Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puluhan cedera dalam serangan rempuhan kereta di Munich

Feb 14, 2025 | 12:43 PM
Polis dan anggota bomba mengumpulkan bahan bukti selepas kereta yang dipandu pencari suaka asal Afghanistan merempuh perhimpunan kesatuan sekerja di Munich pada 13 Februari.
Polis dan anggota bomba mengumpulkan bahan bukti selepas kereta yang dipandu pencari suaka asal Afghanistan merempuh perhimpunan kesatuan sekerja di Munich pada 13 Februari. - Foto REUTERS

MUNICH: Seorang pencari suaka asal Afghanistan berusia 24 tahun telah merempuh perhimpunan kesatuan sekerja di Munich, mencederakan sekurang-kurangnya 30 orang dalam kejadian pada 13 Februari, kata polis Jerman.

Serangan tersebut dijangka mencetuskan ketegangan sebelum pilihan raya Jerman pada Februari ini dan sehari sebelum berlangsungnya Persidangan Keselamatan Munich.

Kereta itu, sebuah Mini Cooper, memecut dan merempuh orang ramai yang menyertai perhimpunan anjuran kesatuan sekerja sektor awam, Verdi, pada sekitar 10.30 pagi.

Kakitangan pusat jagaan, hospital, kemudahan sanitasi dan kolam renang awam telah menyertai mogok bagi menuntut kenaikan gaji dan cuti lebih lama.

Ketika kejadian berlaku, sekitar 1,500 orang dilaporkan menyertai mogok tersebut.

Antara yang cedera adalah kanak-kanak dan beberapa mangsa cedera parah.

Imej yang diperolehi media menunjukkan beberapa mangsa bergelimpangan dan berlumuran darah.

Kempen menjelang pilihan raya pada 23 Februari itu menyaksikan meningkatnya kebimbangan mengenai keselamatan dan isu imigresen, menyemarakkan sokongan terhadap golongan sayap kanan.

Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz, mengutuk serangan kereta itu sebagai “mengerikan” dan berjanji mengekalkan dasar “tidak bertoleransi”.

“Penyerang ini tidak boleh mengharapkan sebarang kelonggaran. Dia mesti dihukum dan kemudian perlu meninggalkan negara,” tambahnya kepada pemberita.

Ketua pembangkang, Encik Friedrich Merz, berkata menerusi wadah X bahawa sebagai canselor, beliau akan “mengenakan undang-undang dan perintah dengan tegas”.

“Keselamatan orang ramai di Jerman akan menjadi keutamaan kami. Semua orang mesti berasa selamat semula di negara kita. Sesuatu harus berubah di Jerman,” ujar beliau yang bertanding untuk merebut jawatan canselor.

Ketua bersama parti antiimigresen, Alternatif untuk Germany (AfD), Cik Alice Weidel, menyifatkan kejadian itu sebagai “mengerikan” dan rakan-rakan parti Merz di Bavaria harus dipersalahkan atas “kegagalan negara” dengan tidak menghantar pulang suspek.

Ibu negara Bavaria itu sudah mula melaksanakan langkah keselamatan yang lebih ketat sebelum Persidangan Keselamatan Munich, bermula pada 14 Februari.

Ia akan dihadiri oleh pegawai tertinggi dari seluruh dunia termasuk Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik JD Vance, dan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelenskyy.

Pihak berkuasa berkata mereka tidak percaya kejadian rempuhan kereta itu ada kaitan dengan persidangan tersebut.

Laman web berita Jerman, Der Spiegel, berkata suspek, yang hanya dikenali sebagai, Farhad N, tiba di Jerman untuk mendapatkan suaka pada Disember 2016.

Laman itu memetik sumber yang menyatakan Farhad telah menyiarkan kandungan Islam di media sosial sebelum kejadian.

Menteri Dalam Negeri Bavaria, Encik Joachim Herrmann, menyatakan dia tidak mempunyai rekod jenayah dan tinggal secara sah di Jerman.

Polis berkata lelaki itu bekerja dalam keselamatan runcit.

Polis mengesahkan mereka telah melepaskan satu das tembakan semasa membuat tangkapan tetapi tidak jelas sama ada suspek cedera. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg