaitan visa dan syarat kemasukan ke Amerika Syarikat, yang menjadi tuan rumah utama kejohanan itu bersama Mexico dan Canada.

Walaupun majlis pembukaan bertaraf antarabangsa menampilkan pelbagai bintang dan suasana meriah, perhatian dunia banyak tertumpu kepada isu sekatan perjalanan serta penolakan visa terhadap beberapa individu yang mahu menghadiri kejohanan terbesar bola sepak dunia itu.

Antara kes paling mendapat perhatian ialah pengadil Somalia yang disokong Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Encik Omar Abdulkadir Artan, yang dihalang memasuki Amerika Syarikat walaupun memiliki visa sah.

Selain itu, beberapa wartawan dan pegawai bola sepak dari pelbagai negara turut dilaporkan menghadapi masalah sama.

Presiden Fifa, Encik Gianni Infantino, mempertahankan cara badan bola sepak dunia itu mengendalikan isu berkenaan sambil mengakui Fifa tidak mempunyai kuasa mengatasi keputusan pemerintah sesebuah negara.

“Apa yang berlaku kepada Omar, pengadil dari Somalia, memang malang,” katanya sehari sebelum perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan.

“Tetapi kami tidak mengawal segala-galanya. Kami akan cuba berbincang dan mencari penyelesaian.”

Encik Infantino turut menegaskan beliau tidak menyesal Amerika Syarikat dipilih sebagai tuan rumah bersama kejohanan itu walaupun timbul pelbagai isu berkaitan visa.

Beliau sebelum ini berulang kali menyifatkan Piala Dunia 2026 sebagai edisi paling pelbagai dan terbesar dalam sejarah kejohanan.

“Semua orang dialu-alukan ke Canada, Mexico dan Amerika Syarikat untuk Piala Dunia. Kami sedang bekerja ke arah itu,” katanya lagi.

Amerika Syarikat menjadi tuan rumah kepada 78 daripada keseluruhan 104 perlawanan Piala Dunia kali ini.

Namun dasar imigresen ketat yang diperkenalkan pemerintah Presiden Donald Trump sejak beliau kembali memegang jawatan terus menjadi perhatian.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Encik Markwayne Mullin, mempertahankan tindakan pemerintah menolak beberapa permohonan visa sambil menegaskan keselamatan negara tetap menjadi keutamaan.

“Kami telah berbincang dengan Fifa mengenai perkara ini,” katanya kepada program Fox and Friends.

“Kejohanan ini akan sangat selamat. Kami rasa kami sudah melakukan segala yang termampu untuk memastikan keselamatan.”

Bagaimanapun beliau mengakui ancaman serangan individu bersendirian atau “lone wolf” masih menjadi kebimbangan utama, khususnya di kawasan awam di luar perimeter keselamatan stadium.

“Kami sangat bimbang tentang kawasan terbuka sebelum orang ramai memasuki zon keselamatan,” katanya.

Menurut Encik Mullin, pihak berkuasa tempatan dan negeri akan meningkatkan kawalan keselamatan di lokasi tumpuan penyokong.

Isu visa juga memberi kesan kepada pasukan Iran yang terpaksa memindahkan kem latihan mereka dari Amerika Syarikat ke Mexico selepas berdepan ketidakpastian berhubung perjalanan dan keselamatan.

Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) berkata skuad kebangsaan serta “kakitangan sokongan penting” berjaya memperoleh visa, namun tidak semua anggota rombongan yang dirancang diluluskan untuk memasuki Amerika Syarikat.

Masalah itu berlaku ketika hubungan Washington dan Teheran terus tegang susulan konflik ketenteraan yang bermula pada 28 Februari lalu selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran.

Sebelum ini, beberapa pegawai Iran yang didakwa mempunyai kaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut dinafikan kemasukan ke majlis undian Piala Dunia di Washington pada Disember lalu.

Malah, isu visa juga menyebabkan pegawai bola sepak Iran gagal menghadiri mesyuarat Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Canada pada April lalu.

Sebagai usaha membantu penyokong mendapatkan visa lebih cepat, Fifa memperkenalkan sistem Pas Fifa yang membolehkan pemegang tiket membuat temu janji visa secara dipercepat.

Namun pemohon masih tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan dan proses saringan ketat seperti biasa.

Dalam masa sama, pemerintah Trump turut memperkenalkan Program Perintis Bon Visa yang mewajibkan rakyat dari 50 negara membayar bon antara AS$5,000 (S$64,226) hingga AS$15,000 bagi mendapatkan visa pelancong ke Amerika Syarikat.

Bayaran itu dikenakan secara individu, sekali gus menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan penyokong bola sepak dari negara membangun.

Negara seperti Algeria, Senegal, Tunisia, Cape Verde dan Ivory Coast antara yang dijangka paling terkesan.

Bagaimanapun, Jabatan Negara Amerika Syarikat kemudian mengumumkan pengecualian bon visa bagi penyokong yang membeli tiket Piala Dunia dan mendaftar Pas Fifa sebelum 15 April lalu.

Namun ramai penyokong dipercayai sudah membatalkan hasrat membeli tiket lebih awal kerana menyangka mereka perlu menyediakan wang bon yang tinggi.

Pada Mei lalu, Naib Presiden Amerika Syarikat, J. D. Vance, turut mengingatkan bahawa semua pelawat Piala Dunia perlu pulang ke negara masing-masing selepas kejohanan tamat.

“Kami mahu mereka datang. Kami mahu mereka meraikan dan menonton bola sepak. Tetapi apabila masanya tamat, mereka perlu pulang,” katanya.

Walaupun dibelenggu kontroversi visa dan kebimbangan keselamatan, Fifa tetap optimistik kejohanan terbesar dunia itu mampu berjalan lancar.

Encik Infantino sendiri mengakui bahawa penganjuran acara sebesar Piala Dunia tidak mungkin sempurna sepenuhnya.

“Anda tidak boleh menganjurkan acara sebesar ini dengan cara yang sempurna,” katanya. - Agensi berita