JAKARTA: Indonesia melancarkan satu pemeriksaan kesihatan tahunan percuma untuk mencegah kematian awal pada 10 Februari.
Kementerian Kesihatan Indonesia berkata program tiga trilion rupiah ($247 juta) itu inisiatif terbesar yang pernah dilaksananya, dan membolehkan semua rakyat Indonesia mendapat pemeriksaan percuma pada tarikh lahir mereka.
Pemerikaan itu tidak diwajibkan dan ia termasuk ujian bagi tekanan darah, menentukan risiko masalah jantung atau angin ahmar dan ujian mata.
Buat permulaan, program itu menyasarkan golongan berumur bawah enam tahun dan 18 tahun ke atas, kata Menteri Kesihatan, Encik Budi Gunadi Sadikin.
Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyebab utama kematian di negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu termasuk angin ahmar, penyakit jantung dan batuk kering.
Encik Budi berkata peruntukan tiga trilion rupiah bagi program itu adalah sekitar satu trilion rupiah kurang daripada rancangan asal.
Ini selepas Presiden Prabowo Subianto mengarahkan pemotongan belanjawan untuk membantu membiayai janji pilihan raya, termasuk memberi makanan percuma kepada murid sekolah.
Di sebuah pusat kesihatan di Jakarta, sekitar 30 orang mendaftar untuk pemeriksaan pada hari pertama.
Seorang guru, Cik Ramika Dewi Saragih, berkata beliau menjalani pemeriksaan buah dada, serviks, mata dan banyak lagi.
“Saya sangat menantikan peluang ini,” kata wanita berusia 33 tahun itu, sambil menggalak lebih ramai orang tampil merebut peluang itu.
Jurucakap Kementerian Kesihatan berkata sasaran pemeriksaan sepanjang tahun itu ialah 100 juta orang.
Encik Budi berkata program itu bertujuan menggalak langkah pencegahan kerana rakyat Indonesia cenderung memeriksa kesihatan hanya apabila mereka sudah menghidapi penyakit.
“Budaya kita memeriksa apabila kita sudah sakit... itu jalan singkat menuju ke kubur,” katanya.
Beliau berkata program itu merupakan program terbesar yang pernah dilakukan kementerian, mengatasi vaksinasi Covid-19.
Encik Budi menambah bahawa pemeriksaan, yang akan dilancarkan di lebih 20,000 pusat kesihatan dan klinik di seluruh negara itu juga termasuk ujian kesihatan mental bagi menentukan tanda kemurungan atau keresahan.
Penyelidik di Institut Penyelidikan Ekonomi dan Sosial Universiti Indonesia memberi amaran program itu boleh berisiko membebankan pusat kesihatan tempatan, yang sudah tertekan, memetik pengagihan ubat atau doktor yang tidak setara. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg