MEXICO CITY: Presiden Mexico, Cik Claudia Sheinbaum, memberi jaminan majlis pembukaan Piala Dunia minggu ini akan berlangsung dalam keadaan aman walaupun terdapat kebimbangan kian meningkat berhubung bantahan besar-besaran di ibu negara itu.

Kesatuan guru di negara itu mengancam untuk mengadakan demonstrasi ketika perlawanan pembukaan antara Mexico dengan Afrika Selatan pada 11 Jun kerana pemerintah gagal memenuhi tuntutan mereka berkaitan kenaikan gaji dan pembaharuan sistem pencen.

Cik Sheinbaum berkata pemerintah akan memastikan temasya bola sepak terbesar dunia itu berjalan lancar tanpa gangguan.

“Kami akan menjamin bahawa sambutan Piala Dunia dilaksanakan dengan baik, aman dan tenang,” kata Cik Sheinbaum, dalam sidang media pada 8 Jun.

Ketegangan di Mexico City meningkat sejak minggu lalu apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan berhampiran dataran bersejarah Zocalo.

Pemerintah sebelum ini memasang skrin gergasi di kawasan itu sebagai zon peminat Piala Dunia, tetapi kawasan sekitar kini ditutup menggunakan pengadang logam.

Cik Sheinbaum berkata langkah keselamatan itu dilakukan bagi mengelakkan “provokasi” sepanjang kejohanan berlangsung.

Kumpulan guru yang mengadakan bantahan turut menjatuhkan beberapa patung peringatan pemain bola sepak di pusat bandar Mexico City minggu lalu.

Walaupun Cik Sheinbaum mengekalkan dialog terbuka dengan kesatuan guru, kumpulan itu menganggap cadangan pemerintah masih tidak mencukupi.

Turut menyertai bantahan ialah ratusan individu dari kolej perguruan Ayotzinapa yang menuntut siasatan lanjut terhadap kehilangan 43 pelajar kolej luar bandar itu pada 2014.

Kes kehilangan pelajar berkenaan terus menjadi antara isu paling sensitif di Mexico dan kerap mencetuskan kemarahan rakyat terhadap pihak berkuasa.

Menurut polis Mexico City, mereka turut menemui 59 bahan letupan buatan sendiri dalam salah satu konvoi bas yang memasuki ibu negara pada Isnin.

Pihak polis memuat naik gambar beberapa paip putih kecil dengan sumbu di wadah X sebagai bukti penemuan tersebut.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peniaga dan pengusaha restoran di pusat bandar yang khuatir pelancong akan menjauhkan diri sepanjang kejohanan berlangsung.

Seorang pelayan restoran berusia 31 tahun, Encik Jonathan Herrera, berkata sekatan jalan dan khemah penunjuk perasaan memberi kesan besar kepada perniagaan.

“Akses ke restoran kami ditutup. Orang ramai tidak datang dan pelancong berasa takut,” katanya kepada agensi berita, AFP, ketika menyertai bantahan terhadap penempatan khemah bantahan itu.

Di beberapa lokasi, puluhan orang dilihat beratur untuk melepasi pengadang logam yang dikawal polis.

Sebuah restoran turut menampal poster bertulis, “kami masih buka” bagi menarik pelanggan yang kian berkurangan.

Bagaimanapun, tidak semua pelawat asing melihat bantahan itu secara negatif.

Pelancong dari Amerika Syarikat, Cik Heather Lutz, 64 tahun, menyatakan sokongannya terhadap kumpulan penunjuk perasaan.

“Tiada pemerintah yang mahu bandar mereka kelihatan ‘realiti sebenar’ ketika acara besar seperti Piala Dunia,” katanya.

Bagi guru yang menyertai bantahan, kejohanan besar seperti Piala Dunia dianggap masa terbaik untuk memberi tekanan kepada pemerintah supaya memenuhi tuntutan mereka.

Guru berusia 42 tahun, Cik Dinora Diaz, berkata perhatian dunia terhadap Mexico ketika ini memberi peluang lebih besar bagi membolehkan suara mereka didengari.

“Ini masa terbaik untuk memberi tekanan supaya pemerintah membuat lebih banyak konsesi,” katanya dari khemah bantahan di jalan raya.

Pada 8 Jun, pemerintah Cik Sheinbaum membentangkan beberapa cadangan kepada kesatuan guru termasuk penubuhan syarikat milik negara bagi menguruskan sistem pencen.

Bagaimanapun, pemerintah menolak tuntutan supaya undang-undang pencen sedia ada dibatalkan kerana ia dianggar menelan kos sekitar AS$400 juta ($515 juta).

Kesatuan guru menolak cadangan itu dan bertegas mahu pemerintah memenuhi tuntutan asal mereka.

Menteri Tadbir Urus Mexico, Cik Rosa Icela Rodriguez, menyeru kumpulan penunjuk perasaan supaya menamatkan sekatan jalan di ibu negara.

“Adalah penting hak untuk membantah dapat berjalan seiring dengan hak penduduk lain yang tinggal dan bergerak di bandar besar ini,” katanya.

Ketika dunia kini memberi tumpuan kepada Mexico menjelang pembukaan Piala Dunia, pemerintah negara itu berdepan cabaran besar untuk memastikan kejohanan berjalan lancar tanpa ketegangan politik dan sosial terus memuncak di jalanan ibu kota. – Agensi berita.