Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jangan jadikan isu agama polemik, perbalahan politik

Jun 5, 2023 | 1:30 PM
ULANG TAHUN AGONG: Sempena ulang tahun Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdullah ingatkan rakyat Malaysia supaya pelihara keharmonian beragama.
ULANG TAHUN AGONG: Sempena ulang tahun Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdullah ingatkan rakyat Malaysia supaya pelihara keharmonian beragama. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Yang Dipertuan Agong Malaysia, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengingatkan seluruh rakyat negara itu agar tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.

Dalam ucapan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Ahad, beliau turut mengajak semua pihak membuang agenda retorik perpecahan dengan bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan lebih baik.

Sultan Abdullah juga mengingatkan, semua pihak perlu menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam juga perlu dihormati, namun agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai.

“Semangat penuh toleransi rakyat Malaysia dalam kemajmukan yang ada, sebenarnya adalah asas kekuatan utama negara.

“Justeru, bagi membina sebuah negara yang gagah perkasa, maju jaya, berwibawa dan bermaruah, kita semua hendaklah membuang agenda retorik perpecahan dan sebaliknya bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan lebih baik,” kata beliau dalam ucapan yang disiarkan melalui televisyen malam Ahad lalu.

Ini tahun kelima Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meraikan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong bersama rakyat Malaysia.

Mahu amalan demokrasi di negara ini terus menjadi asas kestabilan dan keharmonian negara, Seri Paduka berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu dan proses pembentukan Kerajaan Persekutuan yang lancar, dalam suasana aman dan damai menjadi bukti bahawa amalan demokrasi sejak tujuh dekad lalu, masih kekal subur di negara ini.

“Saya berasa amat bersyukur kerana hari keputeraan rasmi saya pada tahun ini disambut dalam suasana landskap negara yang stabil dan sentosa.

“Saya ingin mengajak barisan kepemimpinan negara untuk terus berkhidmat setulus hati dan meningkatkan usaha membentuk sistem pentadbiran negara yang cekap, mesra rakyat dan berintegriti demi membela masa hadapan rakyat beta dan negara bertuah ini,” ujar beliau.

Yang di-Pertuan Agong melihat Malaysia mempunyai potensi sangat besar untuk menjadi sebuah negara maju dan disegani kerana dilimpahi nikmat keamanan, kepelbagaian sumber dan modal insan berkualiti serta mempunyai semangat juang yang tinggi.

“Sebenarnya kekuatan utama negara ini adalah rakyatnya. Rakyat Malaysia yang amat mencintai kedamaian, keharmonian dan kesatuan dalam kehidupan seharian serta menerima kemajmukan yang wujud dengan penuh toleran.

“Rakyat Malaysia juga sekian lama berjaya mencipta nama di persada dunia dalam pelbagai bidang, termasuk dalam mencorak landskap geopolitik serantau dan global,” ujar beliau.

Baginda turut melahirkan penghargaan buat semua rakyat, merangkumi kerajaan, anggota pentadbiran, penjawat awam dan pasukan keselamatan yang menyumbang kepada kesejahteraan dan keamanan negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg