TOKYO: Jepun pada 27 Jun melaksanakan hukuman mati pertama sejak tahun 2022 dengan menggantung Takahiro Shiraishi, 34 tahun, lelaki yang dikenali sebagai ‘pembunuh Twitter’, kerana membunuh dan memotong anggota sembilan mangsa yang dikenalinya melalui media sosial.
Mangsa terdiri daripada lapan wanita dan seorang lelaki, berusia antara 15 hingga 26 tahun.
Kes kejam yang berlaku pada 2017 itu telah menggemparkan negara dan menjadi antara kes pembunuhan bersiri paling mengerikan dalam sejarah Jepun moden.
Shiraishi menggunakan platform Twitter yang kini dikenali sebagai X untuk mengenal pasti mangsa yang memuat naik hasrat membunuh diri, lalu memperdaya mereka dengan menawarkan “bantuan” untuk mati bersama.
“Kesalahan yang dilakukan oleh Shiraishi termasuk rompakan, rogol, pembunuhan, pemusnahan dan pembuangan mayat,” kata Menteri Kehakiman Jepun, Encik Keisuke Suzuki dalam sidang media di Tokyo.
Menurut Encik Suzuki, selepas membunuh kesemua mangsanya, Shiraishi memotong anggota tubuh mereka dan menyimpan bahagian-bahagian itu di dalam kotak dan peti sejuk yang ditaburkan dengan pasir kucing untuk menyembunyikan bau dan bukti. Beberapa bahagian pula dibuang ke tapak pelupusan sampah.
“Motifnya jelas bersifat peribadi dan kejam semata-mata untuk memuaskan keinginan seksual dan keuntungan kewangan,” tegas Encik Suzuki. “Jenayah ini menimbulkan kejutan besar kepada masyarakat.”
Shiraishi dijatuhi hukuman mati pada 2020 dan rayuan terhadap keputusan itu ditolak. Peguam pembelaan cuba berhujah bahawa mangsa telah memberikan “persetujuan” kerana mereka sudahpun mahu membunuh diri. Namun, hakim menolak hujah itu dan menyifatkan jenayah Shiraishi sebagai “licik dan tidak berperikemanusiaan.”
“Maruah mangsa telah dipijak. Dia mengeksploitasi orang yang lemah dan rapuh dari segi mental,” kata hakim sewaktu menjatuhkan hukuman.
Pembunuhan-pembunuhan ini terbongkar pada musim luruh 2017 apabila seorang wanita berusia 23 tahun hilang selepas memuat naik hasrat untuk membunuh diri di media sosial. Abangnya berjaya mengakses akaun Twitter mangsa dan menjejak lokasi terakhir sebelum membawa pihak polis ke kediaman Shiraishi di Zama, wilayah Kanagawa, tidak jauh dari Tokyo. Di sana, polis menemui sembilan mayat yang telah dipotong dan disembunyikan.
Dalam sistem kehakiman Jepun, hukuman mati dilaksanakan melalui kaedah gantung, dan terdapat kira-kira 100 banduan sedang menunggu pelaksanaan hukuman tersebut. Walaupun undang-undang menetapkan bahawa hukuman mati harus dijalankan dalam tempoh enam bulan selepas rayuan terakhir ditolak, hakikatnya ramai banduan menunggu dalam tahanan bersendirian selama bertahun-tahun malah ada yang sampai berdekad.
Menurut Encik Suzuki, hampir separuh daripada banduan yang berada di barisan hukuman mati kini sedang mengemukakan permohonan untuk perbicaraan semula.
Pelaksanaan hukuman mati Shiraishi mengingatkan rakyat Jepun kepada beberapa kes berprofil tinggi yang pernah berlaku, termasuk hukuman gantung terhadap Tomohiro Kato pada 2022 atas serangan di daerah Akihabara pada tahun 2008, dan hukuman mati ke atas Shoko Asahara serta 12 ahli kultus Aum Shinrikyo pada 2018. Kultus tersebut bertanggungjawab terhadap serangan gas sarin di sistem tren bawah tanah Tokyo pada 1995 yang mengorbankan 14 nyawa dan mencederakan ribuan orang.
Walaupun sistem hukuman mati di Jepun sering dikritik kerana kurangnya ketelusan, majoriti rakyat Jepun masih menyokong pelaksanaannya. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg