Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM, FBI dan DOJ jaya dapat balik dana 1MDB sebanyak RM90j

Dana tersebut berkaitan projek tenaga solar di M’sia dan libatkan ahli perniagaan, rakan kongsi dalam firma pelaburan DuSable Capital Management
Jan 23, 2025 | 4:37 PM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berjaya memulihkan wang sebanyak AS$20 juta (RM90 juta / $27.1 juta) yang berkaitan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM menyatakan dana tersebut berkaitan projek tenaga solar di Malaysia dan melibatkan Frank White Jr, seorang ahli perniagaan serta rakan kongsi dalam firma pelaburan DuSable Capital Management LLC.

“White Jr secara sukarela bersetuju untuk menyerahkan wang berkenaan kepada DOJ selepas mendapati bahawa dana yang diterima oleh DuSable berasal daripada sumber yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang disalahgunakan, meskipun beliau tidak menyedari sumber dana itu pada waktu penerimaan.

“Sehingga kini, sebanyak RM29.73 bilion berjaya dipulangkan kepada kantung kewangan kerajaan Malaysia. Ini tidak termasuk AS$20 juta yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan FBI baru-baru ini,” ujar SPRM dalam satu kenyataan pada 23 Januari, lapor Malaysiakini.

Menurut SPRM lagi, pihaknya juga sedang giat mengejar pemulihan aset tambahan berkaitan 1MDB melibatkan beberapa bidang kuasa termasuk Kuwait, Hong Kong, Britain dan beberapa negara Eropah.

SPRM berkata pihaknya sedang mempergiat usaha melalui kerjasama strategik antarabangsa bagi memastikan aset yang dicuri itu dikembalikan kepada Malaysia demi manfaat rakyat.

“Usaha ini akan terus diperhebatkan melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa untuk memastikan aset-aset yang disalahgunakan dapat dipulihkan demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya, lapor Harian Metro.

Pada Jun 2024, DOJ berkata ia telah berjaya mendapat balik dan membantu memulangkan kira-kira AS$1.4 bilion ke Malaysia.

Pada masa itu, kedutaan Amerika menyatakan jumlah itu mewakili bayaran kembali keempat dana yang diperoleh daripada rampasan aset berkaitan 1MDB, dana pelaburan Malaysia yang dilanda skandal, lapor The Star.

Mantan Perdana Menteri Najib Tun Razak kini sedang dibicarakan kerana menyalahgunakan kira-kira RM2 bilion daripada 1MDB.

Sebelum ini, Encik Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan bersalah menyalah guna dana RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Namun, beliau kemudian memfailkan petisyen bagi pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg