JAKARTA: Pemangku Gabenor Jakarta, Encik Heru Budi Hartono, mengumumkan gaji minimum wilayah (UMP) bagi 2024 telah ditetapkan pada 5.067 juta rupiah ($430) sebulan – meningkat daripada 4.9 juta rupiah sebelumnya.
“Kenaikan UMP 2024 adalah 3.38 peratus atau Rp165,583 ($14.25) berbanding tahun sebelumnya,” katanya di Dewan Bandaraya Jakarta, pada Selasa.
Menurut Encik Hartono, pemerintah wilayah Jakarta akan melaksanakan UMP baru melalui Surat Keputusan Gabenor No. 818 Tahun 2023 mengenai gaji minimum wilayah 2024.
Upah minimum dihitung berdasarkan formula yang ditetapkan dalam Peraturan Pemerintah No 51 Tahun 2023, tentang perubahan Peraturan Pemerintah No 36 Tahun 2021 tentang Penggajian.
“Pemerintah Jakarta telah menetapkan alpha tertinggi iaitu alpha 0.3 mengikut Peraturan Pemerintah No 51 Tahun 2023. Pemerintah daerah tidak boleh melebihi alpha daripada peraturan tersebut,” katanya.
Encik Hartono berkata UMP bagi wilayah Jakarta bagi 2024 ditentukan menggunakan formula yang ditetapkan dalam peraturan, yang turut mengambil kira kadar inflasi bandar itu, pertumbuhan ekonomi dan Indeks Alpha tertentu 0.3.
Pengiraan UMP mencapai Rp5,067,381, yang akan dikenakan kepada pekerja yang berkhidmat kurang daripada setahun.
Pemerintah wilayah juga mengingatkan usahawan supaya mengawal struktur dan skala gaji dalam syarikat mereka.
Semasa menetapkan struktur skala gaji, syarikat mesti menggunakan keupayaan dan produktiviti mereka sebagai garis panduan untuk menentukan gaji pekerja yang telah bekerja untuk mereka selama setahun atau lebih, kata Encik Hartono.
“Kita akan melaksanakan penyeliaan dan mengenakan sekatan kepada usahawan yang tidak mematuhi kewajipan ini,” tegasnya.
Pentadbirannya juga terus merangka dasar untuk mengekalkan kuasa beli pekerja dan meningkatkan kebajikan pekerja dalam beberapa aspek lain.
Dasar itu akan meliputi pekerja yang memegang Kad Pekerja Jakarta yang memenuhi kriteria tertentu, iaitu mereka mempunyai kad pengenalan yang menunjukkan mereka adalah warga Jakarta yang mendapat gaji maksimum 1.15 kali ganda UMP, tanpa dihadkan tempoh bekerja atau kriteria lain, seperti yang ditetapkan.
Dasar itu meliputi bantuan seperti perkhidmatan pengangkutan, makanan berpatutan serta kos pendidikan peribadi, kata Encik Hartono. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg