Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jokowi kekal berpengaruh jelang pilihan raya wilayah

Nov 5, 2024 | 2:05 PM
Mantan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo (kiri), telah menerima kunjungan Presiden Prabowo Subianto di kediamannya di Surakarta, Jawa Tengah pada 3 November.
Mantan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo (kiri), telah menerima kunjungan Presiden Prabowo Subianto di kediamannya di Surakarta, Jawa Tengah pada 3 November. - Foto INSTAGRAM PRABOWO

JAKARTA: Meskipun telah mengakhiri 10 tahun sebagai presiden Indonesia pada 20 Oktober dan tidak lagi menjadi anggota mana-mana parti politik, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo masih menunjukkan pengaruh politik yang signifikan.

Terbaru, beliau menerima kunjungan daripada Presiden Prabowo Subianto pada 3 November dan sepasang calon gabenor yang bakal bertanding dalam pilihan raya wilayah Indonesia pada 24 November.

Walaupun Encik Jokowi telah kembali ke kampung halamannya di Surakarta, Jawa Tengah, persaraannya tidaklah sepenuhnya ‘sunyi’ kerana beliau terus berperanan aktif menjelang pilihan raya wilayah pada November.

Pada petang 3 November, Encik Jokowi menyambut kedatangan Encik Prabowo di kediamannya di daerah Banjarsari, Surakarta.

Mereka menghabiskan masa selama 30 minit bersama sebelum menuju ke Omah Semar, sebuah kedai makan tempatan yang terkenal dengan hidangan tradisional dan snek Jawa.

Pasangan calon yang disokong oleh pakatan pilihan raya Encik Prabowo, Gabungan Indonesia Maju (KIM), turut ditemui di restoran yang sama; mereka ialah pasangan calon gabenor Jawa Tengah, Encik Ahmad Luthfi-Taj Yasin dan pasangan calon walikota Surakarta, Encik Respati Ardi-Astrid Widayani.

Encik Prabowo menafikan beliau membincangkan ehwal politik dengan Encik Jokowi, yang merupakan sahabatnya.

Pertemuan Jokowi-Prabowo diadakan hanya beberapa hari selepas lawatan calon gabenor Jakarta Encik Ridwan Kamil ke kediaman peribadi Encik Jokowi.

Mantan gabenor Jawa Barat dan calon yang disokong KIM itu kehilangan tempat dalam tinjauan pendapat umum kepada pesaing terbesarnya, mantan Setiausaha Kabinet, Encik Pramono Anung, dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Calon lain juga telah bertemu sendiri dengan Encik Jokowi sejak beliau melepaskan jawatannya.

Mereka semua bertanding atas tiket KIM dan dilaporkan telah meminta mantan presiden itu agar berkempen bagi pihak mereka.

Cakap-cakap mengenai Encik Jokowi berkempen bagi pihak calon KIM semakin menjadi-jadi terutama selepas pengerusi Parti Solidariti Indonesia (PSI), Encik Kaesang Pangarep, yang juga anak bongsunya, berkata di Bali bahawa bapanya akan mengambil bahagian dalam kempen untuk KIM – menyokong pasangan calon Made Mulawan Arya-Putu Agus Suradnyana dalam pertandingan gabenor wilayah itu.

Penganalisis politik, Encik Kennedy Muslim, daripada peninjau pendapat, Indikator Politik Indonesia berkata Encik Jokowi masih mengekalkan pengaruh politik untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya pada 24 November.

Encik Kennedy berkata bahawa pertemuan Encik Jokowi dengan Encik Prabowo menunjukkan bahawa kedua-dua pemimpin itu kekal bersatu, manakala pertemuannya dengan calon yang disokong KIM bertindak sebagai satu bentuk sokongan tersirat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg