Topik diikuti
Pergi ke BHkuJerebu jejas pendidikan 1.4j pelajar di Indonesia, peperiksaan ditangguh
Jerebu jejas pendidikan 1.4j pelajar di Indonesia, peperiksaan ditangguh
JAKARTA: Jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut yang berlarutan di Indonesia bukan sahaja mengancam kesihatan penduduk, malah menjejas pembelajaran kira-kira 1.4 juta pelajar apabila ribuan sekolah terpaksa beralih kepada kelas dalam talian dan peperiksaan penting ditangguhkan.
Keadaan paling serius berlaku di Kalimantan Tengah apabila pencemaran udara yang semakin buruk memaksa pihak berkuasa menangguhkan Ujian Kecekapan Akademik (TKA) bagi pelajar sekolah menengah hingga pertengahan November.
Peperiksaan itu bermula di seluruh Indonesia pada minggu ini, namun pelajar di kawasan yang dilanda jerebu teruk terpaksa menunggu sehingga keadaan udara kembali selamat.
Menurut syarikat pemantauan mutu udara berpangkalan di Switzerland, IQAir, tahap pencemaran udara di Kalimantan Tengah dan ibu wilayahnya, Palangka Raya, mencapai kategori tidak sihat hingga berbahaya pada 28 Oktober.
Jerebu yang menyebabkan langit di beberapa kawasan Kalimantan bertukar warna jingga kusam itu turut mengganggu jadual persekolahan sejak Ogos lalu.
Agensi Pendidikan Palangka Raya melanjutkan pelaksanaan pembelajaran dalam talian bagi murid tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah rendah selama tiga hari, dari 26 hingga 28 Oktober.
Gangguan serupa turut dilaporkan di Sumatera Utara dan Sumatera Selatan, dengan wilayah terakhir itu antara kawasan yang mencatat keluasan kebakaran hutan terbesar pada 2026.
Menurut data sehingga September, sebanyak 12,874 sekolah yang menempatkan kira-kira 1.4 juta pelajar di seluruh Indonesia terpaksa beralih kepada pembelajaran dalam talian.
Kalimantan Barat mencatat jumlah paling tinggi sekolah yang terjejas.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan bahawa gangguan pembelajaran berpanjangan akan menyebabkan pelajar semakin ketinggalan, terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan kurang mendapat kemudahan Internet.
Pakar pendidikan Indonesia, Encik Indra Charismiadji, memberi amaran bahawa sistem pembelajaran dalam talian negara itu masih belum menunjukkan kemajuan ketara sejak digunakan secara meluas ketika pandemik Covid-19.
Menurutnya, masalah capaian Internet yang tidak seimbang, penggunaan teknologi pendidikan yang masih terhad dan kekurangan kemahiran guru mengendalikan kelas dalam talian terus menjadi hambatan utama.
“Jika pelajar terpaksa beralih kepada pembelajaran dalam talian, mutu pendidikan akan merosot.
“Walaupun tanpa bencana, pencapaian pembelajaran pelajar masih rendah,” katanya kepada akhbar, The Jakarta Post, pada 28 Oktober.
Beliau berkata gangguan persekolahan akibat jerebu boleh menyebabkan masalah kehilangan pembelajaran, iaitu kemerosotan pengetahuan dan kemahiran pelajar akibat terputusnya proses pendidikan dalam tempoh panjang.
Encik Indra turut merujuk keputusan terkini Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), yang menunjukkan Indonesia masih berada dalam kelompok bawahan daripada 91 negara yang dinilai.
Walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam pencapaian sains dan pembacaan, prestasi matematik pelajar Indonesia terus merosot.
Beliau turut mempersoalkan kesan penangguhan TKA terhadap peluang pelajar melanjutkan pengajian ke universiti.
Walaupun ujian itu tidak diwajibkan, keputusannya semakin banyak digunakan sebagai salah satu pertimbangan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
“Jika ujian itu akhirnya menjejas masa depan pelajar di kawasan yang dilanda bencana, keadaan tersebut tidak adil,” katanya.
Seorang pakar pendidikan, Encik Darmaningtyas, berkata masalah kesihatan akibat jerebu turut menghalang pelajar daripada memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.
Menurutnya, pembelajaran secara bersemuka mahupun dalam talian tidak akan berkesan sekiranya pelajar mengalami masalah pernafasan.
“Jika pelajar mengalami penyakit pernafasan, mereka tetap sukar memberikan tumpuan tanpa mengira kaedah pembelajaran,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyokong keputusan menangguhkan peperiksaan di kawasan terjejas kerana pelajar yang tidak sihat berkemungkinan sukar memahami pelajaran dan mencapai keputusan baik.
Beliau turut memberi amaran bahawa gangguan pendidikan berpanjangan di Kalimantan dan Sumatera boleh melebarkan jurang pencapaian antara pelajar di wilayah tersebut dengan rakan sebaya mereka di Jawa.
Kesan jerebu terhadap kesihatan penduduk juga semakin membimbangkan.
Menurut Kementerian Kesihatan Indonesia, lebih 333,000 penduduk mengalami jangkitan saluran pernafasan akibat jerebu sehingga 21 Oktober.
Daripada jumlah itu, kira-kira 75,000 merupakan kanak-kanak berusia bawah lima tahun, manakala 258,000 lagi berusia lima tahun ke atas.
Kementerian Pendidikan Rendah dan Menengah Indonesia memaklumkan peperiksaan TKA biasa diteruskan hingga minggu pertama November, sementara peperiksaan gantian bagi pelajar Kalimantan Tengah dijadualkan pada pertengahan bulan tersebut.
Seorang pegawai kanan kementerian, Encik Toni Toharudin, berkata keputusan menangguhkan peperiksaan dibuat selepas mengambil kira tahap keseriusan bencana jerebu di wilayah berkenaan.
“Keselamatan dan kesihatan pelajar, guru serta semua petugas peperiksaan menjadi keutamaan kami,” katanya.
Bagi mengurangkan kesan gangguan persekolahan, kementerian mengeluarkan garis panduan pembelajaran kecemasan sejak Ogos lalu.
Antara langkah yang diperkenalkan termasuk membenarkan sekolah beralih kepada pembelajaran dalam talian mengikut tahap pencemaran udara, mengagihkan pelitup dan memastikan bilik darjah bebas daripada asap.
Sekolah juga diberikan kelonggaran menggunakan dana Bantuan Operasi Sekolah (BOS) bagi memenuhi keperluan pembelajaran ketika bencana.
Bagi pelajar yang tidak mempunyai bekalan elektrik atau capaian Internet, sekolah diarah menyediakan bahan pembelajaran bercetak dan tugasan untuk disiapkan di rumah.
Guru turut digalakkan mengadakan lawatan ke rumah pelajar bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada pembelajaran.
Namun, pakar pendidikan menegaskan bahawa langkah sementara itu tidak mencukupi sekiranya kebakaran hutan dan tanah gambut terus berlarutan.
Mereka memberi amaran bahawa tanpa penyelesaian jangka panjang terhadap masalah jerebu, pelajar di kawasan terjejas berisiko menanggung kesan pendidikan yang berpanjangan, sekali gus memburukkan lagi jurang pembelajaran antara wilayah di Indonesia. – Agensi berita.