PALANGKARAYA (Indonesia): Lebih 300,000 penduduk Indonesia mengalami jangkitan saluran pernafasan akibat kebakaran hutan dan jerebu tebal yang melanda negara itu sejak beberapa bulan lalu, dengan keadaan paling buruk dilaporkan di wilayah Kalimantan Tengah.

Menurut Kementerian Kesihatan Indonesia, jumlah itu membabitkan penduduk di tujuh wilayah yang mendapatkan rawatan bagi masalah pernafasan antara Ogos dengan Oktober.

Di Palangkaraya, ibu kota Kalimantan Tengah, lebih 11,000 penduduk menerima rawatan akibat jangkitan pernafasan ketika kebakaran hutan terus merebak dan menyelubungi kawasan kediaman dengan asap tebal yang berbahaya kepada kesihatan.

Antara mangsa ialah Encik Sudarsono, 57 tahun, yang terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kesukaran bernafas akibat terhidu asap ketika cuba memadamkan kebakaran berhampiran rumahnya.

Pekerja binaan yang juga petani itu jatuh sakit selepas bersama tiga rakannya berusaha mengawal api yang semakin menghampiri kawasan perumahan di pinggir Palangkaraya.

Walaupun memakai pelitup dan cermin mata keselamatan, beliau tidak mampu bertahan apabila dikelilingi asap tebal.

“Saya memakai pelitup, cermin mata keselamatan, semuanya lengkap. Tetapi asap terlalu tebal dan mengelilingi saya. Akhirnya saya pulang kerana tidak mampu bertahan lagi,” katanya kepada AFP ketika dibawa menaiki ambulans minggu lalu.

Kebakaran itu turut memusnahkan kawasan belakang rumahnya, meninggalkan tanah yang hangus, tunggul pokok dan bau asap yang masih kuat.

“Saya berharap tiada lagi jerebu dan Kalimantan Tengah bebas daripada kebakaran supaya penduduk dapat hidup dengan selamat, bekerja dan mencari rezeki,” katanya sebelum dibawa ke hospital.

Keadaan serupa turut dialami ramai penduduk yang terpaksa mendapatkan bantuan oksigen akibat kesukaran bernafas.

Di sebuah pusat perlindungan yang dikendalikan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) di Palangkaraya, Cik Alexandra Surya Habsari, 43 tahun, menerima rawatan menggunakan alat ‘nebuliser’ dan bantuan oksigen selepas mengalami sesak nafas serta sakit kepala.

Beliau meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa menghadapi pencemaran udara yang berlarutan tanpa mengetahui bila keadaan akan kembali pulih.

“Saya benar-benar sudah bosan, tetapi tidak tahu kepada siapa harus saya marah. Keadaan ini sudah jauh melampaui apa yang mampu ditanggung manusia,” katanya.

Menurut pakar kesihatan, asap kebakaran hutan mengandungi pelbagai bahan berbahaya, termasuk formaldehid, hidrogen sianida, ammonia dan zarah halus PM2.5.

Zarah PM2.5 amat berbahaya kerana saiznya yang sangat kecil membolehkannya memasuki paru-paru dan aliran darah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengaitkan pendedahan kepada zarah tersebut dengan peningkatan risiko penyakit serius dan kematian.

Menurut badan pemantau, Nusantara Atlas, kebakaran hutan di Indonesia memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan dalam tempoh sembilan bulan sehingga September lalu.

Bagaimanapun, pemerintah Indonesia belum mengesahkan atau mempertikaikan angka tersebut.

Krisis kebakaran itu turut mencetuskan bantahan diplomatik daripada negara jiran yang terjejas akibat jerebu rentas sempadan, selain meningkatkan rasa tidak puas hati rakyat Indonesia sendiri.

Bagi menangani masalah kesihatan, Kementerian Kesihatan Indonesia menyediakan hampir 500 kemudahan rawatan di seluruh negara yang menawarkan bantuan oksigen dan rawatan percuma kepada mangsa jerebu.

Hampir 300 kemudahan tersebut terletak di Kalimantan Tengah, antara kawasan paling teruk dilanda kebakaran.

Pemerintah tempatan turut mengerahkan bas yang dilengkapi tangki oksigen ke sekitar Palangkaraya bagi memudahkan penduduk mendapatkan bantuan pernafasan.

Seorang penduduk, Cik Siti Jumiati, berkata beliau sudah lama mengalami mata merah dan pedih, sakit tekak serta batuk akibat pencemaran udara.

“Hari ini, saya boleh mendapatkan bantuan pernafasan secara percuma di dalam bas ini,” katanya.

Pegawai kesihatan tempatan, Encik Riduan, berkata golongan berusia antara 17 dengan 59 tahun paling ramai mengalami masalah pernafasan kerana mereka terpaksa keluar bekerja walaupun udara tercemar.

Bagi Cik Alexandra, perjalanan selama 20 minit dari rumah ke tempat kerja kini menjadi pengalaman yang amat menyeksakan.

“Sepatutnya kami dapat melihat langit biru, menghirup oksigen, menikmati cahaya matahari dan udara bersih.

“Tetapi dalam keadaan sekarang, apa yang kami sedut setiap hari sebenarnya adalah racun,” katanya. – AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti