KOLKATA (INDIA): Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh, 100 cedera dan banyak tertimbus apabila sebuah jejambat yang sedang dibina di kawasan komersial Kolkata runtuh pada Khamis (31 Mac).
Video yang disiarkan di televisyen India menunjukkan sebatang tiang konkrit besar dan 100 meter daripada jejambat sepanjang dua kilometer itu rebah dalam kepulan debu, menghempap beca dan orang pada waktu sibuk makan tengah hari, apabila orang ramai menuju ke gerai-gerai penjaja di bawah jejambat tersebut.
Media tempat cepat melabelkan bencana itu sebagai "buatan manusia".
Seorang saksi memberitahu pemberita beliau mendengar bunyi kuat berterusan dan pada mulanya menyangka ia adalah gempa bumi, manakala yang lain menyifatkan bunyi dentuman kuat "seperti letupan bom".
Lebih 5,000 pekerja penyelamat yang dikerahkan dihambat oleh jalan yang sesak dek kenderaan dan bangunan di kiri kanan jalan.
Angka kematian dijangka meningkat.
Perdana Menteri Narendra Modi, yang berada di Washington untuk Sidang Puncak Keselamatan Nuklear, berkata di Twitter beliau sedang memantau keadaan.
"Terkejut dan sedih mengenai keruntuhan jejambat dalam pembinaan di Kolkata," katanya dalam laman sosial.
"Simpati saya pada keluarga mereka yang kehilangan nyawa di Kolkata. Semoga yang cedera cepat pulih."