JAKARTA: Pemerintah Indonesia komited untuk mengekang promosi tembakau dalam talian dengan membentuk pasukan petugas khas bagi memantau dan menghapuskan iklan sedemikian.
Iklan rokok didapati berleluasa dalam bidang digital dan menimbulkan risiko kesihatan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Kementerian Kesihatan, Cik Siti Nadia Tarmizi, menjelaskan bahawa pasukan petugas itu akan merangkumi badan awam, wakil daripada institusinya dan Kementerian Komunikasi dan Digital.
Cik Siti Nadia mendedahkan bahawa kementeriannya sedang melakar garis panduan teknikal bagi mencapai matlamat “iklan rokok sifar dalam talian” seperti yang termaktub dalam Undang-undang Kesihatan 2023.
“Peraturan itu akan meliputi iklan untuk rokok konvensional dan e-rokok, bertujuan untuk menghalang kemunculan perokok muda baru,” katanya pada 5 Februari, semasa taklimat akhbar bersama sebuah kumpulan bebas rokok.
Kumpulan, Free Net From Tobacco (FNFT), telah membentangkan pelbagai penyelidikan yang menonjolkan iklan tembakau yang berleluasa di media sosial bersama-sama potensi bahayanya.
Cik Siti Nadia juga menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah perokok di bawah umur 21 tahun.
Laporan rasmi Mei 2024 mendapati terdapat 70 juta perokok aktif di Indonesia, dengan 7 peratus daripada mereka adalah kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 18 tahun.
“Jika kita tidak menangani perkara ini sekarang, bilangan kanak-kanak yang merokok akan terus meningkat,” tambahnya, sambil menarik perhatian tentang kaitan penyakit jantung dan penyakit tidak berjangkit dengan tabiat merokok.
Menurutnya, terdapat bukti pemasaran tembakau di wadah media sosial yang menggunakan pelbagai taktik, termasuk permainan dalam talian yang bertujuan mengiklankan produk tertentu dan penggunaan pempengaruh untuk mempromosikan jenama tertentu dalam talian.
Beliau berkata, hasil penyelidikan telah mengenal pasti rangkaian peringkat sejagat yang berkait rapat dengan pengaruh rokok elektronik, dengan kebanyakan daripada mereka berasal dari Indonesia.
Rangkaian itu dikatakan telah bekerjasama dengan lebih enam jenama rokok elektronik Indonesia disebabkan oleh undang-undang kawalan tembakau yang longgar.
Justeru, perlunya dasar menyeluruh diperkenalkan bagi melarang semua bentuk promosi tembakau melalui semua bentuk media.” tambahnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg