Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jerman haramkan kumpulan Muslim Interaktiv kerana langgar perlembagaan

Nov 7, 2025 | 2:37 PM
Alexander Dobrindt, Muslim Interaktiv
Menteri Dalam Negeri Jerman, Encik Alexander Dobrindt, berucap semasa sidang akhbar mengenai pengharaman terhadap kumpulan Muslim Interaktiv di Berlin pada 5 November. - Foto EPA

BERLIN: Kementerian Dalam Negeri Jerman pada 6 Oktober telah mengharamkan kumpulan Muslim Interaktiv, yang menyeru kewujudan khalifah sedunia dan menolak aturan demokrasi yang termaktub dalam perlembagaan Jerman.

Satu siaran akhbar kementerian menggambarkan persatuan Muslim Interaktiv sebagai “menentang aturan perlembagaan dan idea persefahaman antarabangsa,” sambil menambah: “Persatuan itu akan dibubarkan. Aset Muslim Interaktiv akan dirampas.”

Persatuan itu memandang masyarakat Islam di Jerman sebagai minoriti yang didiskriminasi dan dipinggirkan daripada arus utama.

Ditubuhkan pada 2020, pihak berkuasa percaya kumpulan itu bergabung dengan organisasi Hizb ut-Tahrir (HuT), yang diharamkan pada 2003 selepas menggalakkan keganasan dan pembunuhan kaum Yahudi.

Larangan sedemikian adalah prosedur standard terhadap pelaku yang disyaki melakukan aktiviti ekstremis.

Contohnya, beberapa minggu selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, rangkaian antarabangsa Samidoun – Rangkaian Solidariti Palestin – telah diharamkan di Jerman, begitu juga semua aktiviti Hamas di Jerman.

“Kami akan bertindak balas dengan kuasa undang-undang sepenuhnya kepada sesiapa sahaja yang secara agresif menyeru kekhalifahan di jalan raya kami, menghasut kebencian terhadap negara Israel dan Yahudi dengan cara yang tidak dapat ditoleransi, dan menghina hak wanita dan minoriti,” kata Menteri Dalam Negeri Encik Alexander Dobrindt dalam kenyataan akhbar itu.

Beliau berkata bahawa persatuan seperti Muslim Interaktiv akan dihalang daripada “melemahkan masyarakat bebas kami, menghina demokrasi kami, dan menyerang negara kami dari dalam.”

Selama berbulan-bulan, kebimbangan telah meningkat tentang serangan bermotifkan Islam baru di Jerman, terutamanya memandangkan suasana panas akibat perang di Gaza.

Penguatkuasaan larangan terhadap kumpulan ekstremis sentiasa didahului oleh penilaian risiko oleh Kementerian Dalam Negeri, yang kemudiannya mengeluarkan perintah larangan tersebut.

Kementerian tersebut juga memberikan maklumat tentang penggeledahan pejabat atau hartanah kumpulan itu.

Pada masa yang sama, saluran media sosial kumpulan itu ditutup.

Fokus utama penggeledahan pada 5 November adalah di Hamburg, bandar utara Jerman yang telah lama menjadi tumpuan penyiasat.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, pasukan polis menggeledah tujuh hartanah di Hamburg susulan perintah mahkamah. Klip video yang dihasilkan menunjukkan penyiasat membawa banyak kotak keluar daripada pejabat persatuan – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg