Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jimmy Carter meninggal pada usia 100 tahun, dikenang damaikan Israel-Mesir

Dec 30, 2024 | 10:39 AM
Pada 17 September 1978, Presiden Mesir Anwar al-Sadat (kiri) dan Perdana Menteri Israel Menachem Begin berpelukan selepas menandatangani perjanjian damai bersejarah di Rumah Putih. Upacara tersebut disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Encik Jimmy Carter (kanan), yang memainkan peranan penting dalam rundingan tersebut.
Pada 17 September 1978, Presiden Mesir Anwar al-Sadat (kiri) dan Perdana Menteri Israel Menachem Begin berpelukan selepas menandatangani perjanjian damai bersejarah di Rumah Putih. Upacara tersebut disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Encik Jimmy Carter (kanan), yang memainkan peranan penting dalam rundingan tersebut. - Foto AFP

WASHINGTON: Encik Jimmy Carter, mantan Presiden Amerika Syarikat ke-39 dan tokoh utama di sebalik Perjanjian Kem David yang membawa kepada perjanjian damai antara Israel dengan Mesir pada 1979, meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 29 Disember.

Beliau menghembuskan nafas terakhir dikelilingi ahli keluarganya di kediamannya di Plains, Georgia.

Meskipun hanya memegang jawatan selama sepenggal dari 1977 hingga 1980, dasar dan tindakan Encik Carter, khususnya dalam peristiwa penting di Timur Tengah, meninggalkan kesan mendalam.

Perjanjian damai Israel-Mesir menjadi salah satu kejayaan terbesar dalam kerjaya politiknya.

“Jimmy Carter layak mendapat lebih banyak pengiktirafan atas peranan beliau, terutamanya di Timur Tengah,” kata mantan penganalisis Agensi Risik Pusat (CIA) yang juga felow kanan di Pusat Dasar Timur Tengah, Institusi Brookings, Encik Bruce Riedel.

Dilahirkan pada 1924 di Plains, Georgia, Encik Carter membesar dalam keluarga sederhana di sebuah ladang tanpa bekalan air paip atau elektrik.

Pengalaman membesar bersama rakan berkulit hitam dan didikan ibunya, Cik Bessie Lillian Carter, seorang jururawat yang melayani pesakit tanpa mengira warna kulit, membentuk pandangannya terhadap isu perkauman dan hak asasi manusia.

“Saya membesar dikelilingi rakan-rakan Afrika-Amerika dan itu memberi kesedaran tentang pentingnya keadilan sosial,” katanya kepada Oprah Winfrey pada 2015.

Encik Carter memulakan kerjaya politiknya sebagai Senator negeri Georgia dan kemudian menjadi Gabenor Georgia pada 1970.

Dalam ucapan pelantikannya, beliau tegas menyatakan: “Masa untuk diskriminasi perkauman telah berakhir.”

Ucapan itu melonjakkan beliau ke pentas nasional dan membuka jalan untuk kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden 1976.

Sebagai Presiden, Encik Carter berusaha keras untuk mencapai penyelesaian konflik antara negara Arab dengan Israel.

Usaha itu mencapai kemuncaknya dalam Perjanjian Kem David pada 1978, yang membawa kepada perjanjian damai Israel-Mesir pada 1979.

Perjanjian itu mengakhiri lebih 30 tahun peperangan antara kededua negara.

Dalam upacara tandatangan di Rumah Putih, Presiden Mesir Anwar Sadat memuji Encik Carter sebagai “askar yang tidak diiktiraf dalam usaha damai”.

Perdana Menteri Israel, Encik Menachem Begin, menyatakan bahawa pencapaian Encik Carter akan “diingati dan dicatat oleh generasi akan datang”.

Namun, beliau turut menghadapi cabaran besar seperti krisis tebusan Iran pada 1979, yang menggegarkan dunia dan menggugat kerusi presidenannya.

Beliau gagal dalam usaha menyelamatkan 52 rakyat Amerika yang ditahan sebagai tebusan.

Ia akhirnya menyumbang kepada kekalahan beliau dalam Pilihan Raya Presiden 1980. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg