Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

RENCANA

Jejak identiti dan iktibar hijrah Arab Hadhramaut di S’pura

Jun 16, 2023 | 02:53 PM



Orang Arab dari Hadramaut atau dikenali sebagai Hadhrami yang pertama menjejakkan kaki di Singapura pada 1819 adalah dua pedagang kaya dari Palembang, Indonesia. Mereka adalah daripada keluarga Al-Junied. Kebanyakan orang Hadhrami di Singapura datang ke Singapura menerusi Indonesia.

Secara tradisional, pendatang asing berhijrah dengan tujuan bertapak dan bermukim di negara yang dituju. Mereka meninggalkan tradisi mereka dan menyesuaikan diri dengan adat resam tempat baru mereka bermukim.

Bagaimanapun, orang-orang Hadhrami yang berhijrah ke alam Nusantara cukup besar bilangannya sehingga membentuk sebuah etnik minoriti yang dikenali sebagai kacukan Arab-Indo.

Mereka menerima pakai sesetengah budaya setempat, malah mengamalkannya di negara asal mereka. Contohnya, beberapa perkataan Melayu digunakan di Hadhramaut.

Masakan di sana juga dipengaruhi oleh masakan Indonesia.

Tidak diragui orang-orang Hadhrami telah berasimilasi dan menjadi sebahagian daripada masyarakat Melayu/Islam. Ramai daripada mereka kini merupakan generasi keempat dan kelima yang bertutur bahasa Melayu di rumah masing-masing.

Meskipun asimilasi merupakan perkembangan semula jadi golongan pendatang, terdapat kecenderungan dalam kalangan masyarakat pendatang untuk mewujudkan sebuah masyarakat diaspora yang menyaksikan mereka yang datang daripada negara atau latar belakang etnik yang sama, mewujudkan masyarakat mereka sendiri atau kumpulan sosial yang kuat hubungannya di negara tuan rumah.

Sebuah tema kajian imigrasi mengenai ‘transnasionalisme’ yang mencakup hubungan dan interaksi antara golongan pendatang dengan negara asal mereka. Adalah lumrah bagi pendatang berhubung rapat dengan dua (atau lebih) negara, namun sifat dan ciri-ciri ikatan mungkin amat berbeza.

‘Rumah’ adalah tempat kediaman stabil yang membuat penghuninya berasa selamat, selesa dan berasa kesesuaiannya. ‘Tanah air’ adalah tempat asal yang membuat seseorang terikat secara emosi.

Asimilasi dan transnasionalisme bukanlah sesuatu yang bertentangan. Kebanyakan pendatang tidak sahaja berasimilasi malah menjalani kehidupan rentas negara.

Apa yang menarik perhatian ialah golongan penghijrah selalunya lebih mengamalkan warisan tradisi daripada kelompok yang tinggal di negara asal.

Contohnya, mengekalkan identiti Scotland dan hubungan dengan negara asal adalah lebih penting bagi rakyat negara itu yang tinggal di negara lain daripada rakyat Scotland yang tinggal di negara sendiri.

Satu ciri-ciri biasa masyarakat diaspora ialah mereka mengekalkan hubungan dengan negara asal dan negara mereka baru bermastautin.

Sebenarnya istilah pengganti bagi diaspora ialah masyarakat bersempang atau ‘hyphenated community’ – merujuk kepada label gandingan semantik negara asal dengan negara tuan rumah seperti orang Ireland-Amerika. Di Singapura, orang-orang Hadhrami dikenali sebagai orang Arab Singapura.

Berdasarkan teori asimilasi, ikatan transnasional dengan negara asal juga akan berkurangan daripada satu generasi ke generasi sedang setiap generasi telah berasimilasi berbanding generasi sebelumnya.

Ini merupakan satu cabaran yang dihadapi oleh masyarakat keturunan Arab di Singapura.

KONTEKS SINGAPURA

Satu cabaran yang dihadapi masyarakat keturunan Arab di Singapura ialah bagaimana mengekalkan identiti, budaya dan mengekalkan hubungan dengan tanah air asal mereka.

Visi Persatuan Arab Singapura ialah mempunyai masyarakat inklusif yang rapat jalinannya serta diiktiraf dan diterima sebagai sebahagian daripada ikatan sosial dan melibatkan diri dalam kegiatan di peringkat nasional. Tetapi mereka tetap menjalin hubungan rapat dengan Hadhramaut – negara asal mereka.

Tempoh awal (1800 hingga Perang Dunia Kedua) merupakan zaman gemilang kekayaan orang Hadhrami.

Ramai yang menjadi kaya raya di Indonesia. Penghijrah terdahulu tetap mengekalkan hubungan dengan tanah air mereka.

Mereka mengirim wang dan membina rumah mewah di negara asal.

Pegangan mereka diungkapkan dalam frasa cerita rakyat yang menyebut ‘ma Jawa bibadl thala makatieb ya hamd’ atau bermaksud “Jawa bukanlah satu pilihan, ia adalah hanya untuk menjalankan perniagaan”.


Namun, peraturan mengawal kutipan sewa telah menjejas kekayaan orang Hadhrami yang merupakan pemilik hartanah terbesar pada zaman sebelum perang.

Namun kekayaan mereka terus menyusut akibat dasar pengambilan tanah Singapura di mana plot-plot tanah mereka diambil dengan ganti rugi.

Yaman Selatan tempat Hadhramaut meraih kemerdekaan dalam 1967.

Rejim baru menyukarkan pergerakan keluar masuk Hadhramaut. Secara beransur-ansur jalinan orang Hadhrami Singapura dengan negara asal semakin berkurangan dan sekali gus menimbulkan krisis identiti.

Keadaan ini dapat dilihat dengan penggunaan kekata “Melayu keturunan Arab” pada 1992.

Mereka menolaknya demi mengekalkan identiti orang Hadhrami Singapura yang berbeza.

Tidak terdapat keraguan mengklasifikasi pendatang dari Yaman sebagai Melayu kerana ia meluputkan status peribumi orang Melayu.

Budaya Hadhrami menekankan soal keturunan dan salasilah. Ini terutamanya bagi golongan Sayyid yang merupakan majoriti diaspora di Singapura.

Mereka mendakwa daripada keturunan Nabi Muhammad saw. Susur galur sedemikian meletakkan mereka sebagai orang-orang yang kuat pegangan agama dan ramai daripada mereka merupakan alim ulama atau sering dikenali sebagai habib.


Status keagamaan orang-orang Hadhrami telah banyak dibukukan dan ini dibuktikan dengan kewujudan Masjid Ba’alwie di sini.

Baru-baru ini, Persatuan Arab telah memperkenalkan biasiswa bagi rakyat Singapura yang ingin mengikuti pengajian agama di Tareem, Hadhramaut.

Ini di samping menawarkan dermasiswa kepada masyarakat Arab yang mahu melanjutkan pengajian agama di institusi pengajian tinggi terkemuka di tempat lain.

Penekanan terhadap soal keturunan bermakna orang-orang Hadhrami dapat mengekalkan talian nama keluarga dan susur galur mereka. Ini sekali gus memudahkan pengenalan saudara-mara masing-masing di negara asal.

Terdapat juga banyak wakaf dan/atau yayasan pengamanah yang ditubuhkan oleh orang-orang Hadhrami di Singapura untuk membantu mereka yang memerlukan di Hadhramaut.

Pemukiman di bawah pengamanah keluarga dibentuk oleh golongan perintis dan sesetengah badan pengamanah pula dibentuk khusus untuk saudara-mara.

Badan pengamanah ini bermakna terdapat benefisiari di Singapura dan di negara asal (kadangkala di tempat lain). Pemegang amanah akan menyimpan rekod keluarga bagi mengenal pasti benefisiari dan pengagihan pendapatan kelak.

Pada Disember 1991, sebuah makalah berjudul Al Shourouq yang bermakna ‘fajar menyingsing’ telah diterbitkan oleh beberapa individu sebagai permulaan era baru masyarakat Hadhrami.


Misi makalah tersebut adalah bagi mempromosi identiti Arab dalam kalangan masyarakat. Makalah tersebut menamatkan penerbitannya pada 1993.

Kumpulan tersebut juga telah menerbitkan kertas konsep menggariskan isu-isu dan cabaran-cabaran yang dihadapi masyarakat dan menggesa lebih banyak penyertaan.

Satu persidangan telah dianjurkan oleh Al Wehdah dalam 1995 bagi membincangkan kertas konsep dan isu-isu yang dihadapi masyarakat.

Pada 1990, Yaman Utara dan Selatan telah bergabung bagi membentuk sebuah negara.

Terdapat peluang-peluang ekonomi ekoran hasrat menjadikan Pelabuhan Aden di Yaman Selatan sebagai zon dagangan bebas, penemuan minyak di selatan Yaman dan melonggarkan undang-undang agar lebih mesra perniagaan.

Minat orang-orang Hadhrami terhadap Yaman semakin meningkat ekoran lawatan berterusan oleh perwakilan dari Penguasa Pelabuhan Aden ke Singapura.

Para anggota masyarakat Hadrami yang mempunyai hubungan kuat di Yaman telah menyakinkan penguasa pelabuhan itu supaya menghantar misi belajar ke Singapura.

Lawatan tersebut disusuli dengan lawatan Perdana Menteri Yaman pada 1995 dan lawatan Presiden pada 1998. Dalam setiap lawatan itu, Al Wehdah menganjurkan sesi dialog antara para anggota masyarakat dengan para pegawai Yaman.

Dalam 1990, beberapa rakyat Singapura keturunan Hadhrami telah melawat Yaman dan Hadhramaut.

Sebahagian daripada mereka tinggal lama di Yaman dan pulang selepas selesai Perang Yaman baru-baru ini. Hasil kunjungan tersebut telah meningkatkan penggunaan WhatsApp, Skype dan Imo yang membolehkan mereka menghubungi keluarga antara kedua-dua buah negara.

Pada 1990, Persatuan Arab telah menghantar dua delegasi ke Yaman bagi menyertai persidangan diaspora penduduk Yaman yang ditaja oleh pihak pemerintah.

Pihak persatuan juga telah mengadakan kelas-kelas tarian, kumpulan muzik dan penari untuk mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan melibatkan masyarakat Hadhrami.

Pada 2001, Café le Caire @ Al-Majlis, kafe Arab pertama dibuka di Arab Street dan merubah kawasan tersebut sebagai hab kawasan Arab.

Pada 2004, Persatuan Arab telah menganjurkan minggu warisan selama 10 hari di Arab Street dan dikuti dengan pameran berjudul Al Rihlah di Perpustakaan Negara.

Pada 2019, satu lagi pameran berjudul Qisah, telah diadakan sempena meraikan Bicentennial Singapura

Kesemua pendedahan yang menyaksikan kehadiran masyarakat Hadhrami di Singapura telah meningkatkan rasa kekitaan terhadap Singapura dan sekali gus menggalak hubungan dengan Hadhramaut.

Ini telah membolehkan mereka mengetahui asal usul mereka dan menjalin semula hubungan dengan negara asal tanpa sebarang rasa kesetiaan yang berbelah bahagi.

Apabila Menteri Luar Singapura mahu melawat Yaman, para pemimpin Persatuan Arab telah mengaturkan kunjungan beliau ke Hadhramaut. Lawatan tersebut telah menonjolkan kewujudan Persatuan Arab Singapura di Hadhramaut.

Menyusuli lawatan itu, masyarakat Hadrami telah mengadakan kunjungan ke sana pada tahun berikutnya. Mereka telah membantu mangsa-mangsa banjir terburuk yang melanda Hadhramaut.

Pada 2021, Persatuan Arab telah memungut dana bagi membantu golongan memerlukan di sana. Mereka juga telah mengadakan acara korban dan bekerja rapat dengan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memasang panel-panel solar di sekolah-sekolah.

Apa yang dapat masyarakat diaspora pelajari daripada kes Hadhrami Singapura?

Krisis identiti dan pengasingan beransur-ansur dari negara asal telah berbalik hasil tindakan oleh beberapa individu terutamanya oleh pihak persatuan yang telah memainkan peranan utama.

Identiti masyarakat diaspora dipengaruhi kuat oleh jalinan mereka dengan negara asal. Apabila hubungan emosi dengan negara asal luput, masyarakat diaspora mula berdepan dengan krisis identiti.

Cerita Hadhrami Singapura boleh dijadikan contoh dan iktibar oleh masyarakat diaspora lain yang juga boleh mencungkil dan memanfaat pengalaman Persatuan Arab Singapura dalam mengekalkan hubungan rapat dengan negara asal.

Penulis Ketua Projek Gunaan, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Setiausaha Kehormat Persatuan Arab Singapura (Al Wehdah).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >