WASHINGTON: Sebuah jeti terapung yang dibina oleh tentera Amerika Syarikat untuk menyalurkan penghantaran bantuan kemanusiaan di Gaza siap dibina dengan beberapa keping gambar pembinaannya diedarkan Komando Pusat Amerika pada lewat April.
Tentera Amerika memasang jeti sementara yang ditunggu-tunggu itu yang bertujuan meningkatkan penghantaran bantuan ke Gaza yang dilanda perang, ke pantai di wilayah Palestin yang dikepung, kata tentera Amerika.
Seorang pegawai pertahanan Amerika memaklumkan anggaran kos membina jeti maritim itu telah meningkat kepada AS$320 juta ($430 juta).
Jeti itu dipasang untuk meningkatkan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang menanggung padah akibat perang tujuh bulan antara Israel dengan Hamas.
Namun difahamkan, kos itu menelan hampir dua kali ganda daripada anggaran awal.
Angka itu, yang belum dilaporkan sebelum ini, menggambarkan skala besar usaha pembinaan yang dikatakan Pentagon melibatkan kira-kira 1,000 anggota perkhidmatan Amerika, kebanyakan daripada anggota tentera darat dan tentera laut.
Namun cuaca buruk di laut menyebabkan jeti tidak selamat untuk dilabuhkan di pantai Gaza, dan sebaliknya ia disimpan di pelabuhan Ashdod di Israel sementara pembinaan disiapkan minggu lalu.
“Pada 17 Mei, kakitangan Komando Pusat Amerika menyokong misi kemanusiaan untuk menghantar bantuan kemanusiaan tambahan kepada orang awam Palestin yang memerlukan telah berlabuh di jeti sementara ke pantai di Gaza,” kata Komando Pusat Amerika Syarikat (Centcom) dalam catatan di media sosial, X.
Centcom, yang beroperasi di Timur Tengah, berkata bahawa “sebagai sebahagian daripada usaha ini, tiada tentera Amerika yang memasuki Gaza”.
Jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder, memberitahu pemberita bahawa terdapat juga kapal tentera laut Amerika di kawasan tersebut yang boleh memberikan bantuan keselamatan untuk operasi bantuan itu.
Presiden Amerika, Encik Joe Biden, mengumumkan pembinaan jeti maritim pada Mac ketika pegawai bantuan giat menggesa Israel agar memudahkan akses bekalan bantuan ke Gaza melalui laluan darat.
Dengan membuka laluan kedua bantuan, pegawai pentadbiran Encik Biden berharap dapat mengelakkan masalah kebuluran di utara Gaza.
Sama ada jeti itu akhirnya akan berjaya meningkatkan bekalan bantuan kemanusiaan masih lagi menimbulkan tanda tanya.
Amerika, selaku sekutu utama dan pembekal senjata Israel, sudah berulang kali menyatakan kekecewaan orang ramai yang semakin meningkat terhadap Israel atas tindakannya dalam perang Gaza.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kebuluran akan melanda Gaza dalam tempoh terdekat melainkan bantuan makanan besar-besaran tiba.
Agensi PBB berkata, penghantaran maritim sahaja tidak dapat menjanjikan bantuan yang mencukupi untuk mengelak ancaman kebuluran dan menggesa Israel supaya membuka lebih banyak lintasan sempadan untuk konvoi laluan darat.
Pentagon sebelum ini berkata askar Israel akan melabuhkan jeti tersebut ke pantai Gaza, menghalang tentera Amerika daripada berada di Gaza.
Jeti itu akan meningkatkan penghantaran konvoi bantuan daripada 90 trak kepada 150 trak sehari, berdasarkan anggaran Amerika.
Di bawah rancangan itu, bekalan akan diangkut keluar dari Cyprus menggunakan kapal komersial ke platform terapung di luar pantai Gaza yang dibina oleh tentera Amerika itu.
Seorang pegawai kanan tentera Amerika berkata bantuan itu akan dihantar ke Cyprus terlebih dulu untuk disaring sebelum meneruskan penghantaran ke Gaza.
Bantuan kemudiannya akan dipindahkan ke kapal yang lebih kecil dan dibawa ke jeti di pantai Gaza dan dibawa ke darat dengan trak untuk diagihkan.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB, hampir 23,000 trak sudah memasuki Gaza sejak 7 Oktober.
Sebelum perang, kira-kira 500 trak sarat bantuan memasuki Gaza setiap hari, katanya
“Kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi kami dalam usaha ini, diharapkan ia dapat berfungsi sepenuhnya...,” kata jurucakap tentera Israel, Mejar Nadav Shoshani,
Mejar Shoshani menegaskan ‘tidak akan ada campur tangan tentera Amerika. Jadi, sebaik sahaja bantuan sampai ke jeti itu, pertubuhan kemanusiaan antarabangsa akan bertanggungjawab bagi melaksanakan pengagihannya’.
Mejar Shoshani berkata, lebih 25,000 trak sudah memasuki Jaluran Gaza sejak permulaan perang dan lebih 16,000 daripadanya membawa makanan.”
Pentagon menjangka untuk menyediakan lebih dua juta tan makanan kepada penduduk Gaza setiap hari.
Seorang pegawai kanan pentadbiran Encik Biden, bercakap kepada pemberita dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata bantuan kemanusiaan yang datang dari jeti itu perlu melalui pusat pemeriksaan Israel di darat.
Ini meskipun bantuan itu telah diperiksa oleh Israel di Cyprus sebelum dihantar ke Gaza.
Israel mahu menghalang sebarang bantuan sampai kepada kumpulan Hamas.
Langkah itu bagaimanapun menimbulkan keprihatinan mengenai kemungkinan kelewatan bantuan sampai ke darat. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg