WASHINGTON: Pengasas bersama Nvidia, Encik Jensen Huang, kembali menerajui syarikat gergasi pengeluar cip itu selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, campur tangan dan mendesak lembaga pengarah syarikat tersebut melantik semula beliau sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO).

Nvidia mengumumkan keputusan itu pada 23 November, kurang dua minggu selepas Encik Huang meletak jawatan pada 12 November susulan pendedahan mengenai dua hubungan sulit, termasuk dengan seorang wanita yang dikenal pasti sebagai individu yang mempunyai kaitan dengan agensi perisikan China.

Encik Trump sebelum itu mengarahkan Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, mengadakan perbincangan dengan Encik Huang dan lembaga pengarah Nvidia bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Pegawai pentadbiran Trump kemudian memberi jaminan bahawa Encik Huang tidak berdepan sebarang tuduhan jenayah dan tidak dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Campur tangan luar biasa Encik Trump itu mengakhiri kemelut hampir dua minggu di Nvidia, sekali gus mendedahkan perbezaan pendirian dalam pentadbirannya antara pegawai yang bimbang China memperoleh akses kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) canggih dengan mereka yang lebih mengutamakan kestabilan pasaran saham.

Encik Trump, yang menganggap AI sebagai tonggak penting ekonomi Amerika, dilihat lebih mengutamakan pemulihan pasaran saham yang merosot sejak peletakan jawatan Encik Huang.

Saham Nvidia melonjak lebih 31 peratus pada 23 November, manakala indeks S&P 500 meningkat 4.7 peratus, kenaikan harian terbesar sejak April 2025.

Indeks Nasdaq Composite, yang menjadi penanda aras utama saham teknologi, pula melonjak 6.5 peratus, sekali gus membalikkan kemerosotan mendadak minggu sebelumnya.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Huang mohon maaf, janji jadi pemimpin lebih baik

Beberapa jam selepas pelantikan semulanya diumumkan, Encik Huang kembali ke ibu pejabat Nvidia di Santa Clara, California, dengan disambut tepukan gemuruh kakitangan.

Sebahagian pekerja melaungkan namanya, manakala Encik Huang merapatkan kedua-dua tangannya dan tunduk sebagai tanda penghargaan.

“Hari ini hari pertama saya bekerja. Saya tidak mempunyai komputer, jadi jabatan teknologi maklumat akan memberikan saya komputer baharu,” katanya berseloroh.

Namun, beliau kemudian memohon maaf kepada kakitangan atas kemelut yang tercetus dan berterima kasih kerana diberikan peluang kedua untuk memimpin syarikat tersebut.

“Saya telah melakukan beberapa kesilapan yang amat besar dan saya akan berusaha memperbaiki diri,” katanya.

Encik Trump turut menyambut baik keputusan lembaga pengarah Nvidia menerusi satu hantaran di media sosial.

“Negara memerlukan kepimpinan Jensen di Nvidia bagi memastikan kejayaan dan kemakmuran bukan sahaja syarikat itu, malah ekonomi Amerika,” katanya.

Kongres persoal risiko keselamatan negara

Bagaimanapun, kepulangan Encik Huang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan anggota Kongres daripada Parti Demokrat dan Republikan.

Mereka mempersoalkan sama ada pentadbiran Trump mengetepikan isu keselamatan negara susulan pendedahan hubungan sulit Encik Huang dengan seorang ahli perniagaan China, Cik Alice Huang.

Wanita itu juga dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan cip Nvidia ke China yang sedang disiasat pihak berkuasa Amerika.

Syarikat berpangkalan di Singapura yang diterajuinya, Megaspeed, sedang disiasat berhubung kemungkinan penyeludupan cip Nvidia berkuasa tinggi ke China, yang melanggar undang-undang eksport Amerika.

Cik Alice Huang belum memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas mengenai perkara tersebut.

Pemimpin minoriti Senat daripada Parti Demokrat, Encik Chuck Schumer, berkata pihaknya akan menyiasat sebarang kemungkinan salah laku membabitkan pentadbiran Trump, Encik Huang dan eksekutif Nvidia apabila Demokrat mengambil alih penguasaan Kongres pada 2027.

Anggota Dewan Perwakilan, Encik Jim Himes, yang bakal mengetuai Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan, menegaskan pelantikan semula Encik Huang tidak mengubah keperluan beliau memberi keterangan kepada Kongres.

Pengerusi Jawatankuasa Perbankan Senat daripada Parti Republikan, Encik Tim Scott, turut mengumumkan satu sesi pendengaran awam pada 3 Disember yang akan menyaksikan Encik Huang memberi keterangan.

Trump gerakkan usaha di belakang tabir

Menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu, Encik Trump sejak akhir minggu lalu telah menggerakkan usaha di belakang tabir bagi mendesak lembaga pengarah Nvidia membawa kembali Encik Huang.

Langkah itu diambil meskipun Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, sebelum itu menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan cip canggih yang dilarang dieksport telah diseludup ke China.

Pelabur dan bekas kakitangan Nvidia turut mendesak lembaga pengarah melantik semula Encik Huang, dengan alasan beliau telah belajar daripada kesilapannya dan kepimpinannya akan lebih menguntungkan syarikat serta pemegang saham.

Encik Vance kemudian mengadakan perbincangan secara tertutup dengan Encik Huang dan membantu lembaga pengarah Nvidia mendapatkan jaminan daripada pentadbiran Trump mengenai isu keselamatan negara.

Nvidia turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa pematuhan baharu bagi meyakinkan orang ramai bahawa syarikat itu memandang serius siasatan berhubung kemungkinan penyeludupan cip canggih.

Walaupun Encik Trump mendakwa beliau tidak pernah diberikan taklimat mengenai isu tersebut, para penasihatnya, termasuk Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, dilaporkan telah memberi taklimat kepada beliau sekurang-kurangnya dua kali mengenai kebimbangan keselamatan berkaitan hubungan Encik Huang dengan Cik Alice Huang.

Cabaran dalaman Nvidia

Pelantikan semula Encik Huang turut menimbulkan persoalan mengenai kewibawaan lembaga pengarah Nvidia, yang minggu lalu menegaskan tidak berhasrat membawa beliau kembali.

Encik Huang meletak jawatan selepas satu mesyuarat tergempar lembaga pengarah susulan pendedahan bahawa beliau turut menjalin hubungan sulit dengan seorang kakitangan, sekali gus melanggar tataetika syarikat.

Kepulangannya juga mencetuskan ketidaktentuan dalam kalangan barisan eksekutif Nvidia yang sebelum ini memberikan sokongan kepada CEO sementara, Cik Colette Kress.

Beberapa eksekutif dilaporkan kurang senang dengan pengaruh anggota keluarga Encik Huang dalam pengurusan syarikat, termasuk anak perempuannya, Cik Madison Huang, dan menantunya, Encik Nico Caprez, yang memainkan peranan penting dalam menentukan strategi pemasaran, komunikasi dan perniagaan Nvidia.

Bagaimanapun, lembaga pengarah Nvidia dalam kenyataannya berkata keputusan melantik semula Encik Huang dicapai sebulat suara selepas beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan beliau.

“Lembaga pengarah berpuas hati dengan kejujuran Huang dan keupayaannya untuk memimpin Nvidia,” menurut kenyataan itu. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti