WASHINGTON: Seorang hakim Amerika Syarikat pada 6 Mei membenarkan Jabatan Kehakiman menyimpan kertas undi Pilihan Raya 2020 yang dirampas semasa operasi carian Biro Siasatan Federal (FBI) pada Januari.

Keputusan itu menjadi kejayaan bagi pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dalam usahanya menepis dakwaan palsu beliau mengenai penipuan undi secara meluas.

Hakim Daerah Amerika, Encik J.P. Boulee, menolak permintaan Fulton County untuk mendapatkan semula salinan asal bahan yang dirampas itu.

Peguam daerah berhujah bahawa operasi carian FBI di pusat pilihan raya itu berpunca daripada bukti yang cacat dan tidak boleh dipercayai, serta melanggar hak yang dijamin oleh Perlembagaan Amerika.

Hakim Boulee mengakui terdapat kelemahan dalam afidavit FBI yang digunakan untuk mendapatkan kelulusan menjalankan operasi carian tersebut.

Namun, beliau menyimpulkan kelemahan itu tidak cukup serius untuk dianggap sebagai “pengabaian melulu” terhadap hak daerah — iaitu syarat undang-undang yang perlu dipenuhi sebelum rekod tersebut boleh dikembalikan.

“Walaupun Afidavit itu jauh dari sempurna, ini bukanlah situasi di mana seorang pegawai menghilangkan semua fakta yang mungkin melemahkan sebab yang munasabah atau di mana seorang pegawai dengan sengaja berbohong,” tulis Hakim Boulee dalam keputusan penghakiman setebal 68 halaman.

Fulton County berhasrat untuk “bersungguh-sungguh” meninjau semua pilihan undang-undang yang ada, kata pengerusi daerah itu, Encik Robb Pitts, dalam satu kenyataan, sambil menambah beliau tidak bersetuju dengan keputusan hakim tersebut.

Jurucakap FBI dan Jabatan Kehakiman tidak memberikan sebarang respons apabila diminta untuk mengulas.

Keputusan itu merupakan kemenangan mahkamah yang jarang berlaku bagi Jabatan Kehakiman Trump dalam siasatan yang dituntut oleh Encik Trump.

Ia akan membenarkan FBI menyimpan lebih daripada 600 kotak kertas undi 2020 sambil meneruskan siasatan jenayah mengenai sama ada rekod pilihan raya tidak disimpan dengan betul atau sama ada penduduk di Fulton County, yang merangkumi sebahagian besar Atlanta, telah ditipu daripada mendapat pilihan raya yang adil.

Namun, siasatan itu masih menghadapi halangan besar.

Peguam Jabatan Kehakiman belum mengenal pasti individu yang menjadi sasaran siasatan dan tidak menafikan dakwaan tempoh had masa untuk kededua kesalahan jenayah yang sedang disiasat nampaknya telah tamat.

Pertikaian itu dipantau rapat oleh pegawai dan pakar pilihan raya di seluruh negara, ketika Encik Trump terus mengancam kemungkinan pengambilalihan pemerintah persekutuan ke atas beberapa pilihan raya tempatan dan menabur keraguan tentang pengundian menjelang pilihan raya November.

Encik Trump terus membuat dakwaan palsu bahawa kekalahannya dalam pilihan raya 2020 kepada calon Demokrat, Encik Joe Biden adalah hasil penipuan yang meluas, dan telah mengerahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan perisikan Amerika untuk menyiasat semula dakwaan berkaitan pengumpulan dan pengiraan undi.

Peguam Jabatan Kehakiman berhujah bahawa Fulton County tidak memenuhi standard undang-undang ketat yang diperlukan untuk mendapatkan semula bahan yang dirampas semasa carian yang diluluskan mahkamah itu.

Semasa operasi carian itu, yang diluluskan oleh hakim majistret persekutuan, ejen FBI merampas kertas undi asal 2020 dan rekod-rekod lain dari pusat pilihan raya daerah tersebut di Union City, Georgia. – Reuters.