JAKARTA: Jawatankuasa Khas (Pansus) Haji Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) telah menyelesaikan siasatan mengenai pengurusan ibadah haji oleh pemerintah bagi 2024 dan telah mengemukakan beberapa cadangan penting untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.
Jawatankuasa itu, yang dipimpin oleh, Encik Nusron Wahid, menekankan pentingnya memperbaiki pengurusan haji, termasuk cadangan melantik menteri agama yang lebih berdaya saing pada masa hadapan untuk mengelakkan masalah seperti yang berlaku pada 2024.
Jawatankuasa itu menekankan perlunya seorang pemimpin yang lebih cekap dalam mengurus pelbagai aspek pelaksanaan ibadah haji, lapor The Jakarta Post.
Sepanjang penyiasatan yang berlangsung selama sebulan, beberapa kelemahan dalam sistem pengurusan haji didedahkan, termasuk pengawasan yang lemah oleh Kementerian Agama menjadi punca utama kepada salah guna kuota haji.
Encik Nusron mendedahkan bahawa sistem pendaftaran dalam talian yang tidak diuruskan dengan baik menyebabkan ribuan anggota jemaah yang telah lama menunggu terhalang daripada menunaikan haji, sementara terdapat segelintir anggota jemaah yang mampu memintas giliran dan terus menunaikan ibadah haji, lapor laman web, Detik.com.
Kelemahan itu berpunca daripada sistem yang tidak diaudit secara kerap, menjadikannya terdedah kepada penyalahgunaan oleh pihak yang mempunyai akses, termasuk pegawai kementerian dan institusi kewangan.
Encik Nusron turut menegaskan bahawa pengawasan dalaman kementerian kurang berkesan dalam memantau pengagihan kuota tambahan yang diterima Indonesia pada 2024.
Pada 2024, kerajaan Arab Saudi telah memberi tambahan 20,000 kuota haji kepada Indonesia, menjadikan keseluruhan kuota sebanyak 241,000.
Namun, keputusan untuk membahagikan kuota tambahan itu secara sama rata antara haji biasa dengan haji khusus mencetuskan kontroversi.
Ini kerana hanya 8 peratus daripada keseluruhan kuota haji negara sepatutnya diperuntukkan untuk haji khusus yang mempunyai tempoh menunggu lebih pendek.
Encik Nusron mengakui bahawa terdapat percanggahan dalam undang-undang, yang membolehkan pengagihan kuota yang tidak adil.
Akibatnya, sekitar 3,500 anggota jemaah haji khusus berjaya menunaikan haji pada 2024 tanpa perlu menunggu lima hingga sembilan tahun seperti yang sepatutnya.
Jawatankuasa khas mengusulkan semakan semula Undang-Undang Haji 2019 dan Undang-Undang Pengurusan Kewangan Haji 2014.
Semakan itu bertujuan memperbaiki peruntukan yang bercanggah dan memastikan tiada ketidakadilan dalam pengagihan kuota pada masa hadapan.
Jawatankuasa itu turut mencadangkan supaya satu sistem pengurusan kuota yang lebih telus dan bertanggungjawab diwujudkan, terutama bagi jemaah haji khusus, agar semua pihak dapat memahami proses pengagihan kuota dengan jelas.
Jawatankuasa turut menerima aduan mengenai mutu perkhidmatan dan penginapan jemaah haji, terutamanya di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Jawatankuasa berharap pemerintah baru yang bakal dibentuk presiden terpilih, Encik Prabowo Subianto, akan melantik menteri agama yang lebih cekap dalam menguruskan ibadah haji pada masa akan datang.
Terdapat juga spekulasi bahawa penyiasatan jawatankuasa itu mempunyai motif politik, kerana ia melibatkan persengketaan peribadi antara Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Encik Muhaimin Iskandar, dengan Menteri Agama, Encik Yaqut Cholil Qoumas.
Encik Yaqut yang beberapa kali gagal menghadiri sesi pendengaran dengan jawatankuasa tersebut menimbulkan persoalan mengenai kewibawaan dan ketelusan pengurusan haji.
Bagi memperkukuh pemantauan pada masa akan datang, jawatankuasa khas mencadangkan penglibatan lebih aktif badan pengawasan dalaman pemerintah seperti Inspektorat Jeneral Kementerian Agama dan Badan Pengawasan Kewangan dan Pembangunan (BPKP).
Di samping itu, penglibatan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Badan Pemeriksa Kewangan (BPK) juga dicadangkan sekiranya terdapat keperluan untuk tindakan lanjut. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg