PETALING JAYA: Mutu udara di Larkin, Johor, dan Nilai di Negeri Sembilan semakin buruk dengan kedua-dua daerah masing-masing mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) 156 dan 136 sehingga 1 tengah hari pada Ahad.
Menurut Jabatan Sekitaran, Larkin merupakan salah satu daripada kawasan yang paling teruk dengan bacaan API meningkat sejak 9 pagi.
Kerajaan Johor bersedia berdepan jerebu dengan memantau keadaan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya.
Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Encik Ling Tian Soon, berkata jabatan kecemasan dan trauma, hospital di seluruh negeri telah diarah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan pertambahan pesakit berkaitan saluran pernafasan ketika jerebu melanda.
Daerah lain dengan mutu udara tidak sihat ialah Port Dickson di Negeri Sembilan (128), Batu Pahat di Johor (104), Bukit Rambai di Melaka (134) dan Seberang Jaya, Penang (107).
Beberapa daerah di Johor juga mencatat API melebihi 90.
Mutu udara di Sabah dan Sarawak secara umumnya adalah baik, dengan beberapa kawasan mencatatkan bacaan API sederhana.
Negara-negara Asia Tenggara telah meningkatkan tahap amaran mereka bagi risiko jerebu rentas sempadan kepada Tahap 2, dengan banyak negara siap berdepan dengan bacaan pencemaran tinggi disebabkan asap daripada kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg