TOKYO: Puluhan ribu rakyat Jepun sanggup berpanas terik pada Jumaat, 15 Ogos bagi memperingati ulang tahun ke-80 penyerahan Jepun pada Perang Dunia Kedua, dengan ramai mengunjungi Kuil Yasukuni yang kontroversial di Tokyo.
Kuil ini memperingati 2.5 juta askar Jepun yang terkorban sejak akhir abad ke-19, termasuk 14 pemimpin perang yang disabitkan dengan jenayah perang paling serius.
Lawatan pegawai kerajaan ke kuil tersebut kerap mengundang kritikan negara jiran seperti China dan Korea Selatan yang pernah menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun. Namun, penyokong berpendapat kuil itu adalah tempat untuk menghormati semua yang gugur, tanpa mengira peranan mereka.
Menteri Pertanian, Encik Shinjiro Koizumi, antara tokoh politik yang hadir, menegaskan: “Adalah penting untuk tidak melupakan penghormatan kepada mereka yang mengorbankan nyawa demi negara, tanpa mengira negara mana sekalipun. Ini adalah prinsip yang sangat penting.”
Perdana Menteri Encik Shigeru Ishiba pula menghadiri upacara peringatan perang berasingan bersama Maharaja Naruhito dan Permaisuri Masako. Dalam ucapan beremosi, Maharaja Naruhito berkata: “Fikiran saya tertuju kepada mereka yang kehilangan nyawa dalam perang dan kepada keluarga yang ditinggalkan. Dengan rasa kesal mendalam, saya berharap agar penderitaan perang tidak akan berulang.”
Encik Ishiba berikrar untuk “mewariskan memori pahit perang kepada generasi akan datang dan berusaha ke arah keamanan berkekalan.” Beliau turut menghantar penghormatan berbentuk persembahan ke Kuil Yasukuni, seperti yang dilaporkan Kyodo News.
Walaupun suhu melebihi 30 darjah Celsius, kawasan sekitar kuil dipenuhi lautan payung. Sekurang-kurangnya dua pengunjung dilaporkan menerima rawatan akibat cuaca panas.
Encik Takashi Eguchi, 53 tahun, seorang pereka grafik dari Tokyo, berkata kepada AFP: “Kita hidup pada masa di mana perang sedang atau berpotensi meletus di pelbagai tempat. Saya datang untuk melihat kembali sejarah Jepun, termasuk kesilapannya.”
Seorang lagi pengunjung, Encik Harada, 39 tahun, dari wilayah Nagano, hadir dengan pakaian seragam tentera Jepun era perang. “Saya tahu suatu hari nanti veteran perang tiada lagi bersama kita. Saya mahu melakukan sesuatu untuk meneruskan legasi mereka,” katanya.
Selain Encik Koizumi, pemimpin nasionalis LDP, Encik Sanae Takaichi, dan bekas Menteri Keselamatan Ekonomi, Encik Takayuki Kobayashi, turut hadir. Parti “Japanese First” Sanseito, yang menentang globalisasi dan imigrasi, menghantar seramai 88 wakilnya, termasuk ahli parlimen tempatan, untuk memberikan penghormatan.
Lawatan ke Yasukuni oleh pemimpin Jepun kali terakhir dibuat pada Disember 2013 oleh bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, yang mencetuskan kemarahan Beijing, Seoul, dan kritikan daripada Washington.
Menteri Luar China, Wang Yi, berkata: “Hanya dengan berdepan sejarah, seseorang akan dihormati; hanya dengan belajar daripadanya, masa depan lebih baik dapat dibina; dan hanya dengan mengingati masa lalu, kesilapan yang sama dapat dielakkan.”
Hubungan Tokyo–Seoul kerap tegang akibat sejarah penjajahan Jepun, namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kedua-dua negara mengukuhkan kerjasama keselamatan untuk menangani ancaman Korea Utara dan pengaruh China yang semakin meningkat.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, menegaskan sempena ulang tahun pembebasan negaranya: “Hubungan dengan Jepun perlu berwawasan ke hadapan, berasaskan diplomasi pragmatik yang mengutamakan kepentingan negara.”
Pada September, Maharaja Naruhito, Permaisuri Masako, dan Puteri Aiko dijadual mengunjungi Nagasaki buat kali pertama sejak baginda menaiki takhta pada 2019, untuk bertemu mangsa terselamat pengeboman atom dan memperingati korban perang. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg