Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Blinken harap capai gencatan senjata Gaza

Namun enggan beri ramalan bila ia dapat dilaksana
Dec 19, 2024 | 3:05 PM
Sedang rundingan gencatan senjata giat dijalankan, penduduk Palestin terus dirundung malang akibat serangan udara Israel yang terbaru ke atas kem pelarian di daerah Al-Mawasi, dekat Khan Younis di selatan Gaza pada 18 Disember 2024.
Sedang rundingan gencatan senjata giat dijalankan, penduduk Palestin terus dirundung malang akibat serangan udara Israel yang terbaru ke atas kem pelarian di daerah Al-Mawasi, dekat Khan Younis di selatan Gaza pada 18 Disember 2024. - Foto REUTERS

NEW YORK: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, berkata pada 18 Disember bahawa beliau tetap berharap untuk mencapai gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza, dan berjanji akan menggunakan baki tempoh tugasnya untuk mencapainya.

Namun, Encik Blinken enggan meramalkan kejayaan tersebut selepas kekecewaan berulang kali dalam usaha menamatkan perang berlarutan selama 14 bulan di wilayah Palestin itu.

“Saya berharap. Anda juga mesti begitu. Kami akan menggunakan setiap minit setiap hari setiap minggu untuk cuba menyelesaikannya,” kata Encik Blinken yang bakal meninggalkan pejabatnya pada 20 Januari 2025.

“Tetapi saya tidak mahu meneka apa kebarangkalian itu,” katanya di Majlis Perhubungan Luar Negeri.

“Ia sepatutnya berlaku. Ia perlu berlaku. Kami perlu membawa orang pulang,” katanya, merujuk kepada pembebasan tebusan di bawah perjanjian gencatan senjata.

Encik Blinken mengulangi penilaian yang dibuat minggu lalu ketika melakukan lawatan ke-12 ke Timur Tengah sejak perang bermula, dengan menyatakan Hamas menunjukkan lebih fleksibiliti kerana kekalahan yang dialami penaungnya, Iran.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, telah menghadapi kritikan daripada sayap kiri Parti Demokratnya kerana tidak menggunakan tekanan lebih besar ke atas Israel seperti menyekat bekalan senjata berbilion dolar kepada sekutunya itu.

Encik Blinken mengulangi desakannya bahawa menamatkan perang adalah demi kepentingan Israel dan perlu ada perjanjian mengenai tadbir urus pascaperang, menolak pendirian Israel yang menyokong kehadiran jangka panjang di Gaza.

“Jika mereka melakukannya, mereka akan berhadapan dengan pemberontakan selama bertahun-tahun. Itu bukan kepentingan mereka,” katanya mengenai Israel.

Bakal Presiden Amerika, Encik Donald Trump, telah berikrar memberi sokongan berterusan kepada Israel tetapi juga telah menyuarakan keinginan untuk mencapai gencatan senjata.

Sementara itu di Kahirah, Mesir, Amerika yang disertai perantara Arab, melahirkan harapan pada 18 Disember untuk memuktamadkan perjanjian antara Israel dengan Hamas untuk menghentikan perang di Gaza.

Sumber yang rapat dengan rundingan di Kahirah itu berkata perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan Israel sebagai tukaran kepada tahanan Palestin di penjara Israel boleh dimeterai dalam beberapa hari akan datang.

Sedang usaha itu dipergiatkan, pegawai perubatan di Gaza berkata serangan terbaru Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin dalam sekelip mata.

Menurut mereka, serangan udara Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 10 orang di dalam sebuah rumah di bandar utara Beit Lahiya.

Manakala enam lagi terbunuh dalam serangan udara berasingan di Bandar Gaza, kem Nuseirat di tengah Gaza dan Rafah berhampiran sempadan dengan Mesir.

Pegawai Amerika, disertai perantara dari Mesir dan Qatar, telah melakukan usaha intensif dalam beberapa hari kebelakangan ini untuk memajukan rundingan sebelum Encik Biden meninggalkan jawatan pada Januari 2025.

Pada 18 Disember, seorang pegawai Palestin yang rapat dengan rundingan itu berkata perantara telah merapatkan jurang pada kebanyakan klausa perjanjian itu, tetapi Israel memperkenalkan syarat yang ditolak Hamas.

Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik William Burns, tiba di Doha pada 18 Disember untuk berbincang dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani mengenai merapatkan jurang yang masih ada antara Israel dengan Hamas, kata satu lagi sumber.

Perang di Gaza meletus apabila militan Hamas melakukan serangan mengejut di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh lebih 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Serangan balas dan berterusan Israel telah membunuh lebih 45,000 rakyat Palestin. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg