Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jangan sentuh kaum, agama dan raja (3R) serta ucapan kebencian: Ketua Polis M’sia

Aug 1, 2023 | 4:06 PM
GESA ELAK ISU SENSITIF: Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, memberi amaran kepada calon dan penyokong parti  supaya tidak menyentuh isu sensitif 3R demi memeliharan keamanan dan keharmonian negara semasa berkempen bagi pilihan raya negeri.
GESA ELAK ISU SENSITIF: Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, memberi amaran kepada calon dan penyokong parti supaya tidak menyentuh isu sensitif 3R demi memeliharan keamanan dan keharmonian negara semasa berkempen bagi pilihan raya negeri. - Foto ST

KUALA LUMPUR: Calon pilihan raya negeri (PRN) dan penyokong mereka harus mengelak daripada menggunakan isu sensitif atau ucapan kebencian berkaitan kaum, agama dan raja (3R) dalam kempen mereka, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang menyentuh isu itu sepanjang tempoh berkempen bagi enam PRN, kata beliau.

“Sejak dua hari lalu, kami tidak menerima sebarang laporan polis mengenai ucapan kebencian berkaitan 3R semasa ceramah atau aktiviti lain.

“Kami harap keadaan ini akan berterusan sehingga hari pengundian,” ujar Tan Sri Razarudin kepada akhbar The Star ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata pasukan petugas 3R dan pasukan Ops Cantas akan memantau aktiviti kempen, termasuk ceramah.

“Sekiranya sebarang kesalahan berkaitan 3R dilakukan, pasukan petugas akan menyelesaikan siasatan dalam tempoh tujuh hari selepas kertas siasatan (IP) dibuka.

“IP kemudian akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang menyentuh isu sensitif yang boleh mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Tan Sri Razarudin berkata beliau berharap semua pihak yang terlibat dalam PRN akan menunjukkan kematangan politik, seperti yang mereka lakukan semasa hari penamaan calon.

“Kami berharap baki hari berkempen akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya.

Polis telah mengerahkan 82 daripada pasukan Ops Cantas Jabatan Siasatan Jenayah (CID), yang terdiri daripada 1,459 pegawai dan anggota polis, untuk mengambil tindakan terhadap sebarang perbuatan jenayah semasa PRN ini.

Pasukan Ops Cantas telah ditempatkan sejak pertengahan Mei di Kelantan dan sejak 29 Jun di lima negeri lain.

Di Selangor, Ketua Polis Negeri, Datuk Hussein Omar Khan, berkata 130 acara kempen dan 51 ceramah berpermit berlangsung pada Ahad.

“Semua calon dan penyokong mereka mesti mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

Di Pulau Pinang, jurucakap kanan polis, Penolong Pesuruhjaya W. Pusphanathan, berkata polis negeri tidak menerima sebarang laporan mengenai ahli politik menyentuh subjek 3R.

“Kita mengingatkan parti dan individu, khususnya penyokong parti, supaya tidak memainkan sentimen 3R dan menimbulkan sebarang provokasi, gangguan atau pergaduhan yang boleh membawa ketidakharmonian dan menjejaskan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana parti politik atau individu yang didapati melakukan kesalahan ini, tanpa mengira status mereka,” katanya.

Di Alor Setar, Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) Alzafny Ahmad berkata setakat ini tiada laporan mengenai ucapan kebencian. Tidak ada laporan mengenai perbuatan vandalisme, tambahnya.

Bagaimanapun, SAC Alzafny menasihatkan orang ramai, khususnya penyokong parti, supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi, menganggu atau memulakan pergaduhan yang boleh membahayakan keselamatan orang lain.

Beliau berkata polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja, tanpa mengira parti, yang cuba mengganggu gugat keharmonian dan keamanan negara.

Minggu lepas, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata 4,794 anggota polis akan ditempatkan semasa PRN Kedah.

Beliau berkata pegawai dan anggota akan ditugaskan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam pada hari penamaan calon, semasa tempoh berkempen dan pada hari pengundian. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg