ROME: Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni, mengumumkan rancangan untuk melarang pemakaian burqa dan niqab di sekolah serta menetapkan had jumlah pelajar asing dalam setiap kelas, sebagai sebahagian langkah pemerintahnya yang bertujuan memperkukuh integrasi pendatang.

Cadangan itu turut mewajibkan ibu bapa kepada pelajar asing yang menghadapi masalah serius menyesuaikan diri dengan sistem sekolah supaya mempelajari bahasa Italy.

Ia dijangka dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi sebelum melalui proses kelulusan Parlimen.

Cik Meloni mengumumkan langkah tersebut pada 20 September ketika berucap pada festival Gioventù Nazionale, sayap belia parti Brothers of Italy (FdI) pimpinannya di Rome.

Menurut beliau, pendatang yang mahu membina masa depan di Italy perlu mempelajari bahasa negara itu, memahami budayanya dan mematuhi peraturannya.

Beliau turut menegaskan bahawa pelajar harus hadir ke sekolah dengan wajah yang tidak ditutup dan mengaitkan langkah itu dengan prinsip kesamarataan lelaki dan wanita.

Burqa merupakan pakaian yang menutup seluruh tubuh dan muka, termasuk bahagian mata yang dilindungi dengan kain berjaring, manakala niqab menutup muka tetapi membiarkan bahagian mata kelihatan.

Hijab pula menutup rambut dan leher tetapi tidak menutupi wajah.

Cadangan terbaru Cik Meloni khususnya menyasarkan burqa dan niqab, menurut laporan AP dan Reuters.

Italy ketika ini tidak mempunyai larangan khusus di seluruh negara terhadap burqa atau niqab.

Bagaimanapun, undang-undang sejak 1975 melarang penggunaan topi keledar atau pakaian yang menyukarkan seseorang dikenal pasti tanpa alasan yang munasabah.

Keputusan mahkamah pada 2008 kemudian menjelaskan bahawa penutup muka atas sebab agama atau budaya boleh dipakai selagi individu bersedia menunjukkan wajah apabila diperlukan bagi tujuan pengesahan identiti.

Selain larangan penutup muka, pemerintah Cik Meloni mahu menetapkan melalui undang-undang jumlah maksimum pelajar asing yang boleh ditempatkan dalam sesebuah kelas.

Italy sebenarnya sudah mempunyai garis panduan sejak 2010 yang menetapkan pelajar bukan warga Italy tidak seharusnya melebihi 30 peratus daripada jumlah pelajar dalam sesebuah kelas.

Bagaimanapun, peraturan itu tidak sentiasa dapat dilaksanakan, terutama di kawasan yang mempunyai ramai penduduk pendatang.

Cik Meloni belum menjelaskan had baru yang mahu ditetapkan pemerintahnya atau bagaimana ia akan berbeza daripada peraturan sedia ada.

Pelajar bukan warga Italy kini membentuk kira-kira 11.6 peratus daripada keseluruhan pelajar di sekolah negara itu.

Menurut Cik Meloni, keadaan di mana pelajar warga Italy menjadi golongan minoriti dalam sesebuah kelas tidak seharusnya berlaku.

Beliau berhujah bahawa meletakkan terlalu ramai pelajar asing, terutama mereka yang belum menguasai bahasa Italy, dalam kelas yang sama boleh menyukarkan proses integrasi.

Langkah itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan mengenai bagaimana had tersebut boleh dilaksanakan di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk asing yang tinggi.

Persatuan Pengetua Kebangsaan Italy (ANP), misalnya, mempersoalkan sama ada sekolah perlu menolak atau memindahkan pelajar sekiranya jumlah penduduk asing di sesebuah kawasan sememangnya tinggi.

Cadangan pemerintah turut mendapat kritikan daripada pembangkang dan beberapa pakar undang-undang.

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah kesesuaiannya dengan Perkara 34 Perlembagaan Italy, yang menetapkan bahawa sekolah terbuka kepada semua.

Pakar undang-undang perlembagaan Salvatore Curreri berkata langkah yang terlalu ketat sehingga memaksa pelajar dan keluarga berpindah jauh dari tempat tinggal mereka boleh menimbulkan persoalan mengenai hak pendidikan serta matlamat integrasi.

Cadangan itu muncul ketika isu imigresen dijangka menjadi antara perkara utama menjelang pilihan raya umum Italy pada 2027.

Pemerintah Cik Meloni, yang berkuasa sejak 2022, kini merupakan pemerintah Italy yang paling lama bertahan tanpa terputus sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Pada masa sama, FdI turut berdepan persaingan daripada kumpulan politik di sebelah kanannya yang mahukan dasar imigresen lebih ketat.

Beberapa negara Eropah sudah mengenakan pelbagai bentuk sekatan terhadap penutup muka.

Perancis dan Belgium melarang penutup muka di tempat awam, manakala Denmark turut mempunyai larangan di seluruh negara.

Belanda pula mengenakan larangan terhad di tempat tertentu seperti sekolah, hospital, bangunan pemerintah dan pengangkutan awam. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan