Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

John Kerry lawat China, sambung semula rundingan perubahan iklim

Jul 7, 2023 | 6:44 PM
KUNJUNGAN KE CHINA: Duta khas Amerika Syarikat bagi perubahan iklim, Encik John Kerry, dijadualkan ke China bagi menyambung semula rundingan mengenai kawalan kesan pemanasan sejagat.
KUNJUNGAN KE CHINA: Duta khas Amerika Syarikat bagi perubahan iklim, Encik John Kerry, dijadualkan ke China bagi menyambung semula rundingan mengenai kawalan kesan pemanasan sejagat. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Duta khas kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, bagi perubahan iklim, Encik John Kerry, berkata pada Khamis bahawa beliau akan ke China pada minggu depan untuk menyambung semula rundingan mengenai pemanasan sejagat, antara dua negara pencemar terbesar dunia itu.

Kunjungan Encik Kerry itu adalah yang pertama bagi merundingkan tentang isu iklim, antara Amerika Syarikat dengan China sejak Ogos 2022, apabila China menghentikan rundingan kerana tidak senang dengan tindakan Cik Nancy Pelosi, yang ketika itu selaku Speaker Dewan Perwakilan Amerika, melawat Taiwan.

Rundingan baru itu diadakan apabila suhu sejagat dicatatkan paling tinggi, akibat pembakaran minyak dan juga kesan corak iklim El Nino, yang membara di kedua-dua buah negara dan sebahagian besar dunia.

“Kita perlu mengadakan kerjasama yang tulen,” kata Encik Kerry dalam satu wawancara.

“China dan Amerika Syarikat adalah dua kuasa ekonomi terbesar di dunia, dan kami juga dua negara pencemar terbesar. Adalah jelas bahawa kita mempunyai tanggungjawab untuk mencapai persetujuan bersama.”

Kunjungan ke China itu adalah yang ketiga bagi Encik Kerry selaku duta iklim.

Ia juga susulan kepada lawatan oleh Setiausaha Negara, Encik Antony Blinken dan Setiausaha Perbendaharaan, Cik Janet Yellen, yang bertujuan untuk memulihkan hubungan tegang antara Amerika dengan China.

Encik Kerry berkata beliau merancang untuk bertemu rakan sejawatannya di China, Encik Xie Zhenhua, dan lain-lain pegawai “di peringkat paling tinggi,” semasa minggu lawatannya pada 16 Julai.

China dan Amerika juga merupakan dua negara pelabur terbesar bagi tenaga bersih.

Dasar-dasar mereka memberi kesan meluas ke atas cuaca di dunia dan boleh mengelakkan kesan buruk akibat pemanasan sejagat.

Namun, terdapat kesulitan tentang secepat mana kedua-dua negara dapat menghentikan pelepasan bahan api fosil yang memanaskan planet secara berbahaya.

Parti Republikan, yang membidas lawatan Encik Blinken dan Cik Yellen ke China, mengecam lawatan Encik Kerry itu dan menuduhnya merendahkan Amerika.

“Walaupun tidak mendapat pengesahan daripada Dewan Senat Amerika, (Encik) John Kerry masih juga merundingkan dengan Parti Komunis China bagi meneruskan agenda Perjanjian Baru Hijau, yang menggugat kepentingan Amerika,” kata Anggota Dewan Perwakilan (Kentucky), Encik James Comer, dalam satu kenyataannya.

Beliau menuduh Encik Kerry membuat “perjanjian tertutup” dengan China.

Pada 13 Julai, Encik Kerry dijadual hadir di hadapan panel pengawasan hal ehwal luar negeri.

Amerika di bawah pentadbiran Encik Biden berikrar mengurangkan paras pelepasan bahan api fosil, kira-kira separuh menjelang 2030.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg