JAKARTA: Presiden Joko Widodo menyuarakan harapannya agar penggantinya pada masa depan merupakan pemimpin yang berani dan sanggup membuat keputusan penting apabila mereka paling diperlukan.
Hasratnya itu dizahirkan hanya enam bulan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Presiden.
Pilihan Raya Umum 2024 (Pemilu) akan diadakan pada 14 Februari, manakala Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) berlangsung pada November 2024.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi menyatakan demikian semasa pertemuan tertutup dengan para pemimpin daripada syarikat media utama di Istana Presiden di Jakarta pada Khamis.
Pengarah Urusan B-Universe Media Holdings, Cik Apreyvita Wulansari, berkata semasa mesyuarat itu, Presiden Jokowi menekankan keadaan global yang semakin mencabar dan menuntut pemimpin yang berani untuk memperjuangkan kepentingan negara dan meneruskan inisiatif pembangunan yang berterusan.
“Presiden berharap bakal penggantinya mempunyai keberanian dan komitmen yang tidak berbelah bagi untuk melaksanakan inisiatif pembangunan, yang beliau ibaratkan seperti maraton,” kata Cik Apreyvita.
“Dalam keadaan global yang sangat mencabar ini, kami memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai keazaman untuk membuat keputusan,” tambahnya sambil memetik kata-kata Presiden kepada para hadirin.
Pertemuan itu diadakan dalam suasana tidak formal, diikuti dengan jamuan tengah hari.
Presiden Jokowi berbual mesra dengan para pemimpin media, menurut Cik Apreyvita, yang juga ketua pengarang stesen penyiar berita, BTV.
Presiden Jokowi sendiri telah mempunyai reputasi yang baik kerana membuat keputusan yang berani.
Contohnya, beliau memilih untuk memindahkan ibu negara dari Jakarta ke Kalimantan Timur, walaupun mengakui projek itu akan melangkaui tempoh perkhidmatannya.
Tambahan pula, beliau melaksanakan larangan ke atas eksport bijih galian yang tidak diproses seperti nikel dan bauksit, mencetuskan tindak balas daripada negara-negara Eropah dan juga mencetuskan usul di Pertubuhan Perdagangan Dunia.
Beliau telah berjaya melaksanakan projek monumental lain yang gagal dicapai oleh penggantinya sebelum ini, seperti rangkaian jalan tol yang menghubungkan semua wilayah di Pulau Jawa dan sistem kereta api transit laju massa (MRT) di Jakarta.
Ketika sistem MRT menjalani projek pembesaran, pemerintah bersedia untuk melaksanakan projek kereta api laju Jakarta-Bandung serta sistem kereta api baru di Jabodetabek, yang dinamakan transit aliran ringan (LRT).
Di bawah kepimpinannya, Sulawesi kini telah menubuhkan rangkaian kereta api pertamanya dan projek sedang berjalan untuk menghubungkan Sumatera melalui jalan bertol yang menjangkau dari selatan ke hujung utara pulau itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg