Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jakarta bersiap pilih gabenor

Tinjauan: Pramono dan pasangannya Rano Karno, dari PDI-P kini di kedudukan teratas
Nov 18, 2024 | 5:30 AM
Calon Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung (depan dua dari kanan), dan calon Timbalan Gabenor, Encik Rano Karno (dua dari kiri) bercakap kepada media selepas menghadiri pengundian nombor calon Gabenor dan Timbalan Gabenor Jakarta di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Jakarta pada 23 September. 
Calon Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung (depan dua dari kanan), dan calon Timbalan Gabenor, Encik Rano Karno (dua dari kiri) bercakap kepada media selepas menghadiri pengundian nombor calon Gabenor dan Timbalan Gabenor Jakarta di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Jakarta pada 23 September.  - Foto AFP

Pemilihan Gabenor Jakarta 2025 semakin hangat dengan persaingan sengit antara calon utama.

Salah seorang calon, Encik Pramono Anung, dilaporkan menunjukkan kelebihan dalam tinjauan terkini, mendahului pesaingnya Encik Ridwan Kamil yang mendapat sokongan besar daripada gabungan parti-parti dalam Koalisi Indonesia Maju (KIM), termasuk Parti Gerindra yang dipimpin Presiden Prabowo Subianto.

Menurut tinjauan yang dikeluarkan oleh Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC) pada 13 November, Encik Pramono dan pasangannya Encik Rano Karno, kedua-duanya daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), kini berada di kedudukan teratas.

Tinjauan SMRC menunjukkan jurang perbezaan sokongan antara pasangan Pramono-Rano dengan pasangan Ridwan-Suswono menyaksikan peningkatan ketara, dengan perbezaan sekitar 6.9 peratus – dua kali ganda daripada margin kesilapan 2.9 peratus.

Penganalisis daripada SMRC, Cik Deni Irvani, mengulas bahawa berdasarkan perangkaan, perbezaan sokongan tersebut kini agak menonjol.

“Perbezaan sokongan antara pasangan Pramono-Rano dengan Ridwan-Suswono telah berubah dengan ketara dalam tempoh tiga minggu,” katanya.

Mengikut tinjauan itu, Pramono-Rano mendapat sokongan 46 peratus, manakala pasangan Ridwan-Suswono meraih 39.1 peratus.

Pasangan calon bebas Encik Dharma Pongrekun dan Encik Kun Wardana pula hanya mendapat sokongan 5.1 peratus, sementara hampir 10 peratus daripada responden masih belum membuat keputusan.

Keunggulan Pramono-Rano: Faktor Kebangkitan Populariti

Keputusan tinjauan terkini itu turut selari dengan tinjauan yang dikeluarkan oleh unit penyelidikan Kompas.

Ia mendapati Encik Pramono dan Encik Rano mencatat sokongan 38.3 peratus, diikuti oleh Encik Ridwan dan Encik Suswono dengan 34.6 peraus.

Namun, dalam tinjauan Kompas, peratusan pengundi yang belum membuat keputusan agak tinggi, iaitu sekitar 23.8 peratus.

Encik Ridwan, yang merupakan mantan Datuk Bandar Bandung dan Gabenor Jawa Barat, memasuki pertandingan itu dengan kelebihan daripada segi populariti yang lebih tinggi, hasil pendedahan di media sepanjang hampir sedekad.

Encik Ridwan yang berasal daripada latar belakang seni bina mempunyai rekod pentadbiran yang kukuh di Jawa Barat, provinsi paling padat penduduk di Indonesia yang bersempadan dengan Jakarta.

Sebaliknya, Encik Pramono yang berkhidmat sebagai setiausaha Kabinet selama dua penggal di bawah mantan Presiden Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, kurang pendedahan media sejak hampir 10 tahun lalu.

Rano Karno Legenda Si Doel Jadi Daya Tarikan

Salah satu faktor yang memberi kelebihan kepada pasangan Pramono-Rano adalah populariti Rano Karno, bekas pelakon terkenal yang menggalas watak Doel dalam siri drama popular. ‘Si Doel Anak Sekolahan’ pada era 1990-an.

Keakraban Encik Rano dengan penonton, terutama warga Jakarta yang merupakan etnik Betawi, menjadikannya pilihan yang diterima ramai.

“Rano bukan hanya seorang pelakon, malah sudah menjadi ikon dalam budaya Betawi.

“Kepribadiannya yang dekat dengan rakyat Jakarta membawa daya tarikan tersendiri,” kata seorang pengundi di Jakarta.

Cabaran Urus Jakarta yang Sibuk

Pemimpin baru Jakarta akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menjadikan ibu kota itu tempat yang lebih baik untuk didiami dan bekerja.

Ini khususnya dengan jumlah penduduk tetap yang hampir 10 juta orang, serta tambahan sehingga tiga juta orang yang berulang-alik dari pinggir Jakarta setiap hari.

Selain itu, calon gabenor juga perlu berdepan dengan isu sama ada Jakarta akan kekal sebagai ibu negara atau tidak.

Dengan Presiden Prabowo, berkemungkinan besar akan terus menjadikan Jakarta sebagai ibu negara untuk sekurang-kurangnya lima tahun lagi, walaupun ibu negara baru, Nusantara, sedang dibina di Kalimantan Timur.

Namun, ramai penganalisis berpendapat calon gabenor perlu memberikan penyelesaian konkrit untuk isu-isu bandar yang mendesak.

Ia termasuk masalah perumahan yang mahal, sekali gus memaksa ramai penduduk membeli rumah yang lebih murah di pinggir kota.

Seorang pakar perancangan bandar, Dr Yayat Supriatna, calon dalam debat pemilihan baru-baru ini lebih banyak mengemukakan idea populis berbanding penyelesaian teknikal yang menyeluruh.

“Sebahagian besar cadangan mereka hanya berupa bantuan yang bersifat sementara dan tidak memberi penyelesaian jangka panjang,” kata Dr Yayat.

Seorang lagi pakar perancangan bandar dari Universiti Trisakti, Encik Nirwono Joga, mengingatkan bahawa program yang diajukan oleh calon haruslah realistik dan dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun, sepanjang tempoh penggal gabenor.

“Tidak perlu ada program besar-besaran yang tidak mungkin dilaksanakan.

“Sekiranya ada program pembaharuan, ia haruslah bersifat praktikal dan mampu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun,” jelas Encik Nirwono.

Pemilihan Gabenor Jakarta 2025 bukan sahaja merupakan peristiwa politik penting bagi ibu kota Indonesia, malah satu langkah besar bagi mana-mana calon yang berjaya dalam meningkatkan kedudukan mereka ke peringkat nasional.

Sejarah menunjukkan Gabenor Jakarta kerap menjadi calon presiden atau calon untuk jawatan lebih tinggi, seperti yang berlaku kepada Encik Jokowi dan Encik Anies Baswedan.

Gabenor Jakarta adalah batu loncatan untuk mengejar jawatan lebih tinggi dalam politik Indonesia.

Dengan hanya beberapa minggu lagi menjelang pemilihan, persaingan sengit ini masih terbuka.

Siapakah yang akan berjaya merebut hati pengundi dan membawa perubahan pada Jakarta? Jawapannya akan diketahui pada 27 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg